Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 9 Mac 2014

Kahwin di Thailand undang lebih banyak masalah

KOTA BHARU: Pasangan yang mempunyai masalah tertentu dinasihati supaya tidak membazir wang dengan berkahwin di Thailand kerana dikhuatiri ia bakal mengundang lebih banyak masalah.

Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad berkata pihaknya mengesan sebahagian besar pasangan yang berkahwin di negara jiran itu tidak sah dan tidak diakui pihak berkuasa agama negeri di negara ini.

"Ini namanya perkahwinan yang sia-sia. Sudahlah berkahwin habis beribu-ribu, berkahwin pula dengan sindiket yang diragui pernikahan mereka dan ini sesuatu perbuatan yang sia-sia.

"Ada pula pernikahan yang dibuat di Kelantan contohnya, tetapi surat nikah dikeluarkan di Thailand dan ini sesuatu pernikahan yang sangat meragukan dan nanti boleh disifatkan sebagai tidak sah," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau merasmikan program Jelajah Informasi Mesra Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia 2014 di sini hari ini.

Beliau berkata berkahwin di negara jiran itu juga sebenarnya memerlukan kos yang mahal dan akan dibebani lagi sekiranya perkahwinan mereka didaftar semula di negara ini.

"Tidak guna untuk sembunyikan taraf perkahwinan daripada isteri pertama atau berikutnya dan jika didaftar semula perkahwinan mereka, isteri akan tahu juga," katanya.

Daud berkata pasangan dinasihati supaya merujuk kepada pihak berkuasa agama jika mahu berkahwin kerana pihak tersebut mempunyai prosedur bagi memudahkan perkahwinan.

"Perlu diingatkan jika perkahwinan di luar negara tidak didaftar di mana-mana pihak berkuasa agama negeri, kita khuatir ia akan memberikan masalah akhirnya kepada golongan wanita dan juga anak yang bakal lahir," katanya.

Sumber: Bernama | 9 Mac 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan