Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 9 Mac 2014

Projek ladang hutan: Kelantan guna untuk keperluan

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengumumkan hanya menggunakan 51.33 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan kawasan yang diluluskan Majlis Tanah Negara bagi tujuan penanaman ladang hutan yang dijangka sempurna sepenuhnya pada tahun 2020.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) berkata, perkara tersebut sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak terutamanya pembangkang yang mengatakan tanah-tanah tersebut digunakan secara berleluasa tanpa pengawasan.

“Kita mempunyai lebih 600,000 hektar tanah iaitu melibatkan lebih 41 peratus daripada keseluruhan kawasan Kelantan, manakala yang kita luluskan untuk projek ladang hutan ialah sebanyak 102,149 hektar, iaitu melibatkan lebih 16 peratus daripada keseluruhan hutan simpan yang terdapat di Kelantan.

“Kerajaan negeri hanya gunakan 51.33 peratus sahaja daripada keseluruhan kawasan tersebut yang mana telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara walaupun pada dasarnya tanah hutan itu dibuka sehingga 199,000 hektar.

"Oleh itu, tidak berbangkitlah jika ada isu yang mengatakan kita menceroboh mana-mana tanah untuk sebarang kegunaan dan sebagainya,” katanya ketika sesi penggulungan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ke-13 semalam.

Menurutnya, projek ladang hutan tersebut merupakan salah satu program yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara yang mana kerajaan negeri dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mengendali secara teratur sebagaimana yang telah dilakukan berpandukan keperluan.

Beliau berkata, daripada jumlah 102,149 hektar tersebut, seluas 16,118 hektar telah pun siap ditanam, 11,932 hektar kini sedang ditanam manakala bakinya dalam tempoh dalam penyediaan.

Selain itu, beliau berkata, pihak kerajaan negeri juga memandang serius penggunaan tanah secara berleluasa selain turut menegaskan tidak akan teragak-agak untuk menarik balik mana-mana projek yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Mohd Amar yang memegang portfolio Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli juga memberitahu, pihaknya bersikap terbuka menerima kerjasama daripada agensi-agensi penguatkuasaan termasuklah Jabatan Alam Sekitar walaupun mengakui sedikit kecewa dengan sikap yang ditonjolkan sesetengah jabatan persekutuan yang tidak mengikut akta-akta mahupun peraturan kerjasama yang perlu diikuti.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 7 Mac 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan