Suasana menjadi lebih meriah dengan kehadiran peniaga-peniaga di bahu jalan. |
RAMAI beranggapan Kota Bharu yang menjadi ibu negeri Kelantan mati
pada waktu malam dengan tidak ada sebarang aktiviti bagi orang ramai
bersantai dan suasananya mula sunyi apabila tiba detik 12 tengah malam.
Namun itu bukanlah hakikat sebenar. Di bandar ini, sebenarnya masih
terdapat beberapa tempat yang hidup serta menjadi tumpuan ramai untuk
beriadah dan melakukan aktiviti malam bersama keluarga atau
sahabat-handai.
Salah satu tempat yang menjadi tumpuan ramai pada waktu malam adalah
kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa
yang mana pada setiap malam, ia akan dipenuhi orang ramai yang datang
dari seluruh negeri ini.
Setiap hari seawal pukul 8 malam sehingga 2 pagi, bahu-bahu jalan di
kawasan LTSIP akan menjadi tumpuan ramai yang terdiri daripada pelbagai
golongan serta lapisan umur. Kehadiran mereka ke situ adalah untuk
meluangkan masa dan bersantai sambil menyaksikan kelibat kapal terbang
berlepas dan mendarat.
Malah pada hujung minggu di kawasan berkenaan, diibaratkan seperti
pesta dengan dipenuhi orang ramai melepak dan bersantai di sepanjang
kira-kira lima kilometer jalan di kawasan LTSIP.
Selain itu, ia turut menjadi pilihan keluarga untuk berkelah bersama
anak-anak sambil menikmati makanan dalam suasana malam yang begitu
menyeronokkan.
Suasana meriah seperti itu sememangnya unik dapat disaksikan. Ketika
negeri-negeri lain memiliki banyak lokasi pilihan untuk beriadah, rakyat
Kelantan pula menjadikan lapangan terbang sebagai salah sebuah tempat
untuk mereka meluangkan masa melakukan aktiviti pada waktu malam.
Selain kelibat orang ramai melihat kapal terbang, suasana malam di
kawasan berkenaan juga dimeriahkan dengan kewujudan para peniaga di
bahu-bahu jalan bagi mencari rezeki dengan menjual pelbagai jenis
makanan.
Seorang kakitangan kerajaan, Hamdi Saidin, 38, berkata, kawasan
tersebut sememangnya menjadi tumpuan khususnya rakyat di negeri ini
untuk meluangkan masa bersantai bersama ahli keluarga serta sahabat
handai terutamanya pada waktu malam.
Katanya, dia juga tidak terkecuali, setiap hujung minggu di kala
waktu terluang, dia akan membawa isteri dan anak-anaknya berkelah di
kawasan berkenaan.
Berkelah di kawasan ini dengan menikmati makanan bersama isteri dan
anak-anak sambil menyaksikan kapal terbang berlepas dan mendarat sangat
menyeronokkan. Situasi seperti ini hanya terdapat di negeri ini sahaja,"
katanya.
Katanya lagi, Kota Bharu tidak banyak tempat bagi orang ramai
melakukan aktiviti malam. Justeru, tidak hairanlah mereka menjadikan
lapangan terbang tersebut sebagai pilihan untuk menghabiskan masa
senggang pada waktu malam.
Seorang pelajar, Mohd Ashraf Syafiq Mazlan, 23, berkata, setiap
hujung minggu dia bersama rakan-rakan akan meluangkan masa mengunjungi
kawasan lapangan terbang berkenaan untuk menyaksikan keindahan malam
sambil melihat kelibat kapal terbang yang sememangnya menjadi tumpuan.
Katanya, dia juga tidak menafikan kekurangan lokasi beriadah di Kota
Bharu khususnya pada waktu malam membuatkan lapangan terbang itu
sentiasa menjadi tumpuan orang ramai. Ujarnya, dia selesa bersantai di situ kerana di kawasan itu juga merupakan kawasan yang paling popular di negeri ini.
Setiap hari katanya, lokasi itu menggamit pelbagai lapisan
masyarakat, bukan sahaja dari kawasan sekitar malah mereka yang tinggal
di luar daerah ini.
Kawan-kawan saya dari luar Kelantan yang datang ke sini akan saya
bawa melepak di sini untuk melihat sendiri suasana malam di LTSIP,"
katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Mohd. Aminuddin Yaakob, 24, pula
berkata, kawasan ini sememangnya menjadi tumpuan orang ramai beriadah.
Justeru dia mengambil peluang mencari rezeki dengan menjalankan
perniagaan di sini.
Katanya, setiap malam dia mampu menjana pendapatan sehingga RM100
hasil daripada jualan minuman dan pendapatannya itu akan bertambah
terutamanya pada hujung minggu.
Di sini kawasan utama penduduk Kota Bharu beriadah pada waktu malam.
Selalunya Kota Bharu sunyi pada waktu malam. Di kawasan ini sahaja yang
masih meriah," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Pelancongan | 5 Oktober 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan