Nor Azila sambil mendukung anaknya menunjukkan ulat merayap di dinding rumah. |
TUMPAT: Penduduk Kampung Kual Bharu dekat Pantai Geting, di sini, hidup dalam kebimbangan apabila kediaman mereka ‘diserang’ sejenis ulat dipercayai ulat bulu sejak empat hari lalu.
Ulat berwarna hitam sebesar jari kelingking itu membanjiri halaman kediaman penduduk dan lebih merisaukan ribuan ulat tersebut merayap di dinding dan segenap lubang memasuki bilik tidur, dapur dan ruang tamu.
Tinjauan Sinar Harian ke kampung tersebut mendapati penduduk menutup semua pintu, membersihkan dinding luar rumah dan setiap lubang ditutup dengan kain.
Penduduk, Nor Azila Yasa, 30, berkata, penduduk di sini tidak pernah berdepan dengan serangan ulat ini yang begitu banyak sehingga setiap sudut rumah dihuni ulat terbabit.
“Ulat ini menyerang tiga keluarga di sini, saya risau ia akan terus merebak dan menjejaskan kesihatan kami,” katanya.
Menurutnya, dia merasa geli melihat ulat ini merayap di merata tempat sehingga di atas katil, di ampaian kain, di langsir dan di atas meja.
“Setiap hari kami terpaksa membunuh ulat ini dengan pelbagai cara tetapi kerana banyak sangat ia tidak berkesan.
“Kami tidak tahu dari mana datangnya ulat ini tetapi semak tebal di sebelah rumah tinggal batang apabila daunnya habis di makan ulat.
“Pokok-pokok berhampiran rumah juga dipenuhi ulat, batang pokok kelapa juga ulat ini merayap naik,” katanya.
Menurutnya, dia juga terpaksa berjaga malam khuatir ulat itu merayap di badan anaknya ketika tidur dan jika serangan ulat ini berterusan, dia mungkin akan berpindah ke tempat yang selamat.
“Rasa miang, kulit terasa gatal setiap kali ulat merayap di badan, semakin hari semakin banyak ulat ini menyerang kami,” katanya.
Bagi Zuriati Zaini, 28, berkata dia berharap masalah ini mendapat perhatian segera pihak berkenaan kerana ulat ini semakin banyak menyerang tiga keluarga di sini.
“Bila ribuan ulat memenuhi rumah kami, rasa geli, jijik sehinggakan kami rasa tiada ruang selamat untuk kami tinggal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bahagian Tumpat, Nor Azita Ismail yang turun padang meninjau kampung tersebut berkata, dia akan adukan masalah ini ke pihak berkenaan.
“Masalah ini perlu ditangani segera kerana khuatir ulat-ulat ini akan menyerang ke kawasan berhampiran kerana di sini dihuni 100 keluarga.
“Saya juga risau ia akan merebak ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat kerana kediaman yang diserang ulat ini bersebelahan maktab tersebut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 7 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan