Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 20 November 2016

Kerajaan guna peralatan terkini tingkat kawalan dan pemeriksaan di sempadan Malaysia-Thailand

PASIR MAS: Kerajaan akan menggunakan peralatan terkini untuk meningkatkan kawalan dan pemeriksaan di kesemua pintu masuk di sempadan Malaysia dan Thailand.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata peralatan berkenaan akan dipasang secepat mungkin kerana kekurangannya menyumbang kepada kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan.

"Saya lihat terdapat kekurangan daripada aspek peralatan seperti alat pengimbas untuk pemeriksaan badan ke atas orang ramai, barang dan lori," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Rantau Panjang di sini, Ahad.

Dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, beliau turut meninjau sekitar kawasan Sungai Golok yang menjadi sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Nur Jazlan berkata dalam tinjauannya di pintu masuk sempadan di negeri ini, didapati ada alat pengimbas badan ke atas orang ramai yang rosak manakala tiada alat pengimbas untuk barangan dan lori.

Beliau berkata bagi memperkasakan kawalan di sempadan, seluruh agensi penguat kuasa di sempadan di bawah KDN akan digerakkan secara bersepadu dengan agensi penguatkuasaan di kementerian lain.

Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan kawalan di sempadan secara bersepadu itu, katanya.

Nur Jazlan berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, Aksem telah melaksanakan 16,167 operasi di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan melibatkan rampasan barangan bernilai RM32,470,858 dan tangkapan pendatang asing tanpa izin sebanyak 516 orang.

"Antara barangan yang dirampas ialah kenderaan bernilai RM10,351,909, minuman keras dan rokok (RM9,991,207), dadah (RM6,418,106) dan mata wang berjumlah RM2,469,026," katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa Malaysia juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi membanteras kegiatan penyeludupan, jenayah rentas sempadan dan masalah dua kerakyatan.

Ditanya cadangan pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand, beliau berkata bagi negeri Kelantan, pihaknya sedang meneliti cadangan pembinaan tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok kerana ia lebih sesuai berdasarkan bentuk muka bumi yang tidak rata.

Katanya selain mencegah berlakunya banjir, tebatan banjir ini juga boleh dijadikan laluan (jalan) untuk anggota penguat kuasa membuat rondaan di sempadan itu.

Mengenai persiapan KDN khususnya polis dalam menghadapi banjir pada musim tengkujuh di Kelantan, Nur Jazlan berkata pihaknya telah membuat persiapan rapi bagi menangani bencana alam itu.

"Saya alu-alukan tindakan kerajaan Kelantan yang meletakkan tanggungjawab operasi pengurusan banjir di bawah setiap ketua polis daerah iaitu setiap ketua polis daerah akan menjadi ketua kepada semua agensi di daerah berkenaan untuk menggerakkan jentera banjir," katanya.

Beliau berkata polis juga telah menubuhkan pasukan cegah jenayah di setiap daerah bagi mencegah kejadian jenayah di kawasan yang dilanda banjir.

"Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan tidak perlu khuatir akan keselamatan rumah dan harta benda yang ditinggalkan," katanya.

Beliau berkata polis juga telah mengenal pasti tempat pendaratan helikopter untuk menghantar bantuan kepada mangsa di kawasan yang terputus hubungan jalan darat.

Sumber: Bernama | 20 November 2016 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan