Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 24 Mac 2014

Projek Stadium Negeri Kelantan terbengkalai

Zulkifli Ali (depan, dua dari kiri) menunjukkan batu asas yang dibina oleh kerajaan Pas Kelantan sebagai tanda pelaksanaan projek stadium yang diuar-uarkan sejak 2011 di Bukit Merbau, Pasir Puteh, baru-baru ini.
PASIR PUTEH: Kerajaan Pas Kelantan didesak supaya mendedahkan status projek pembinaan stadium bola sepak bertaraf antarabangsa di Bukit Merbau di sini yang diumumkan pada Mei 2011.

Malah pada 30 Mac ini, genap setahun majlis pecah tanah projek pembinaan stadium itu yang dirasmikan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifli Ali berkata, hampir setahun rakyat Kelantan menanti stadium yang dijanjikan itu namun sehingga kini projek tersebut masih belum menunjukkan tanda-tanda akan dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau meminta Kerajaan Pas Kelantan menjelaskan perkembangan terkini pelaksanaan stadium yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun selepas majlis pecah tanah tersebut.

“Sudah hampir setahun projek ini dilancarkan, namun sehingga hari ini hanya batu asas yang ada. Rakyat Kelantan terutama penduduk setempat tertunggu-tunggu pelaksanaan projek mega yang diuar-uarkan sejak 2011 itu.

“Sebagai rakyat, mereka berhak mendapatkan penjelasan tentang status perkembangan terkini namun sehingga kini kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Yakob masih belum menyatakan komitmen tentang pembinaan kompleks tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke tapak projek pembinaan stadium bola sepak itu di Bukit Merbau baru-baru ini.

Pada 18 Mei 2011, Nik Abdul Aziz dalam sidang akhbar di pejabatnya mengumumkan bahawa Kerajaan Pas Kelantan berjanji akan membina sebuah kompleks sukan termasuk sebuah stadium bola sepak baharu.

Stadium yang bakal dibina itu mempunyai 40,000 tempat duduk serta beberapa prasarana sukan lain seperti kolam renang.

Bagi meyakinkan rakyat pada 30 Mac lalu, Nik Abdul Aziz merasmikan majlis pecah tanah projek yang melibatkan kos yang bernilai RM159 juta dan membabitkan kawasan seluas 50.4 hektar.

Pada masa sama, Zulkifli turut meminta Kerajaan Pas Kelantan supaya mendedahkan sebarang dokumen atau surat niat yang telah dikeluarkan bagi membuktikan bahawa projek itu akan dilaksanakan.

“Projek mega yang dicanang kerajaan negeri sejak dua tahun lalu telah disambut baik oleh penduduk dalam kawasan Selising terutama di Bukit Merbau yang mana ia mampu membangunkan kawasan di sini.

“Sehubungan itu, pihak terbabit yang mengendalikan pelaksanaan projek tersebut perlu tampil memberi penjelasan kerana ia menjadi harapan rakyat Kelantan terutama penduduk setempat," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad ketika dihubungi enggan mengulas mengenai projek tersebut. 

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 23 Mac 2014 | Terbitan 24 Mac 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan