Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 27 November 2017

Kuantan belum bersedia terima status bandar raya

Bandar Kuantan, ibu negeri Pahang Darul Makmur belum bersedia untuk menerima status sebagai sebuah bandar raya.
KUANTAN: Kerajaan negeri belum bersedia menjadikan Kuantan sebagai bandar raya, walaupun sudah memenuhi beberapa syarat ditetapkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pihaknya perlu mengambil kira kesan sampingan kepada penduduk jika menaik taraf bandar Kuantan sebagai bandar raya.

"Kalau nak kira, Kuantan ini sudah layak menjadi bandar raya dan sudah lama sepatutnya (terima status bandar raya), tetapi saya fikir jika naik taraf jadi bandar raya, banyak kesan lain timbul seperti kadar cukai pintu akan naik, longkang dan jalan pun perlu diselenggara dengan lebih baik berbanding sekarang.

"Saya pun sudah menyembah maklum kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan yakinkan rakan-rakan (ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri) bahawa bukan masanya lagi Kuantan dinaik taraf.... kalau nak naik taraf (daripada segi syarat) esok pun boleh," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Andasura Rabu (PAS-Beserah) mengenai usaha dijalankan kerajaan negeri, sama ada membuat kajian berkaitan kos sara hidup yang perlu dihadapi penduduk jika Kuantan dinaik taraf sebagai bandar raya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kriteria sebuah bandar raya adalah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) harus meliputi kawasan pentadbiran sesebuah negeri.

"Selain itu, kawasan berkenaan juga perlu mempunyai jumlah penduduk tidak kurang daripada 500,000 orang dan mempunyai pendapatan dari sumber kewangan yang kukuh dengan hasil tahunan tidak kurang daripada RM100 juta selain mampu mengimbangkan perbelanjaan," katanya ketika menjawab soalan Fong Koong Fuee (BN-Cheka).

Sumber: Berita Harian | Wilayah Timur | 27 November 2017

2,256 ikrar derma organ di Kelantan

KOTA BHARU: Seramai 2,256 pengikrar baharu penderma organ dicatat di negeri ini sejak awal tahun ini hingga Oktober lepas.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perubatan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Norhana Mohamed Fadzil berkata jumlah itu meningkat lebih 96 peratus berbanding jumlah keseluruhan pengikrar tahun lalu iaitu 1,171 orang.

"Berdasarkan perkembangan positif ini, kita yakin sasaran 3,000 pengikrar baharu akan dapat dicapai menjelang hujung tahun ini berikutan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat," katanya kepada pemberita pada Program Kempen dan Taklimat Kesedaran Pendermaan Organ di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, hari ini.

Beliau berkata masyarakat semakin sedar kepentingan pendermaan organ malah pada hari ini sahaja lebih 50 kakitangan HUSM telah mengisi borang ikrar tersebut.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kanan Klinikal HUSM Dr Nik Min Ahmad selain 200 kakitangan HUSM.

Pada program itu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyampaikan ceramah 'Derma Organ Dari Pandangan Islam' manakala Pengerusi Pasukan Perolehan Organ dan Tisu (TOP TEAM) negeri Dr Azhar Mohamed pula menyampaikan taklimat 'Pengenalan Pendermaan Organ'.

Sementara itu, Dr Norhana yang juga penyelaras program berkata jumlah keseluruhan pengikrar di negeri ini sejak 1997 hingga Oktober lalu adalah seramai 10,570 orang. Katanya ia hasil kempen berterusan melalui siri jelajah dan pameran sama ada di tempat awam seperti pasar raya mahupun jabatan kerajaan serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Sumber: Bernama | 27 November 2017

Prestasi penanaman semula hutan di Kelantan tidak memuaskan

KOTA BHARU: Prestasi kewangan dan fizikal serta peraturan kewangan bagi penanaman semula hutan di Kelantan adalah tidak memuaskan, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan tersebut ,prestasi kewangan dan fizikal bagi penanaman semula hutan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Kelantan sepanjang tempoh 2014 hingga 2016 adalah tidak memuaskan berikutan peratus pencapaian yang rendah iaitu prestasi kewangan adalah 38.5 peratus manakala bagi aktiviti fizikal pula adalah 13.5 peratus bagi Projek Bekalan Bahan Tanaman.

Jabatan itu sebelum ini diberi peruntukan kewangan sebanyak RM1.225 juta manakala sebanyak 570,000 anak pokok disasarkan untuk tujuan penanaman semula sepanjang tempoh tersebut, namun hanya RM471,574 dibelanjakan untuk aktiviti kewangannya manakala hanya 76,835 anak pokok berjaya ditanam semula sepanjang tempoh berkenaan.

Sementara itu, bagi Bancian Hutan Selepas Tebangan (Post-F) pula, prestasi kewangan adalah 57.4 peratus atau RM418,740 walaupun sebanyak RM729,617 diperuntukkan untuk tujuan berkenaan manakala kawasan yang telah siap diusaha, hasil pula adalah 74.0 peratus ataupun 2,431 hektar walaupun sasaran awal adalah 3,283 hektar.

Bagi aktiviti Tanaman Mengaya pula, pencapaian kewangan hanya mencecah 79.5 peratus atau RM254,238 berbanding peruntukan RM320,000 dengan 50.8 peratus atau 132 hektar daripada 260 hektar yang disasarkan, telah dilakukan dengan aktiviti tersebut.

Antara kelemahan lain yang dilaporkan dalam laporan tersebut adalah penanaman anak pokok di Kawasan Lesen (Matau) dan Kawasan Tebangan (Lorong Penarik) belum dijalankan selepas tamat usahahasil (kerja mengambil hasil hutan) melibatkan 26 daripada 68 kawasan yang perlu ditanam.

Selain itu, Tanaman Mengaya tidak dilaksanakan selepas Bancian Post-F diperoleh yang melibatkan tiga daripada lima kawasan bancian dan perubahan kawasan penanaman projek Tanaman Mengaya tanpa kelulusan yang melibatkan kesemua enam kawasan yang perlu ditanam.

Ia juga membabitkan permit masuk hutan bagi tujuan penanaman projek Tanaman Mengaya lewat dimohon oleh kontraktor bagi kesemua enam kawasan Tanaman Mengaya, tiada perlindungan insurans pekerja bagi tempoh kerja yang dilanjutkan melibatkan tiga daripada enam kawasan Tanaman Mengaya serta pewartaan deposit yang tidak dituntut tidak mengikut tempoh ditetapkan melibatkan sejumlah RM11.20 juta.

Sumber: Bernama | 27 November 2017

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 317


Siti Zaleha Mamat (dua dari kanan) memerhati anaknya mengangkat pakaian di Kampung Dewan Besar, di sini hari ini.
KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri ini meningkat kepada 317 orang daripada 89 keluarga setakat 9.30 malam ini berbanding 157 mangsa daripada 36 keluarga 6.30 petang tadi.

Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di beberapa jajahan di Kelantan mula dilanda banjir.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di jajahan Kota Bharu, sebanyak 98 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM, Kok Lanas (77 mangsa) dan Dewan Orang Ramai Pasar Melor (21 mangsa) di sini.

Sementara itu, di Pasir Mas terdapat 50 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di Madrasah Haji Daud manakala di Tanah Merah, 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kelewek, Bukit Panau.

Di Pasir Puteh, 152 mangsa daripada 49 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu sekolah Kebangsaan Kamil 1 (32 mangsa), Sekolah Kebangsaan Changgai (96 mangsa) dan Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja (24 mangsa).

Sehingga kini, hujan renyai dilaporkan masih turun di seluruh negeri ini.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bacaan paras air di kesemua sungai utama di negeri ini masih di paras normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang meningkat kepada 8.13 meter (bahaya 9 meter) pada pukul 9 malam ini berbanding 7.76 meter petang tadi.

Setakat ini, kesemua jalan utama masuk dan keluar dari negeri ini boleh dilalui semua kenderaan.

Sementara itu, UMNO Bahagian Pasir Puteh menubuhkan skuad sukarelawan banjir yang disertai lebih 400 anggota parti itu untuk membantu memindah dan menyediakan makanan kepada mangsa banjir di kawasan Parlimen Pasir Puteh.

Bapa Angkat UMNO bahagian itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, skuad berkenaan disertai penjawat awam, badan bukan kerajaan dan individu yang prihatin dengan nasib mangsa banjir.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata pihaknya berpuas hati dengan skuad terbabit yang bersiap sedia lebih awal untuk membantu mangsa banjir termasuk menyediakan tempat tinggal dan bekalan makanan yang mencukupi.

Sumber: Bernama | 26 November 2017

Sabtu, 25 November 2017

Banjir lumpur ancam perkampungan Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing

TANAH TINGGI LOJING: Tanah runtuh dan banjir lumpur dilaporkan sering berlaku dan memberi ancaman kepada lebih 300 penduduk Orang Asli daripada 120 keluarga di Kampung Sang Wai, yang terletak di kawasan Tanah Tinggi Lojing di sini sejak tiga bulan lepas.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng berkata kejadian itu sering berlaku akhir-akhir ini sejak kawasan bukit yang terletak kira-kira 100 meter dari perkampungan mereka digondolkan oleh sebuah syarikat untuk dijadikan kawasan pertanian bagi penanaman sayur-sayuran.

Terbaru tanah runtuh berlaku tiga hari lepas dan aliran air Sungai Belatop juga terganggu kerana timbunan tanah, katanya ketika ditemui pemberita di perkampungan itu di sini, hari ini.

Menurutnya selain Kampung Sang Wai, beberapa perkampungan Orang Asli lain di Lojing dan Pos Brooke turut terjejas akibat daripada kerja-kerja penerokaan hutan manakala penempatan rosak akibat banjir lumpur seperti Kampung Jedip, di sini.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli kampung itu, Kamarudin Uda, 43, berkata masyarakat Orang Asli sudah jemu membuat aduan kerana setiap laporan yang dibuat kepada Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini tidak disusuli sebarang tindakan lanjut.

"Saya minta tolong sekali lagi kepada semua pihak, harap dapat bersimpatilah dengan nasib masyarakat Orang Asli dan hentikanlah menggondol bukit ini," katanya.

Ketika ditemui, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof berkata kerajaan negeri sewajarnya menghentikan sebarang kegiatan pembukaan tanah pertanian di Lojing kerana didapati aktiviti membersihkan kawasan hutan atas alasan membuka kawasan pertanian kini sudah tidak terkawal.

Beliau berkata kesan daripada kegiatan itu amat jelas apabila masyarakat Orang Asli menerima padahnya kerana perkampungan masyarakat itu hilang satu-satunya sumber air bersih selain kehilangan sumber pendapatan daripada hasil hutan.

"Saya sudah beberapa kali melaporkan perkara itu kepada pemimpin kerajaan negeri selepas meninjau sendiri keadaan yang berlaku tetapi saya kecewa kerana sehingga kini masih belum ada tindakan daripada pemimpin kerajaan negeri," katanya.

Sumber: Bernama | 23 November 2017

Kakitangan AADK direman tujuh hari

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini membenarkan permohonan reman tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan terhadap seorang kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cawangan Tanah Merah yang disyaki menerima suapan.

Perintah reman tersebut yang bermula hari ini dan berakhir Rabu depan itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Nor Faizah Abdullah.

Terdahulu, suspek yang ditangkap oleh SPRM petang semalam di Tanah Merah, tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira 10 pagi hari ini dengan diiringi beberapa pegawai SPRM Kelantan.

Semalam, Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsudin Yusof dipetik sebagai berkata menahan suspek selepas disyaki meminta suapan sebanyak RM500 daripada seorang pengadu sebagai balasan menyelesaikan waran tangkapan kerana positif ujian saringan air kencing.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana memberi atau menawarkan suapan.

Sumber: Bernama | 23 November 2017

Isnin, 20 November 2017

Dasar budaya dan warisan seni antara tonggak TN50 - Rais

KOTA BHARU: Dasar budaya dan warisan seni tanah air perlu mempunyai bahagian yang jelas sebagai satu daripada tonggak Transformasi Nasional 2050 (TN50) dalam konteks membina negara bangsa, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini mesti mempunyai pengkhususan hak dalam aspek pembudayaan negara.

"TN50 yang kita dukung hendaklah mempunyai roh budaya tinggi yang akan menjadi teras kepada pembinaan negara bangsa bersandarkan kepada Islam dan kemelayuan," katanya kepada pemberita pada Program Ramah Mesra Penggiat Seni Budaya Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa, di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK Datuk Abdul Aziz Ab Latif.

Program berbentuk dialog itu menghimpunkan kira-kira 80 penggiat seni Kelantan dalam usaha memperkasakan budaya dan warisan di negeri ini.

UMK yang akan dijadikan platform pengembangan budaya dan warisan seni Kelantan turut menerima sumbangan dana berjumlah RM100,000 pada majlis berkenaan.

Rais berkata sumbangan itu adalah suntikan awal kepada UMK bagi tujuan menyuburkan warisan dan seni pantai timur melalui program-program yang akan dilaksanakan tahun hadapan dengan kerjasama penggiat seni tempatan.

Dalam pada itu, katanya bangsa Melayu tidak boleh mengalah dalam usaha mengukuhkan jati diri dan warisan tanah air walaupun terpaksa mendepani cabaran globalisasi dan arus teknologi moden.

Katanya usaha perlu sentiasa diteruskan termasuk memperkukuhkan sukatan pelajaran dan pendidikan negara selain pemerkasaan peranan kerajaan tempatan.

"Kita juga perlu mencontohi kegigihan bangsa lain yang membangun, bertamadun dengan mengekalkan acuan mereka sendiri," katanya. 

Sumber: Bernama | 20 November 2017

Pahang jana pendapatan RM7.48 bilion, tarik 11.25 juta pelancong setakat September

KUANTAN: Pahang merekodkan kehadiran pelancong seramai 11.25 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM7.48 bilion setakat September lalu, sempena Tahun Melawat Pahang 2017. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata jumlah pelancong itu tidak termasuk anggaran dua juta pelancong yang bermalam di rumah tumpangan dan hotel bajet yang tidak berdaftar. 

"Peningkatan pelancong yang paling ketara ialah di Sungai Lembing iaitu sebanyak 109 peratus, diikuti Pekan dan Temerloh. Berdasarkan statistik, Genting Highlands mencatatkan jumlah pelancong paling ramai iaitu sebanyak 6.6 juta orang," katanya. 

Mohd Sharkar berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) yang ingin tahun jumlah kehadiran pelancong. 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Andasura Rabu (PAS-Beserah) mengenai tindakan kerajaan untuk memastikan hotel bajet atau rumah inap desa berdaftar, Mohd Sharkar berkata perkara itu sedang dalam kajian.

"Hotel bajet yang tidak berdaftar ini memang menyebabkan berlaku sedikit kerugian dari segi angka seperti dalam kutipan cukai. Tapi kita sedar bahawa mutakhir ini, banyak rumah ditukar menjadi rumah tumpangan atau inap desa.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang mengkaji bagaimana hendak mendaftarkan rumah seperti ini, namun kebanyakan mereka terletak di kawasan pedalaman yang tidak termasuk di bawah bidang kuasa PBT. 

"Kami faham bahawa ramai penduduk di luar bandar terlibat dengan inap desa selepas anak mereka sudah besar dan berhijrah. Ini menjana pendapatan kepada mereka daripada membiarkan dua atau tiga bilik di rumah kosong," katanya.

Sementara itu, Sim Chon Siang (PKR-Teruntum) pada soalan tambahannya menyentuh aspek keselamatan di rumah inap desa dan hotel bajet yang tidak berdaftar kerana mereka tidak diselia seperti hotel. 

Mohd Sharkar berkata aspek keselamatan menjadi keutamaan kerajaan negeri dan antara tindakan yang dilakukan adalah memberikan kursus dan taklimat kepada pengusaha inap desa.

Sumber: Bernama | 20 November 2017

UMNO Pasir Mas tumpu projek pertanian tingkatkan pendapatan rakyat

PASIR MAS: Sebanyak 17 peserta projek pemulihan tanah terbiar di kawasan seluas 12 hektar di Kampung Slow Kulim, Bunut Susu di sini kini boleh senyum lebar dengan hasil tanaman yang mereka usahakan di kawasan itu.

Tanaman tembikai jenis mas melon, jagung, sayur-sayuran dan labu menyumbang pendapatan antara RM1,800 dan RM3,000 sebulan kepada setiap peserta sejak mereka terbabit dalam projek berkenaan pada 2007.

Ketua kumpulan petani berkenaan, Abdullah Yacob, 67, berkata inisiatif itu mengeluarkan mas melon bernilai RM150,000 semusim diikuti jagung sebanyak RM40,000 dan sayur-sayuran RM30,000.

"Siapa sangka kawasan yang dahulunya ditinggalkan terbiar kerana tanaman padi tidak menjadi akibat kekurangan bekalan air, setelah diusahakan secara berkelompok dalam tempoh 10 tahun, ia mampu menjana pendapatan buat kami," katanya kepada Bernama ketika meninjau projek tersebut.

Sebelum wujudnya projek inisiatif UMNO Bahagian Pasir Mas dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan bagi meningkatkan pendapatan rakyat, pendapatan petani berkenaan tidak menentu.

Masalah bekalan air yang menjadi kekangan sebelum ini telah diatasi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membina telaga tiub untuk mengairi kawasan pertanian itu.

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Jabatan Pertanian turut memberikan input pertanian dan khidmat nasihat kepada petani berkenaan dalam memastikan tanaman yang diusahakan memberi hasil maksimum.

"Sekarang kami sudah boleh berdikari dengan membeli sendiri bahan pertanian yang diperlukan seperti baja, benih, racun serangga selain menanggung kos membajak," kata seorang lagi peserta, Mohd Johari Mohd Salleh, 47.

Sementara itu, lulusan diploma fisioterapi daripada sebuah kolej swasta, Sheda Mohamad, 27, lebih gembira menyambung perusahaan kecil-kecilan membuat kerepek tradisional yang diusahakan oleh keluarganya selepas melihat pelbagai tawaran meningkatkan pendapatan yang ditonjolkan oleh UMNO Bahagian Pasir Mas.

Melalui Perusahaan Zaharah Getas Maju, wanita itu mengusahakan pelbagai jenis kerepek berasaskan tepung gandum seperti gegetas (akar nyior), kerepek tiram, kerepek lidah buaya, kerepek bawang, kerepek bilis dan buah rotan.

"Kami dapat menghasilkan 1,000 peket kerepek sehari yang dijual pada harga bengkel RM1 sepeket, dan kami tidak menang tangan kerana permintaan sentiasa meningkat," katanya ketika ditemui di Kampung Atas Pinggir, Tendong di sini.

Dengan anggaran pendapatan RM5,000 sebulan, anak muda ini bertekad membesarkan lagi perusahaannya setelah mendapat bantuan modal dan peralatan daripada Kada selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakan-rakan sekampungnya.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas Datuk Hanafi Mamat, projek pertanian dan industri asas tani merupakan tumpuan pihaknya dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk yang berpendapatan rendah.

Hanafi, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Mas, berkata terdapat beberapa lagi projek pertanian yang memberi impak tinggi kepada peserta dilaksanakan di kawasan Parlimen tersebut termasuk projek pemeliharaan kambing tenusu dan lembu daging.

"Kita tidak mengira fahaman politik dalam memilih peserta asalkan mereka daripada golongan berpendapatan rendah dan mahu untuk mengubah kehidupan mereka," katanya.

Beliau berkata pihaknya bersama agensi kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu rakyat yang masih ramai dalam kategori golongan miskin di negeri ini.

Sumber: Bernama | 20 November 2017

Kelantan akui hubungan dengan Kerajaan Persekutuan semakin baik

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengakui hubungan dengan Kerajaan Persekutuan semakin baik terutamanya selepas banjir 2014 dengan banyak kesepakatan dicapai oleh kedua-dua pihak untuk kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sejak berlakunya bencana alam tersebut, Kerajaan Persekutuan telah banyak membantu Kelantan sehingga sekarang ini.

"Bagaimanapun dalam beberapa isu kita lihat ia perlu diatasi bagi memenuhi semangat Perlembagaan Persekutuan seperti isu royalti minyak yang kini dalam proses mahkamah," katanya ketika menjawab soalan daripada Azami Md Nor (PAS-Kadok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mohd Amar berharap hubungan yang bertambah baik antara kerajaan negeri dan persekutuan itu akan mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek seperti pembinaan hospital di Bachok, tebatan banjir Sungai Golok dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Hanifa Ahmad pula berkata proses pengambilan balik tanah untuk projek kereta api Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi fasa pertama dari Pasir Puteh-Bachok-Kota Bharu sepanjang 40 kilometer (km) boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Bagi fasa kedua dari Tunjong di sini ke Pengkalan Kubor, Tumpat sepanjang 28 km masih dalam rundingan, katanya ketika menjawab soalan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) yang bertanyakan perkembangan terkini projek ECRL itu.

Hanifa berkata bagi fasa pertama itu ia akan melibatkan 6,000 pemilik tanah, manakala bagi fasa kedua kira-kira 3,000 pemilik tanah.

Menjawab soalan tambahan daripada Abdul Rahman, Hanifa berkata selain ECRL tersebut, kerajaan persekutuan perlu memberi keutamaan dan menyegerakan pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) untuk kemudahan rakyat negeri ini.

Sementara itu ketika ditemui di luar persidangan tersebut, Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) berkata projek ECRL itu yang menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan akan merancakkan sistem pengangkutan darat serta menarik pelabur ke negeri pantai timur.

Beliau berkata selain mengembangkan ekonomi di negeri-negeri Pantai Timur, perkhidmatan kereta api tersebut akan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat hasil daripada pembangunan yang bakal berlaku.

Namun begitu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut mengutamakan pembinaan lebuh raya CSR sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2018 untuk kepentingan rakyat.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut kesal dengan sikap pihak kerajaan negeri yang 'suka berpolitik' dengan saling menyalahkan Kerajaan Persekutuan sekiranya berlaku kelewatan pelaksanaan sesuatu projek yang dirancang.

Beliau berkata tindakan pihak terbabit adalah tidak adil dan sepatutnya mereka hadapi perkara tersebut dengan penuh kesabaran kerana janji kerajaan persekutuan pasti ditunaikan.

Sumber: Bernama | 20 November 2017

Sabtu, 18 November 2017

Hab Selera: Rahsia Restoran House of Nasi Kerabu tidak putus terima pelanggan

Rohayu Mamat (kiri) bersama dengan Shamil Awang menunjukkan juadah nasi kerabu di House of Nasi Kerabu di Prima Gombak, Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.
KEPELBAGAIAN menu berasaskan masakan tradisional penduduk di kawasan Pantai Timur terutamanya nasi kerabu membuatkan restoran House of Nasi Kerabu dikunjungi pelanggan setiap hari.

Restoran yang berinspirasikan masakan air tangan ibu itu menjadikan premis makanan ini amat istimewa dengan kualiti yang sentiasa dititikberatkan oleh pemiliknya, Rohayu Mamat.

Dibuka pada pukul 11 pagi hingga 11 malam setiap hari, restoran di Taman Seri Gombak, Batu Caves Selangor itu menawarkan menu menyelerakan seperti Nasi Kerabu Narathiwat Udang Galah XXL, Nasi Kerabu Ketam Nipah, Nasi Kerabu Tumis Jumbo, Laksam Kelantan dan nasi dagang.

Rohayu berkata, kesemua hidangan istimewa itu dimasak mengikut resipi ibunya dengan menggunakan rempah ratus khas turun-temurun keluarga.

“Inilah rahsia keenakan masakan di restoran kami, resipi warisan yang menghasilkan hidangan lebih sedap dan menepati cita rasa pelanggan.

“Restoran ini beroperasi sejak tujuh tahun lepas dan mendapat sambutan meng­galakkan daripada pelanggan. Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan rasa dan harga yang kami tawarkan iaitu antara RM6.80 hingga RM78.90,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut, boleh melayari laman sosial Facebook restoran itu menerusi carian House of Nasi Kerabu dan boleh hubungi di talian 017-555 9782 atau 012-368 9782 untuk perkhidmatan katering.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - KL & Putrajaya | 18 November 2017

Rabu, 15 November 2017

Piya kekal bersama TRW

KOTA BHARU: Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi atau Piya (gambar) sah kekal bersama The Red Warriors (TRW) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2018.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pemain berusia 34 tahun itu memilih untuk memyambung kontrak bersama TRW selama semusim lagi.

“Alhamdulillah, Piya sudah menandatangi kontrak sebelum dia bertolak ke Jepun petang ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Piya kerana memilih untuk terus kekal bersama TRW,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Bibi Ramjani memberitahu, beliau berharap pemain berpengalaman itu akan terus memberikan aksi menarik bagi membantu TRW melakar keputusan lebih baik musim depan.

Katanya, walaupun Piya sudah agak berusia namun pengalaman yang dimilikinya mampu menghadirkan impak positif buat pasukan.

“Saya penuh yakin, usia bukan penghalang buat Piya untuk memberikan aksi terbaik pada musim 2018 nanti,”ujarnya.

Sumber: Utusan Online | Sukan - Bola Sepak | 15 November 2017

3 sekeluarga maut dibunuh, seorang parah

Pasukan forensik mengangkat mayat tiga sekeluarga yang mati akibat dibunuh di sebuah rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu untuk dibawa ke hospital hari ini.
KOTA BHARU: Tiga sekeluarga ditemukan mati manakala seorang lagi cedera parah akibat ditikam dengan pisau dan dihentak dengan tukul di sebuah rumah di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab, di sini petang ini.

Mangsa yang maut merupakan pasangan suami isteri iaitu Kha Eng Ni, 42; isterinya Chua Joo Seok, 37 dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13.

Sementara itu, anak perempuan mereka yang berusia Kha Xing Rhuu, 15 cedera parah dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Din Ahmad berkata, pihak polis menerima maklumat tentang kejadian itu daripada jiran mangsa pada pukul 2.30 petang tadi.

“Berdasarkan maklumat awal, kejadian berlaku sekitar pukul 1.30 petang hingga 2.30 petang.

“Suspek dipercayai pekerja pasangan suami isteri itu sendiri yang menjalankan perniagaan perkakas rumah. Suspek lelaki itu kini menghilangkan diri dengan van kecil milik mangsa,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Utusan Online | Jenayah - Terkini | 15 November 2017

Hari MITI Zon Timur 2017 tawar pelbagai aktiviti menarik

KOTA BHARU: Hari MITI Zon Pantai Timur 2017 yang bakal berlangsung di Hotel Grand Riverview, di sini pada 19 dan 20 November ini menawarkan pelbagai program bermanfaat kepada pengunjung termasuk 2,500 peluang pekerjaan di 27 syarikat multinasional serta peluang mengembangkan perniagaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kelantan, Nik Mohd. Fahim Muhaimin berkata, antara syarikat yang akan membuat temuduga terbuka adalah Rohm-Waco Electronics, Ain Medicare Sdn. Bhd., Malaysian Rail Link (MRL), Coca Cola, Tok Bali Supply Base, Nasional Wide Express, QSR Brands serta Pelaburan MARA Berhad.

Katanya, sesi temuduga akan diadakan pada hari pertama sahaja iaitu pada 19 November dan orang ramai berminat mencari pekerjaan dinasihatkan melayari laman Facebook 'MIDA Kelantan' bagi mendapatkan panduan berguna sebelum mereka menghadiri temuduga tersebut.

"Hari terbuka ini disertai pelbagai agensi dibawah MITI termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp.).

"Pada hari pertama juga akan diadakan pelancaran Perodua Myvi baharu yang julung-julung kali diadakan di luar Kuala Lumpur. Selain itu, antara aktiviti lain sepanjang dua hari program termasuklah pameran automotif, seminar pelaburan, forum 'Mari Nego Caro MITI' serta E-Dagang bersama Google," katanya.

Menurut Nik Mohd. Fahim, program tersebut yang dibuka kepada orang ramai bermula 9 pagi hingga 5 petang bertujuan mempromosi peranan dan fungsi kementerian serta semua agensi di bawahnya kepada orang ramai.

"Dijangkakan lebih 5,000 pengunjung hadir sepanjang dua hari program berlangsung.

"Pada hari terbuka itu, bas ulang-alik secara percuma disediakan setiap 30 minit di Aeon Mall, KB Mall, Stadium Sultan Muhammad IV Parkson Mall dan Stesen Bas SKMK. Sebarang maklumat lanjut boleh layari www.miti.gov.my," katanya.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 15 November 2017

Semakan Draf RT MPKB-BRI 2035 dibuka

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (kiri) melawat ruang pameran di Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Kelantan 2035 (Penggantian) di Kota Bharu, hari ini.
KOTA BHARU: Orang ramai diberi masa sebulan untuk menyemak Draf Rancangan Tempatan (RT) Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Kelantan 2035 (Penggantian) bermula hari ini sehingga 14 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, sebarang bantahan dan cadangan boleh dikemukakan sama ada agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun masyarakat kampung.

Abdul Fattah berkata, penghasilan draf tersebut yang mengambil masa lapan bulan adalah hasil kerjasama pelbagai pihak khususnya Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta MPKB-BRI.

“Draf RT ini adalah milik semua yang mana jika ada pihak tidak setuju mereka boleh mengemukakan bantahan terhadap sebarang syor dalam RT.

Kita berharap RT dapat memenuhi hasrat menjadikan Kota Bharu sebuah bandar raya berimejkan Islam dan pusat pertumbuhan nasional di bahagian utara Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER),” katanya selepas Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RT MPKB-BRI Kelantan 2035 (Penggantian) di sini hari ini.

Program itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob. Yang turut hadir, Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail.

Orang ramai boleh menyemak draf RT tersebut di tiga lokasi iaitu ruang legar MPKB-BRI; Jabatan Bandar dan Desa negeri dan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu.

Sumber: Utusan Online | Nasional | 15 November 2017

Larangan bertudung: PBT disaran tarik balik lesen hotel - Noh Omar

IPOH: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran untuk menarik balik lesen pengusaha hotel yang tidak membenarkan pekerja wanita Islam memakai tudung semasa bertugas, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata dasar melarang pekerja wanita Islam memakai tudung adalah bertentangan dengan perlembagaan negara dan hak asasi yang diperjuangkan di peringkat antarabangsa.

"Jika benar ada aduan ini saya sarankan supaya PBT menarik balik lesen yang dikeluarkan dan hotel ini sepatutnya tidak boleh beroperasi kerana hak asasi sebagai orang Islam wanita wajib memakai tudung walaupun ia melibatkan hotel antarabangsa.

"Pihak perhotelan antarabangsa sepatutnya lebih rasional kerana hak kebebasan agama, berpakaian diperjuangkan di peringkat antarabangsa...tak kan nak pakai tudung tak boleh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Samuel Cheah Swee Hee mengenai dasar larangan bertudung di bahagian depan diamalkan rangkaian hotel antarabangsa menerusi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Terdahulu, Noh melawat dua anggota bomba yang cedera ketika memadam api di sebuah kilang memproses habuk kayu untuk membuat papan lapis di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi pada Sabtu lalu, Shazlan Mohd Hanafiah dan Mohd Azri Aziz cedera semasa mereka naik ke atas silo setinggi 3.7 meter untuk memasukkan air tetapi masih ada bara api dan belum sempat air dimasukkan, berlaku percikan hingga menyebabkan letupan.

Noh berkata Shazlan yang melecur 10 peratus kini semakin pulih dan boleh bercakap manakala Mohd Azri akan dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Beliau berkata insiden itu berlaku di luar jangkaan walaupun anggota bomba telah dilengkapi dengan peralatan keselamatan dan latihan semasa memadam api.

"Tahniah di atas keberanian mereka dan meletakkan tanggungjawab menyelamatkan mangsa lebih penting daripada diri mereka sendiri," katanya.

Noh kemudian melawat anggota bomba Mohamad Azizi Rosli di Hospital Changkat Melintang dekat Bota yang mengalami renjatan elektrik dalam operasi memadam api malam tadi.

Sumber: Bernama | 15 November 2017

Perkhidmatan Mybas di Kuala Terengganu bermula awal tahun depan

PUTRAJAYA: Perkhidmatan bas henti-henti Mybas menerusi Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) akan mula beroperasi di Terengganu awal tahun depan, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Menurutnya, pengurusan Mybas kendalian MARA Liner Sdn Bhd akan berpusat di Kuala Terengganu, membabitkan 32 buah bas.

"Mybas adalah projek perintis yang diusahakan kerajaan pusat dan selain 32 bas itu, Terengganu juga akan menerima lapan buat bas elektrik yang akan digunakan dalam perkhidmatan tersebut," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Untuk permulaan, katanya, Mybas akan melibatkan lapan laluan yang akan diumumkan kemudian dengan laluan-laluan tersebut berkaitan dengan tempat kemudahan awam seperti hospital dan Pasar Payang selain tempat-tempat tarikan pelancong.

Katanya perkhidmatan bas untuk laluan dalam bandar di negeri tersebut diakui mempunyai masalah kerana banyak syarikat bas yang menghentikan operasi kerana tidak dapat menjana keuntungan.

"Alhamdulillah, Mybas akan mengambil alih peranan itu dengan projek perintis dilaksanakan di Kuala Terengganu terlebih dahulu dan jika berjaya ia akan diperluas ke kawasan tumpuan yang lain," katanya.

Terdahulu, Ahmad Razif mengumumkan kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu akan menganjurkan Terengganu Monsoon Challenge Sailing GP 2017 pada 23 hingga 26 Nov ini di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.

Katanya dijangka lebih 300 atlet dan pegawai akan terlibat dalam kejohanan tersebut termasuk peserta luar negara seperti Thailand, Singapura; Jepun dan Indonesia.

"Objektif utama kejohanan yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan Luncur Layar Terengganu ini ialah untuk menghimpunkan pelayar-pelayar profesional dan amatur dari dalam dan luar negara.

"Acara yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM60,000 ini akan dijadikan acara tahunan dan dijangka 10,000 pengunjung akan hadir menyaksikannya sekali gus meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri itu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata keputusan mengenai satu atau dua pasukan dari Terengganu yang akan beraksi dalam saingan Liga Super pada musim hadapan belum dimuktamadkan lagi dan keputusan mengenainya dijangka dibuat pada akhir tahun ini.

Sumber: Bernama | 15 November 2017

Hari Terbuka MITI Zon Pantai Timur tawar 2,500 pekerjaan

KOTA BHARU: Sambutan Hari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Zon Pantai Timur pada 19 dan 20 November ini di sini akan menawarkan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan di 27 syarikat besar.

Pengarah MITI Kelantan Nik Mohd Fahim Muhaimin berkata peluang itu yang ditawarkan menerusi Pameran Kerjaya dan Temu duga Terbuka anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan graduan dan bakal graduan khususnya dari negeri-negeri pantai timur.

Sambutan tersebut Program dijangka menarik kira-kira 5,000 pengunjung, katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau berkata antara matlamat sambutan ialah bagi membolehkan orang ramai mengenali dengan lebih dekat peranan MITI dan agensinya dalam membangunkan ekonomi termasuk sektor perusahaan kecil dan sederhana (IKS) serta perdagangan.

"Pada hari itu juga akan diadakan pelancaran model baharu kereta Perodua MyVi yang juga kali pertama dibuat di luar Kuala Lumpur. Pelancaran dilakukan di negeri ini kerana Perodua melihat Kelantan mempunyai pasaran yang tinggi untuk jualan kereta berkenaan," katanya.

Katanya seminar peluang pelaburan dan pembangunan untuk IKS juga akan diadakan bagi memberikan pendedahan kepada syarikat-syarikat tempatan yang terlibat khususnya dalam industri makanan dan pembinaan. 

"Selain itu, ia juga bagi memberikan pendedahan kepada pengusaha industri makanan mengenai kaedah penyediaan produk secara berteknologi terkini yang menepati permintaan pasaran global dan peluang meningkatkan kemahiran pengurusan perniagaan," katanya. 

Beliau berkata pihaknya akan menyediakan kenderaan khas 'Hari MITI' bagi mengangkut orang ramai dari beberapa lokasi termasuk Stesen Bas Kota Bharu dan Stadium Sultan Muhammad IV di sini ke tempat program itu berlangsung. 

Sumber: Bernama | 15 November 2017

Selasa, 14 November 2017

Mata air panas Sungai Ber diancam kemusnahan

Beginilah keadaan kolam mata air panas Sungai Ber di Lojing yang terbiar tanpa penyelenggaraan yang sepatutnya sehingga tidak lagi menarik perhatian pengunjung.
LOJING: Mata air panas Sungai Ber di Lojing di sini yang berpotensi menjadi kawasan tarikan geopelanco­ngan kerana memiliki suhu terpanas di negeri ini kini terbiar tanpa penyelenggaraan sehingga diancam kemusnahan.

Dengan suhu mencecah 72 Celsius, kawasan itu yang turut diiktiraf sebagai geotapak atau tapak sumber warisan geo­logi menjadi tumpuan orang ramai terutamanya mereka yang menghidap penyakit dan masalah kulit.

Bagaimanapun, kolam itu ketika ini dilihat semakin terbiar dengan persekitaran yang kotor dan dipenuhi semak.

Seorang pengunjung, Mohd. Zaid Ibrahim, 40, berkata, keada­an itu boleh menghakis minat orang ramai untuk berkunjung ke tempat berkenaan pada masa depan.

“Pihak berkuasa harus lebih peka dengan melakukan pembersihan secara kerap di kawasan berkenaan sekiranya tidak mahu berdepan kemusnahan teruk.

“Kolam ini terkenal dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong asing. Kami bimbang, kawasan ini akan dilupakan kerana persekitarannya yang tidak lagi indah selain faktor keselamatan,” katanya di sini hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Nor Diana Alias, 33, berasa kecewa kerana pihak berwajib kurang membuat publisiti untuk kolam air panas yang terletak di tepi jalan Gua Musang-Lojing berhampiran penempatan Orang Asli Pos Hendrop tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 13 November 2017 | Terbitan 14 November 2017

Bazar Tok Bali kini terbiar, tidak terurus

Keadaan kompleks bazar pendaratan ikan Tok Bali yang lenggang tidak terurus menimbulkan tanda tanya orang ramai dan penduduk setempat di Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.
PASIR PUTEH: Penduduk di sekitar kawasan pendaratan ikan Tok Bali, di sini mempersoalkan fungsi kompleks bazar di situ yang dilihat terbiar sejak lebih lima tahun lalu.

Seorang penduduk, Khairu­ddin Abdullah, 44, berkata, bazar berkenaan yang dikatakan di bawah Perbadanan Kerajaan Nege­ri Kelantan (PKINK) suatu ketika dulu pernah diurus dengan baik.

Bagaimanapun katanya, bazar berkenaan kini terbiar selepas kebanyakan lot tidak lagi disewa kerana dikatakan tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Lokasi itu kini sering dice­roboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada waktu malam. Malah ia menjadi lokasi persinggahan penagih dan nelayan asing,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Seorang pengunjung, Mohammed Ibrahim Mohd. Lazim, 35, pula mendakwa, keadaan tandas awam dan surau juga tidak terurus sehingga tidak boleh dimanfaatkan orang ramai.

“Hasil pengamatan saya mendapati surau dalam keadaan kotor dan tandas dalam keadaan yang tidak terurus. Kedua-dua bangunan ini tidak mempunyai bekalan air.

“Adalah lebih baik pengurusan kawasan ini diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar kemudahan yang sedia ada dapat menjana pulangan yang sepatutnya selain menjadi daya tarikan kepada pengunjung,” katanya.

Mohammed Ibrahim dalam pada itu menambah, Kedai Rak­yat 1Malaysia (KR1M) yang tidak lagi beroperasi sejak tiga bulan lalu turut menyebabkan bazar di Tok Bali kurang dikunjungi ke­cuali pada malam Khamis sahaja.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji semula dengan perancangan yang lebih berkesan agar bangunan yang dibina itu tidak terbiar dalam tempoh yang panjang tanpa memberi sebarang pendapatan dan keuntungan yang sepatutnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 13 November 2017 | Terbitan 14 November 2017

MDPM giat jalankan operasi buru anjing liar

PASIR MAS: Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) memandang serius masalah anjing liar dan sedang giat mengadakan operasi menangkap haiwan berkenaan dari semasa ke semasa.

Setiausaha MDPM Mohd. Zaidi Jusoh berkata, dalam satu operasi kelmarin, sebanyak 11 ekor anjing liar berjaya ditangkap dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan.

Menurutnya, operasi tersebut bermula pukul 10 hingga 3 pagi dan melibatkan beberapa lokasi iaitu Kampung Jias, Kampung Kasa, Kampung Dangar, Perumahan Lubok Jong dan Kampung Chetok.

“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan seliaan MDPM bebas anjing liar.

“Kita pandang serius perkara ini kerana masalah anjing liar boleh mendatangkan mudarat jika tidak ditangani dengan betul,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Zaidi memberitahu, MDPM berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama menyalurkan maklumat sekiranya kawasan mereka berdepan ancaman anjing liar.

“Tindakan segera ini penting memastikan tidak timbul sebarang masalah yang lebih berat pada masa depan,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lebih 500 penduduk di Kampung Dangar diselubungi ketakutan apabila kawasan kediaman mereka diganggu puluhan anjing liar.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 13 November 2017 | Terbitan 14 November 2017

Teruja bergotong-royong bersama Pemangku Raja Kelantan di Dataran Bandar Raya

Tengku Muhammad Fa-iz Petra (tiga dari kiri) berkenan mencuci jalan menggunakan penyembur air di Jalan Doktor dalam program Come Clean For Kelantan sempena perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V Ke-48 di Kota Bharu, kelmarin.
KOTA BHARU: Kira-kira 4,000 rakyat negeri ini teruja apabila Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra sanggup mencemar duli menyertai gotong-royong dalam program Come Clean For Kelantan di sekitar bandar ini, semalam.

Program anjuran Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan Al-Muhammadi dan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Ban­dar Raya Is­lam (MPKB-BRI) itu diadakan sempena perayaan ulang tahun hari keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-48.

Pemangku Raja tiba tepat pukul 9 pagi di Dataran Bandar Raya bersebelahan MPKB-BRI, di sini lalu meluangkan masa lebih sejam bersama rakyat untuk me­lakukan aktiviti seperti membersihkan jalan, mencantas daun pokok hiasan dan mengecat pagar.

Terdahulu, Yang DiPertua Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim berkata, program tersebut bertujuan memupuk kecintaan kepada keindahan dan kebersihan dalam kalangan rakyat.

“Kita perlu menjaga imej Kelantan sebagai negeri yang terkenal dengan barangan murah dan nilai Islam sebab itu agenda kebersihan dan keindahan harus menjadi keutamaan semua dan bukan bergantung harap kepada pihak berkuasa tempatan sahaja.

“Diharap rakyat mencontohi Pemangku Raja Kelantan yang sanggup turun bergotong-royong bersama dan sangat mengambil berat isu kebersihan sebagaimana baginda pernah bangkitkan tentang keadaan tandas-tandas masjid yang kotor dulu,” katanya.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail.

Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Umi Atikah Abd. Shukor, 21, berkata, dia tidak menyangka Pemangku Raja Kelantan sudi menyertai rakyat dalam aktiviti seperti itu.

“Saya berasal dari Pekan, Pahang dan sering mengikuti program anjuran MPKB-BRI sejak tiga tahun melalui Kelab Rekreasi UiTM Kampus Kota Bharu.

“Negeri ini tidaklah sekotor sebagaimana ramai orang sangka tetapi program sebegini amat baik untuk meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Ahmad Fariz Aiman Aziz, 16, dari Maahad Tahfiz Wal Qiraat Pulai Chondong pula berkata, dia bersama kira-kira 30 rakan sekolahnya menunggang motosikal dari Machang kerana mahu mengambil bahagian dalam program itu.

Para peserta membuat aktiviti gotong-royong di tujuh ‘check point’ iaitu Dataran Bandar Raya, Medan Ilmu, Stesen Bas Bandar Kota Bharu, Pasar Siti Khadijah, Bazar Tok Guru, Bazar Buluh Kubu dan Jalan Sultanah Zainab.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 12 November 2017 | Terbitan 13 November 2017

4,035 penduduk sertai ‘Come Clean For Kelantan’

Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan memotong daun pokok hiasan di hadapan Bangunan Tabung Haji di Jalan Doktor dalam Program 'Come Clean For Kelantan' sempena perayaan ulang tahun hari keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-48 di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Program 'Come Clean For Kelantan' sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-48 hari ini berjaya menarik kehadiran 4,035 peserta untuk menyertai aktiviti gotong-royong di sekitar bandar ini.

Program anjuran Pertubuhan Kerabat D'Raja Kelantan Al-Muhammadi dan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) itu diserikan dengan kehadiran Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Baginda turut berkenan mencemar duli menyertai aktiviti gotong royong bersama rakyat.

Menurut Yang Di Pertua Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan Al-Muhammadi, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim, program tersebut bertujuan memupuk kecintaan kepada keindahan dan kebersihan dalam kalangan penduduk negeri ini..

“Kesedaran untuk menjaga kebersihan di negeri ini harus menjadi amalan rakyat sepanjang masa dan perlu mencontohi Pemangku Raja Kelantan yang sanggup turun bergotong-royong bersama.

“Tuanku sangat mengambil berat isu kebersihan sebagaimana baginda pernah bangkitkan tentang keadaan tandas-tandas masjid tidak lama dahulu," katanya semasa berucap dalam program tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Datuk Zamri Ismail.

Para peserta terdiri kakitangan awam, swasta dan pelajar telah dibahagikan kepada tujuh 'check point' iaitu Dataran Bandar Raya, Medan Ilmu, Stesen Bas Bandar Kota Bharu, Pasar Siti Khadijah, Bazar Tok Guru, Jalan Sultanah Zainab dan Jalan Doktor.

Sumber: Utusan Online | 12 November 2017

Taman Perindustrian Tok Bali sedia peluang PKS pertingkat perniagaan

PASIR PUTEH: Taman Perindustrian Tok Bali yang akan diwujudkan di sini oleh kerajaan Persekutuan memberi peluang kepada lebih 800 usahawan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Kelantan mempertingkatkan perniagaan masing-masing.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman berkata penubuhan taman perindustrian tersebut adalah sejajar dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pahang,Terengganu dan Kelantan.

"Dengan adanya sebuah stesen (kereta api) yang akan dibina di Tok Bali, ia memberi peluang kepada usahawan untuk memasarkan produk berasaskan perikanan dan hasil pertanian masing-masing menerusi perkhidmatan kereta api, ke Kuala Lumpur dan juga (untuk tujuan pengeksportan) (menerusi) Pelabuhan Klang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian Tok Bali adalah antara projek pembangunan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2018 pada bulan lepas.

Projek ECRL yang membabitkan kos RM55 bilion bagi laluan sepanjang 688 kilometer dijangka siap pada 2024.

Zawawi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Semerak berkata kawasan seluas lebih 100 hektar di Tok Bali telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai taman perindustrian tersebut.

Beliau berkata taman perindustrian tersebut dijangka membuka peluang pekerjaan untuk lebih 5,000 penduduk Kelantan.

Sumber: Bernama | 14 November 2017

Lima bot nelayan tempatan ditahan tangkap ikan di kawasan larangan

BACHOK: Jabatan Perikanan Kelantan menahan lima bot pukat tunda nelayan tempatan yang menangkap ikan di kawasan zon menangkap ikan yang dikhususkan untuk nelayan pinggir pantai di sekitar perairan Tok Bali, Pasir Puteh hari ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan Anuar Salam Sulaiman berkata nelayan terbabit sepatutnya menangkap ikan di kawasan dua batu nautika ke atas namun mereka dikesan menjalankan aktiviti itu di kawasan satu batu nautika dari pantai Tok Bali.

"Kegiatan menangkap ikan di kawasan kurang dua batu nautika dari pantai menjejaskan hasil tangkapan nelayan pinggir pantai," katanya kepada pemberita di Pengkalan Perlindungan Sumber Perikanan Jabatan Perikanan, Tawang, di sini hari ini.

Anuar Salam berkata seramai 15 orang nelayan termasuk lima tekong yang berusia antara 20 dan 40 tahun ditahan antara pukul 8 pagi dan 10 pagi ketika sedang menangkap ikan.

"Ketika musim tengkujuh ini, udang akan berada lebih dekat dengan pantai, mereka sepatutnya membuat tangkapan menggunakan pukat hanyut tiga lapis tetapi mungkin mereka nak jumlah yang banyak dalam masa singkat, mereka menggunakan peralatan yang dilarang iaitu pukat tunda," katanya.

Beliau berkata nelayan terbabit akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 yang boleh dikenakan kompaun tidak kurang daripada RM500 dan peralatan serta hasil tangkapan dirampas.

Katanya pihaknya menerima banyak aduan daripada nelayan pinggir pantai mengenai pencerobohan bot pukat tunda di kawasan sekitar dua batu nautika dari pantai negeri ini.

Sumber: Bernama | 13 November 2017

Lebih 14,000 peserta sertai program Empower ECER di Kelantan

PASIR PUTEH: Sebanyak 14,854 peserta menyertai program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kelantan sejak ia diperkenalkan pada 2011 hingga Oktober lepas.

Pengurus Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Kelantan, Mohd Zaharuddin Mahmood berkata daripada jumlah tersebut, seramai 11,834 orang menyertai latihan akademik manakala 3,020 peserta lagi menyertai latihan kemahiran dan keusahawanan.

"Program latihan akademik menyasarkan pelajar sekolah yang berprestasi akademik lemah dan sederhana daripada keluarga berpendapatan rendah yang akan menduduki peperiksaan awam utama.

"Bagi program latihan kemahiran dan keusahawanan menyasarkan golongan belia dan dewasa yang berpendapatan rendah serta kurang bernasib baik,"katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Molek Usahawan Empower ECER Pasir Puteh di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.

Mohd Zaharuddin berkata Empower ECER itu merupakan inisiatif bagi pembangunan modal insan di negeri ini serta merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat luar bandar dan bandar.

Sumber: Bernama | 11 November 2017