Mazlan Lazim (duduk kanan) bersama Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia bergotong-royong membersihkan kawasan Tanah Perkuburan Islam Badang, Kota Bharu, Kelantan, semalam. |
KOTA BHARU: Kes jenayah harta benda terutama pecah rumah di negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak enam peratus sejak awal tahun ini sehingga setakat ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, selain pecah rumah, kes jenayah yang agak membimbangkan adalah curi kenderaan iaitu lori, kereta dan motosikal.
Kata beliau, kadar jenayah kekerasan bagaimanapun menunjukkan penurunan sehingga 4.4 peratus dalam tempoh tersebut. "Kadar jenayah keseluruhan di Kelantan pada mulanya meningkat sehingga 24 peratus pada Januari lalu, namun kini mula menunjukkan penurunan kepada empat peratus," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Komuniti Kepolisan dan Gotong-Royong Perdana Bersama Penduduk Kampung Kedai Buluh, dekat sini hari ini. Gotong-royong itu turut melibatkan kawasan Tanah Perkuburan Islam Badang dan Kem Kijang.
Program julung-julung kali diadakan itu dijayakan oleh kira-kira 400 anggota Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, pihaknya menyasarkan untuk menambah kira-kira 500 anggota PVR yang baharu sepanjang tahun ini. Setakat ini kata beliau, jumlah anggota itu di seluruh negeri berjumlah 783 orang.
"Dengan had usia yang telah dilanjutkan kepada 55 tahun, kita berharap dapat menarik lebih ramai orang awam untuk menyertai pasukan itu pada masa akan datang. "Pasukan itu (PVR) adalah medium mendekatkan pihak polis dengan masyarakat," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 21 Mac 2014 | Terbitan 22 Mac 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan