KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk
Ahmad Yakob mendedahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak pada November tahun lalu adalah bagi membangkitkan
beberapa perkara termasuk mengenai pelaksanaan hukum hudud di negeri
ini.
Menurutnya, hasrat kerajaan negeri mengenai pelaksanaan hukum hudud
di negeri ini telah dibangkitkan kepada Perdana Menteri dan melalui
perbincangan kemudian, terdapat sedikit persetujuan agar undang-undang
itu dapat direalisasikan.
Beliau berkata, Perdana Menteri bersetuju supaya kerajaan negeri
melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan perbincangan secara bersama
meneliti berkaitan halangan-halangan mengenainya sebelum ini.
"Terima kasih kerana Perdana Menteri menerima kunjungan hormat
daripada kerajaan negeri dan mendengar perkara-perkara yang
dibangkitkan. Insya-Allah saya akan berjumpa lagi dengan Perdana Menteri
untuk membincangkan lagi mengenai hukum hudud itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas titah ucapan Sultan Kelantan,
Sultan Muhammad V pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut, Ahmad memberitahu,
beliau juga membincangkan mengenai beberapa perkara demi kepentingan
rakyat di negeri ini. Katanya, antara perkara yang dibangkitkan itu adalah mengenai tuntutan
royalti minyak, permohonan pembinaan lebuh raya, jambatan Palekbang,
Kampung Cina, Tumpat dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail
Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa.
"Insya-Allah dengan kerjasama kedua-dua pihak, akan mempercepatkan kemudahan-kemudahan ini dilaksanakan," katanya.
Perdana Menteri pada 28 November tahun lalu menerima kunjungan hormat
Ahmad bersama Exco kerajaan negeri Kelantan di pejabatnya di Perdana
Putra, Putrajaya.
Pertemuan tersebut disifatkan sebagai titik permulaan kepada hubungan
yang boleh memberi manfaat kepada rakyat khususnya di negeri tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia | Parlimen | 6 Mac 2014 | Terbitan 7 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan