KOTA BHARU: Polis menemui 82 rangka motosikal dan tiga buah motosikal yang masih lengkap dipercayai dicuri di Kampung Jal, Ketereh di sini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata daripada jumlah itu, 68 rangka dijumpai dibuang ke dalam tali air manakala 14 rangka motosikal dijumpai di sebuah rumah dan di dalam semak.
Tiga buah motosikal yang dalam keadaan lengkap dan belum dileraikan komponennya ditemui di sekitar kampung berkenaan, katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Polis Ketereh di sini, hari ini.
Ab Rahman berkata kesemua motosikal dan rangka motosikal itu dijumpai dalam operasi yang dijalankan sejak awal bulan lepas hingga 18 Nov lalu.
Katanya 13 suspek termasuk ketua kumpulan itu, berumur antara 14 dan 50 tahun, berjaya ditahan berhubung penemuan motosikal berkenaan.
Polis percaya dengan penemuan rangka motosikal terbabit dan tertangkapnya suspek, ia dapat menyelesaikan beberapa kes kecurian motosikal di Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur, katanya.
Ab Rahman berkata siasatan ke atas anggota kumpulan mencuri motosikal itu dikenali 'Reme Chong' mendapati mereka menggunakan media sosial untuk menjual komponen motosikal yang direlaikan itu.
Katanya ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Remi Che Ariffin, 22, mempunyai dua kes kesalahan lampau sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dia mengaku bersalah serta dijatuhi hukuman penjara enam bulan.
Polis masih mengesan saki baki anggota kumpulan berkenaan yang dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu.
Sumber: Bernama | 22 November 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan