Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 26 November 2016

IAM sedia bekalan makanan mampu tampung 1,400 mangsa banjir di Kelantan

BACHOK: Islamic Aid Malaysia (IAM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM200,000 untuk menyediakan bekalan makanan yang boleh menampung kira-kira 1,400 mangsa, sekiranya banjir berlaku di Kelantan.

Presidennya Zawahir Abdullah berkata bantuan makanan seperti beras, biskut, gula, teh serta tepung gandum itu disediakan bagi membantu penduduk yang terlibat berikutan musim tengkujuh telah pun bermula.

"Bekalan makanan itu akan diagih-agihkan ke kawasan yang dilanda banjir kelak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan sekolah kepada 200 murid miskin di Sekolah Kebangsaan (SK) Bekelam di sini, Sabtu.

Setiap murid berkenaan menerima dua pasang pakaian sekolah berserta kasut dan beg sekolah, dengan penerima terdiri daripada murid SK Bekelam, SK Badak, SK Tanjung Jenera dan SK Pak Pura.

Bantuan tersebut merupakan zakat perniagaan Etiqa Takaful Berhad (Etiqa) bernilai RM250,000.

Zawahir berkata pihaknya dilantik sebagai badan penyelaras sumbangan Etiqa dan akan mengagihkan sumbangan kepada 1,600 murid miskin di beberapa negeri terpilih sebelum sesi persekolahan bermula pada tahun depan.

Zawahir berkata Etiqa memperuntukkan sebanyak RM400,000 bagi menjayakan program berkenaan.

Sumber: Bernama | 26 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan