Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan persekutuan dan ECER sedang mengenal pasti kontraktor yang layak menerusi tender terbuka yang ditutup bulan lalu.
"Kontraktor terbabit dijangka dipilih selewat-lewatnya Jun depan. Seterusnya, pembinaan 'jambatan gantung' yang juga antara komponen utama KTCC akan boleh dimulakan pada September," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER di sini, Khamis.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issac John dan Pengurus ECERDC Wilayah Terengganu, Ahmad Hasim.
Sebelum ini kerajaan persekutuan mengeluarkan tender terpilih untuk membangunkan KTCC. Bagaimanapun, katanya, harga yang ditawarkan agak tinggi dan kerajaan terpaksa membatalkannya.
Menurut Ahmad, KTCC yang berkeluasan kira-kira 1.6 juta kaki persegi itu dijangka menarik pelaburan RM3.9 bilion, dengan RM3.5 bilion daripada sektor swasta.
KTCC meliputi kawasan seluas tujuh kilometer dari muara Sungai Terengganu dan akan dibangun dengan pelbagai kemudahan, termasuk hotel lima bintang, pusat beli-belah dan kemudahan pelayaran bertaraf antarabangsa.
Mengikut jadual, projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan bakal menjadi satu lagi mercu tanda Terengganu.
Jambatan itu merupakan yang pertama di negara ini dan sebaik siap kelak, ia bukan sahaja dapat mengatasi kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud malah bakal menjadi identiti dan tarikan utama pelancongan di bandar raya ini.
Selain tampil dengan tema 'Pusat Beli-belah Setempat Anda', KTCC turut menyediakan kemudahan rekreasi serta hiburan untuk seisi keluarga, antaranya Cineplex 10 skrin, Pacific Bowl dengan 48 lorong serta 2,500 petak letak kenderaan.
Sumber: Bernama / mStar Online | 20 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan