ALOR SETAR: Ibu bapa dan guru perlu menghentikan sindrom penafian mengenai penglibatan dadah dalam kalangan anak serta pelajar mereka sekiranya ingin melihat usaha kerajaan memerangi penyalahgunaan bahan terlarang itu habis-habisan, berjaya direalisasikan.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata sindrom itu jika dibiarkan berlarutan dibimbangi akan menjadi barah dalam masyarakat, sekali gus terus merosakkan anak bangsa di negara ini.
"Sindrom penafian atau berahsia ini menjerumuskan kepada keadaan lebih buruk lagi kepada keluarga, masyarakat dan negara, jangan hanya mahu menjaga nama baik keluarga dan sekolah tetapi lihatlah apa yang akan terjadi pada masa hadapan.
"Saya menggesa ibu bapa dan guru di sekolah supaya hentikan sindrom ini kerana ia tidak membawa kebaikan tetapi keburukan yang diterima apabila anak-anak sudah berani mencuri barang berharga di rumah dan kawasan kejiranan sehingga menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat dengan kejadian-kejadian jenayah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Rakyat Sihat Tanpa Dadah (Bersama Memerangi Dadah) di Dewan Kebajikan Penduduk Taman Setia Jaya di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff.
Sehubungan itu, Lee mahu ibu bapa serta guru segera mendedahkan penglibatan anak-anak mereka jika terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) agar tindakan pencegahan dan pemulihan dapat diambil segera.
"Semua pihak harus berganding bahu dengan cara berterusan melipatgandakan kempen dan program perangi dadah sehingga akar umbi supaya kanak-kanak dan remaja didedahkan lebih awal bahaya najis dadah pada diri, keluarga dan masyarakat setempat," katanya.
Sumber: Bernama | 29 September 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan