Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 9 November 2016

RM800,000 untuk makanan mangsa banjir Kelantan

PASIR PUTEH: Dalam persiapan menghadapi banjir, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi penyediaan bekalan makanan untuk mangsa bencana itu di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Muhammad Hanafi Maulud berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 disalurkan oleh kerajaan Persekutuan dan RM300,000 oleh kerajaan negeri.

"Peruntukan itu mencukupi bagi menampung 215,955 mangsa banjir," katanya kepada pemberita selepas menutup Simulasi Pengurusan Bencana di pusat pemindahan mangsa Jajahan Pasir Puteh dan Machang di sini, hari ini.

Kira-kira 100 peserta terdiri daripada pegawai kerajaan Persekutuan dan Negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) menyertai simulasi itu.

Muhammad Hanafi berkata bekalan makanan seperti beras, sardin, biskut, gula, susu dan air mineral sudah dihantar ke 17 pangkalan hadapan di seluruh negeri ini dan depot utama di Pangkalan Chepa.

Ini tidak termasuk kain selimut, tilam dan 2,500 khemah bagi menempatkan setiap keluarga.

Selain itu, pihaknya juga sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengurus hal-ehwal keperluan mangsa banjir di setiap pusat pemindahan.

"Bagi pusat pemindahan selain daripada bangunan sekolah seperti pejabat penggawa dan dewan orang ramai, kita akan tingkatkan kemudahan asas terutama membabitkan bekalan elektrik dan tandas," kata Muhammad Hanafi.

Jawatankuasa Khas itu turut berperanan mengawal keselamatan, hal ehwal agama, pengangkutan dan kesihatan bagi membantu jabatannya melicinkan pengurusan sepanjang mangsa berada di pusat pemindahan.

Seramai 417 kakitangan jabatan dan pasukan sukarelawan yang berdaftar dengan JKM Kelantan akan digerakkan sebaik sahaja banjir diisytiharkan di sesuatu kawasan.

Sumber: Bernama | 9 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan