Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 22 November 2016

Suami isteri didakwa culik bayi perempuan dari hospital

Ahmad Abdul Muizz Halim (kiri) dan Nur Rashedah Che Faizo.
PASIR MAS: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menculik seorang bayi perempuan berusia lima hari di Wad Kanak-Kanak Hospital Tanah Merah pada 15 November lepas.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Ahmad Abdul Muizz Halim, 26, dan isterinya Nur Rashedah Che Faizo, 23, didakwa menculik bayi perempuan itu yang belum diberi nama, anak kepada Siti Nor Baiti Bahanaharing, daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang, iaitu pengarah Hospital Tanah Merah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Wad 2 Kanak-Kanak hospital berkenaan pada 6.47 petang, 15 Nov lepas mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dazuki membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Disember bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Idham Abdul Ghanit mencadangkan jaminan RM20,000 ke atas setiap tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Bernama | 22 November 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan