Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 9 November 2016

MOA yakin mampu tingkatkan produktiviti pengeluaran padi di Kelantan

KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yakin produktiviti pengeluaran padi di Kelantan mampu ditingkatkan seperti di negeri lain walaupun berdepan beberapa masalah berkaitan penanaman tanaman itu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata pelbagai langkah telah dan sedang diambil termasuk menambahbaik sistem saliran selain penggunaan benih yang sesuai dengan jenis tanah di Kelantan.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti kawasan yang terdedah dengan kemasukan air laut yang menyebabkan kadar pH (Potential Hidrogen) tanah lebih berasid dan memberi kesan kepada pertumbuhan tanaman padi di Kelantan.

"Saya yakin jika semua masalah ini berjaya diatasi, Kelantan mampu meningkatkan hasil pengeluaran padinya," katanya kepada pemberita selepas meninjau tanaman padi di Kampung Padang Lada, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat berhubung penanaman padi dan langkah-langkah yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak.

Ismail berkata setakat ini tiada keperluan untuk menyediakan empangan di Kelantan, sebaliknya akan memastikan bekalan air mencukupi untuk kegunaan kawasan jelapang padi di negeri ini.

Beliau berkata pengeluaran padi di Kelantan ketika ini adalah sekitar 4.3 metrik tan sehektar berbanding negeri lain yang mampu mencecah 5.7 metrik tan bagi setiap hektar.

"Kita harap apabila semua masalah penanaman padi di Kelantan diatasi, produktiviti pengeluaran akan meningkat sekali gus memberi peluang kepada petani menjana pendapatan yang lebih lumayan," katanya.

Beliau berkata jumlah pengeluaran beras ketika ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan semasa negara dan hanya mengimport beras jenis premium daripada beberapa negara luar.

Dalam pada itu, Ismail berkata pihaknya akan terus mengatasi masalah berkaitan pertanian di seluruh negara dari semasa ke semasa menerusi peruntukan berjumlah RM240 juta yang disalurkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) kepada kementerian itu sebelum ini.

Sumber: Bernama | 6 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan