Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 17 Mac 2014

KTMB cadang mohon RM400j baiki laluan Gemas - Tumpat

BATU GAJAH: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) telah menyediakan kertas kerja bagi cadangan permohonan RM400 juta daripada kerajaan untuk memperbaiki laluan segmen Pantai Timur secara besar-besaran.

Pengerusi KTMB Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata sekiranya kerajaan bersetuju dengan cadangan itu, projek pembaikan infrastruktur dan landasan bagi laluan Gemas, Negeri Sembilan ke Tumpat, Kelantan, yang mengalami masalah teruk sejak 1989 akan menjadi keutamaan.

"Kita sedang menyediakan kertas kerja itu untuk kelulusan Lembaga Pengarah. Sememangnya KTMB perlu memberi penekanan kepada laluan pantai timur dengan kepanjangan landasan sebanyak 529 kilometer kerana wilayah itu juga mengharapkan perkhidmatan pengangkutan kereta api," katanya kepada pemberita di Akademi KTM di sini hari ini.

Beliau berkata, kerja penyelenggaraan infrastruktur dan landasan termasuk pembaikan bagi laluan di kawasan tertentu merupakan proses berterusan di samping langkah waspada sentiasa diambil bagaimanapun, perubahan masa turut menuntut penggantian secara besar-besaran dilakukan.

Pada masa sekarang perkhidmatan kereta api dari Kuala Lumpur ke Tumpat mengambil masa antara 12 dan 14 jam memandangkan kelajuan yang rendah berikutan landasan tidak baik, katanya.

Kerja-kerja menaik taraf secara besar-besaran perlu dilaksanakan dan menjadi tumpuan KTMB supaya perkhidmatan pengangkutan kereta api bagi segmen wilayah Pantai Timur lebih sempurna pada masa depan, katanya.

Mengenai kadar tambang bagi penumpang kereta api yang tidak pernah dinaikkan sejak 32 tahun lepas, beliau berkata walaupun KTMB beroperasi dalam keadaan rugi, namun kepentingan rakyat juga perlu diambil kira.

"Walaupun kita beroperasi dalam keadaan rugi, kita tidak boleh buatkan rakyat susah. Jadi kita mohon supaya kerajaan mempertimbangkan masalah kita seperti perkhidmatan lebuh raya yang mana pembayaran pampasan diberikan supaya syarikat dapat bertahan," katanya.

Sumber: Bernama | 16 Mac 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan