Kompleks Niaga Tok Wan Mat yang didirikan oleh Kerajaan BN bagi memudahkan penduduk berniaga dengan lebih selesa. |
Puncanya ialah kerana lelaki itu mahu melihat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang tersergam indah di situ. Setiap kali melintasinya, Nor Ahmad pasti menoleh. Dia tidak pernah rasa puas memandang kompleks berkenaan yang beroperasi sejak lapan tahun lalu.
Hatinya girang, senyumannya lebar manakala fikirannya terbayangkan masa depan.
“Saya berangan, alangkah seronoknya jika anak-anak saya yang kini masih kecil dapat menjejakkan kaki di menara gading serba gah seperti UMK itu apabila mereka besar nanti,” kata Nor Ahmad.
Selain Nor Ahmad, keceriaan turut terpancar di wajah penduduk Jeli lain, setiap kali mereka melalui kawasan itu.
Masakan tidak. Kehadiran UMK di situ memberi 1,001 rahmat buat mereka. Sejak UMK beroperasi pada 2012, limpahan pembangunan seperti taman perumahan dan premis komersial wujud bagaikan cendawan tumbuh di kawasan sekitarnya.
UMK hanya satu contoh daripada puluhan projek pembangunan berimpak tinggi yang dibawa masuk secara berterusan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ke Parlimen Jeli sejak 20 tahun lalu.
Komitmen penuh BN dalam mengubah kawasan yang dianggap termundur di negeri ini sehingga menjadi pesat membangun bermula sejak Datuk Seri Mustapa Mohamed, 68, dipilih sebagai anggota Parlimen ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1995.
Antara yang dibawa masuk ialah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Politeknik, Kolej Komuniti, Pusat GiatMara, Sekolah Menengah Sains (SMS), Pusat Anak Permata Negara serta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga.
Mustapa juga bertanggungjawab di sebalik usaha menambah baik kemudahan awam di Jeli sehingga kemudahan jaringan jalan raya, bekalan air bersih dan eletrik serta capaian internet di daerah ini antara terbaik berbanding kawasan lain di negeri ini.
Sementara itu, Pusat Dakwah Jeli atau lebih dikenali sebagai Pondok Moden menjadi bukti kesungguhan beliau meningkatkan syiar Islam, sekali gus memberi jaminan Jeli di bawah payung BN dan UMNO tidak akan sekali-kali sunyi daripada aktiviti keagamaan.
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini pula, beberapa lagi projek baharu menemui penduduk Jeli. Antaranya, pembinaan pusat komersial, Dataran Bukit Bunga dan Dataran Tok Wan Mat yang bertujuan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat.
Pada 2016, bangunan tambahan Hospital Jeli bernilai RM57 juta dibina untuk manfaat kira-kira 47,000 penduduk daerah ini. Premis baharu serba moden itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ogos lalu.
Sementara itu, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Balah bernilai RM4 juta sedang dibina dan dijangka siap pada Mac 2019. R&R baharu itu bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Tahun lalu, Kerajaan Pusat mengumumkan peruntukan sebanyak RM554 juta bagi melaksanakan lapan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kelantan dan Jeli dipilih sebagai salah satu lokasi pembinaan projek idaman rakyat itu.
Tiada siapa mampu menafikan, Jeli melalui proses urbanisasi yang cukup terancang. Pembangunan fizikal dan kerohaniannya seimbang. Ekonominya rancak dipacu ke hadapan. Hasilnya, rakyat terus menikmati kemakmuran.
Apa yang ada di Jeli ini bukan mimpi. Itu realiti. Rekod dicipta Mustapa sukar ditandingi. Maka tidak ada sebab rakyat mahu memilih parti ‘bulan’, atau gabungan baharu berlogokan mata ‘lebam’ sehingga mengetepikan beliau yang sentiasa istiqamah berkhidmat dengan cemerlang.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 24 April 2018 | Terbitan 25 April 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan