Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika jawab soalan dalam Sidang Dun, kelmarin. |
SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) kali kedua menutup tirai kelmarin dengan pelbagai isu dibangkitkan sama ada pihak pembangkang mahupun kerajaan.
Sidang yang berlangsung tiga hari tenang, walaupun beberapa kali pertikaman lidah berlaku yang disifatkan lumrah dalam sebuah persidangan.
Pada istiadat pembukaan, titah dari ketua kerajaan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menarik perhatian rakyat kerana ucapan yang dikemukakan sememangnya tepat pada masanya.
Antara intipati ucapan baginda adalah menekan soal pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dan rancangan tebatan banjir sungai Golok.
Bagi pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, baginda menyarankan agar kerajaan negeri dan Pusat mempunyai sifat ikhlas serta tanggungjawab bersama untuk menyelesaikan masalah tersebut tanpa dijadikan bahan percaturan.
Jelas pembinaan projek mega yang sejauh 73 kilometer ini ini perlu disegerakan kerana ia satu keperluan mendesak rakyat Kelantan. Rakyat tidak sanggup lagi berdepan dengan kesesakan jalan raya yang melampau lebih-lebih ketika musim perayaan.
Sultan Muhammad V turut menggesa pihak berkuasa tempatan dapat membuat penambahbaikan kepada perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam untuk mewujudkan persekitaran bersih dan menarik.
Semasa sesi soal jawab, isu lebuh raya turut menjadi perhatian Adun dan juga kerajaan. Exco Kerajaan Negeri, Datuk Hanifa Ahmad menjelaskan pihaknya akan menganugerahkan tender projek dari Machang ke Kuala Krai Jun ini dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.
Seminggu sebelum ini, Adun Ayer Lanas yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan kerajaan menganugerahkan tender projek pembinaan lebuh raya itu fasa pertama 1B Pasir Hor ke Kadok kepada sebuah syarikat tempatan.
Ia dijangka memulakan projek itu April ini dan disiapkan dalam jangka tiga tahun. Sementara tender 2A dari Kadok ke Ketereh akan dikeluarkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Kerajaan negeri dan Pusat telah menyatakan komitmen masing masing, namun agak menjengkelkan kenapa tiada ada perbincangan mahupun persefahaman dalam rangka kerja menyiapkan projek ini.
Walaupun Hanifa telah menjelaskan tiada akan wujud sebarang masalah jajaran kerana konsultan kedua-dua pihak adalah syarikat yang sama, namun sekurang-kurang perlu ada perbincangan rasmi bagi menentukan hala tuju projek.
Selain itu, isu pembahagian baja turut menarik perhatian Dewan. Beberapa adun Pas membangkitkan isu pengagihan baja subsidi kerajaan pusat yang didakwa tidak adil.
Antaranya Zaki Ibrahim (Pas- Kelaboran) yang beberapa kali bangun menghentam kerajaan Pusat serta mempersoalkan kenapa JKKP mempunyai kuasa besar dalam meluluskan permohonan baja kepada pesawah.
Namun ia disangkal oleh Datuk Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang mendakwa pemimpin Pas hanya sengaja mencari isu untuk dipermainkan dan bukannya mahu menyelesaikan masalah berbangkit.
Tetapi secara positifnya, Alwi yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menyatakan komitmennya menyelesaikan masalah pesawah termasuk dalam isu pengagihan baja.
Persidangan ditutup dengan penggulungan pemimpin kerajaan negeri. Menjawab dari soalan dari Alwi, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menjelaskan kekangan kerajaan negeri dalam melaksanakan kanun jenayah Syariah yang diluluskan Dun pada 1993.
Beliau menjelaskan hasil rumusan jawatankuasa teknikal hudud, antaranya adalah faktor perbezaan politik antara pusat punca terbesar perlaksanaan itu tidak mampu diterjemahkan selain faktor undang-undang.
Apa yang menarik perhatian Dewan adalah hujah Alwi yang beberapa kali bangun mencelah sementara Adun pembangkang lain yang dilihat sekadar menjadi pemerhati.
Dr Fadzli menjelaskan, kerajaan negeri tidak akan melaksanakan hukuman itu dengan melanggar undang-undang sedia ada kerana bimbang berlaku rampasan kuasa seperti mana Mageran pada 1977.
Alwi dalam hujahnya memberi jaminan BN tidak akan mengambil tindakan ‘jalan belakang’ sekiranya berlaku konflik undang-undang kepada kerajaan negeri hasil dari tindakan menguatkuasakan hukuman itu.
Mata para pemerhati politik terus menumpukan perhatian kepada Alwi apabila beliau secara terbuka menyokong perlaksanaan hudud, walaupun mengkritik kerajaan negeri yang didakwa lebih banyak bermain politik daripada mahu melaksanakan hukuman itu.
Dalam pada itu persidangan kali ini, suara Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa tidak kedengaran berbeza pada persidangan sebelum ini.
Adakah Adun Salor ini menggunakan saluran dalaman setelah isu teguran beliau dalam Dun sebelum ini menjadi polemik yang menyebabkan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang hadir ke Kota Bharu bagi menyelesaikan konflik tersebut.
Kehangatan politik di luar sidang Dun juga berlaku. Kehadiran dua NGO, Setia dan Badar juga menarik perhatian Dewan.
NGO Setia, sebuah entiti yang berpihak kepada Pakatan Rakyat berkumpul di hadapan Kompleks Kota Darul Naim dengan menyatakan kritikan terhadap kerajaan negeri dalam beberapa isu termasuk pemecatan beberapa kakitangan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Sementara itu, Badar, NGO yang dilihat pro-Barisan Nasional menyerahkan Dokumen Kuning kepada Menteri Besar antaranya mahu kerajaan negeri memperhalus semula hasrat untuk membina Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sekiranya menghadapi masalah kewangan.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 8 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan