Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 24 November 2016

Kelantan tingkat sistem komunikasi hadapi banjir

KOTA BHARU: Pelbagai langkah diambil bagi meningkatkan sistem komunikasi di Kelantan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata berdasarkan pengalaman menghadapi bencana banjir pada 2014, masalah sistem komunikasi terjejas teruk disebabkan bekalan elektrik terputus.

"Pada tahun ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mempertingkatkan infrastrukturnya seperti pencawang ditinggikan untuk mengelak daripada ditenggelami air," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan, di sini, hari ini.

Mohd Faudzi yang juga Setiausaha Kerajaan Kelantan, berkata generator juga disediakan untuk menjana bekalan elektrik terutama di lokasi penting seperti pusat pemindahan mangsa banjir.

Beliau berkata pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM800,000 untuk persediaan awal menghadapi banjir melibatkan bekalan makanan dan barangan keperluan asas di pusat pemindahan mangsa bencana itu.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 adalah peruntukan daripada kerajaan Persekutuan manakala kerajaan negeri menyediakan RM300,000.

"Kira-kira 5,000 anggota jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri akan terbabit dalam menghadapi banjir pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata kawasan diberi tumpuan adalah Kuala Krai dan Gua Musang, yang merupakan lokasi paling teruk terjejas akibat banjir pada 2014.

Selain media massa, katanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negeri ini, akan digerakkan untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan banjir supaya penduduk boleh mengambil langkah awal dalam menghadapi bencana itu.

Sebanyak 737 pusat pemindahan banjir disediakan di seluruh negeri ini, yang boleh menampung 215,955 mangsa banjir.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah menghantar bekalan makanan dan peralatan di 221 pangkalan hadapan.

Sumber: Bernama | 24 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan