Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 17 Mac 2014

Kes penagihan dadah di Kelantan menurun

MACHANG: Sebanyak 1,111 kes penagih baharu dan berulang di negeri ini me­nerima khidmat bimbingan serta kaunseling daripada Agen­si Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sepanjang tahun lalu.

Pengarah AADK Kelantan, Tuan Ibrahim Abd. Ghani berkata, perkhidmatan yang diberikan oleh agensi tersebut adalah untuk membantu memulihkan golongan tersebut daripada gejala penagihan dadah.

Beliau berkata, secara umumnya, kes penagihan dadah di negeri ini mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.

“Selain itu, bagi kes Orang Kena Pengawasan (OKP) iaitu, penagih yang sedang diawasi sebelum dibebaskan daripada aktiviti pemulihan sehingga hari ini ialah seramai 2,882.

“Ini menunjukkan usaha kerajaan untuk mengatasi masalah membabitkan dadah dalam kalangan masyarakat dengan menyediakan perkhid­matan perubatan, rawatan dan pemulihan melalui ‘Klinik Cure and Care 1Malaysia’, Cure and Care Service Centre (CCSC) dan Caring Community House (CCH) mencapai matlamat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Sambutan Hari Antidadah 2014 Peringkat Negeri Kelantan di sini, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superitendan Che Malek Bedut turut hadir.

Majlis yang bertemakan AADK Prihatin, Rakyat Sejahtera itu disertai hampir 1,000 masyarakat setempat termasuk pegawai serta kakitangan awam.

Ia diadakan mempertingkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya dan kesan penyalahgunaan dadah untuk jangka masa panjang.

Terdahulu, Ahmad Jazlan sewaktu menyampaikan ucapan berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang terlalu besar untuk membasmi musuh nombor satu negara itu.

“Masalah ini perlu ditangani secara bersama agar kos untuk memulihkan dan mencegah daripada penyalahgunaan dadah dapat dikurangkan.

“Wang ini boleh digunakan untuk tujuan yang lebih penting dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat," katanya.

Tambahnya, mengikut kajian mereka yang terlibat dengan dadah bermula sejak awal kanak-kanak dan punca utama adalah kecuaian ibu bapa yang tidak begitu prihatin terhadap perkembangan anak-anak mereka selain ke­pincangan dalam institusi keluarga itu sendiri.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 16 Mac 2014 | Terbitan 17 Mac 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan