GUA MUSANG: Ratusan pengguna Jalan Gua Musang-Jeli terkandas apabila jambatan sementara di Kampung Pulau Setelu yang merintangi Sungai Nenggiri di sini, ditenggelami air sejak pukul 5 petang tadi.
Air sungai itu naik melimpahi jambatan tersebut akibat hujan lebat sejak malam tadi, tetapi sehingga pukul 7 malam ini air sungai itu beransur surut namun masih belum boleh dilalui semua kenderaan.
Jambatan sementara itu dibina awal tahun lepas selepas jambatan konkrit di situ runtuh akibat arus deras dalam kejadian banjir besar pada Disember 2014.
Seorang pengguna jalan itu, Muhamad Nafi Yaacob, 53, berkata jambatan sementara tersebut mudah tenggelam kerana ia dibina terlalu rendah.
Katanya beliau terkandas sejak pukul 5 petang dan kini menunggu air sungai surut bagi meneruskan perjalanan dari Gua Musang ke Jeli.
Seorang penduduk, Mutalib Harun, 46, berkata jambatan itu kerap tenggelam terutama apabila berlaku hujan lebat, sekali gus menyebabkan pengguna terkandas.
"Saya rasa dalam musim tengkujuh ini juga mungkin beberapa kali lagi jambatan akan tenggelam tetapi mengharapkan ia tidak runtuh," katanya.
Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kamizi Jalil berkata pengguna yang menggunakan jambatan sementara tersebut perlu sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan.
"Petang ini jambatan sementara itu tidak boleh dilalui semua kenderaan dan terpaksa menunggu beberapa jam sebelum air surut semula.
"Penduduk yang tinggal berhampiran jambatan itu juga diminta untuk sama-sama membersihkan sampah sarap yang tersangkut pada jambatan berkenaan sebaik air surut," katanya.
Sumber: Bernama | 20 November 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan