Rumah Ismail diusung 130 penduduk ke tapak baharu kerana tapak asal merupakan rezab untuk jalan. |
BUKIT AWANG: Tradisi masyarakat bekerjasama mengusung rumah yang diamalkan sejak zaman silam masih kekal sehingga ke hari ini malah ia dilihat kaedah terbaik menyelesaikan masalah tapak rumah yang terpaksa diubah.
Penduduk, Zulkifli Hussin, 56, berkata, mengusung rumah digerakkan disebabkan beberapa faktor seperti rumah lama hendak diubah ke tapak baharu atas sebab tertentu.
Menurutnya, rumah asal adakalanya dibina dalam tanah milik orang lain yang kemudiannya terpaksa dialih dan usaha itu seringkali mendapat kerjasama penduduk.
“Seramai 130 penduduk setempat dan kampung bersebelahan iaitu dalam kawasan Terengganu berganding bahu mengusung rumah penduduk kerana tapak asal berada di atas rezab jalan.
“Aktiviti ini mengingatkan kita kepada tradisi yang dipraktikkan nenek moyang kita pada suatu masa dahulu, alhamdulillah semangat tolong menolong orang kampung masih kuat,” katanya kepada Sinar Harian.
Zulkifli Hussin, cara untuk mengusung rumah masih kekal iaitu dengan mengikat beberapa kayu panjang pada bahagian bawah rumah bagi memudahkan kerja-kerja mengangkat.
“Penduduk berada di sekeliling rumah dan mengangkatnya secara serentak dengan menggunakan kekuatan atas bahu dan kesefahaman menjadi elemen penting dalam menjayakan aktiviti ini,” katanya.
Sementara itu, pemilik rumah, Ismail Daud, 88, berkata, rumahnya terpaksa dipindahkan ke tapak baharu tidak jauh dari tapak asal.
Katanya, mengusung rumah merupakan kaedah paling sesuai kerana jaraknya tidak jauh selain dia tidak mampu membina rumah baharu.
“Pakcik mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk yang terlibat, ia menyelesaikan masalah pakcik yang terpaksa berpindah secepat mungkin kerana tapak asal merupakan tanah rezab untuk jalan,” katanya.
Ismail yang juga tukang urut berpengalaman berkata, rumah yang kini berada di tapak baharu hanya perlu diselaraskan dengan tapak tiang bagi mengantikan yang asal.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 17 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan