KOTA BHARU: Perkembangan teknologi maklumat serba canggih
antara penyumbang kepada peningkatan gejala sosial masa kini dan akan
menjadi satu fenomena membimbangkan seluruh anggota masyarakat jika
tidak dibendung secepat mungkin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian
Tinggi Kerajaan negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata,
golongan remaja sering kali mudah terpengaruh dengan pelbagai maklumat
atau paparan aksi yang tidak sesuai dengan umur mereka.
"Ini merupakan satu masalah, jiwa remaja selalunya mudah terdorong
untuk mencuba atau meniru apa yang dilihat oleh mereka terutama
aksi-aksi ganas, adegan-adegan negatif yang disalurkan menerusi pelbagai
bentuk media yang ada sekarang," katanya semasa berucap merasmikan
Program Kempen Menutup Aurat dan Jom Solat Berjemaah di sini baru-baru
ini.
Program anjuran Masjid Al-Qasimi Mukim Parit Lama, Pasir Tumboh dekat
sini itu bertujuan memupuk kesedaran moral dan budaya masyarakat
berasaskan syariat Islam khususnya bagi penduduk kawasan itu.
Mohamed Fadzli berkata, ibu bapa memainkan peranan penting bagi
memastikan penglibatan anak-anak mereka dalam aktiviti sosial tidak
melampaui batas norma-norma kehidupan sebagaimana tuntutan syariat
agama.
"Kita selalu dengar ibu bapa yang begitu peka, bimbang terhadap
haiwan belaan mereka seperti ayam, itik yang tidak pulang ketika senja
tetapi jarang yang mempedulikan anak lelaki atau perempuan yang belum
pulang-pulang ketika hari hampir malam.
"Kita seharusnya peka bahawa aktiviti sosial yang keterlaluan juga
adalah antara punca gejala sosial semakin berleluasa oleh itu, ibu bapa
seharusnya mengambil berat soal penjagaan anak-anak termasuk dari segi
pergaulan dan berpakaian," katanya.
Tambahnya, Kerajaan Pas Kelantan sentiasa memandang serius masalah
itu malah telah mengambil pelbagai inisiatif bagi mempertingkatkan
kesedaran masyarakat seluruh negeri ini dalam mematuhi ajaran agama
termasuk mengenai soal aurat wanita.
"Sepertimana kita ketahui aurat wanita adalah satu-satunya perkara
yang sering diperkata atau menjadi perhatian orang ramai maka, kerajaan
negeri memandang serius hal ini justeru, kerajaan menggalakkan rakyat
agar sentiasa mematuhi ajaran agama dengan menutup aurat," katanya.
Mengenai mengimarahkan masjid, Mohamed Fadzli berkata, pihaknya amat
menekankan pelbagai aktiviti keagamaan sebagai pembangunan rohani rakyat
walaupun agak ketinggalan dalam pembangunan fizikal.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 10 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan