TANAH MERAH: Barisan Nasional (BN) Kelantan mengenal pasti pengundi luar sebagai kelompok besar penting yang boleh melakukan perubahan kepada pentadbiran kerajaan negeri Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei nanti.
Pengerusi Biro Pengundi Luar UMNO Kelantan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata parti itu mengenal pasti perantau yang berdaftar sebagai pengundi di negeri ini kira-kira 150,000 orang.
"Ini satu jumlah yang besar sekiranya peratus undi dan sokongan memihak kepada BN," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan bersama pesara kerajaan di sini hari ini.
Beliau berharap pengundi luar yang terdiri daripada penjawat awam dan pekerja swasta itu dapat memanfaatkan cuti yang diumumkan kerajaan dan pelepasan cuti yang diberi majikan untuk pulang mengundi.
Menurut Ikmal Hisham, BN Kelantan dalam proses membantu pengundi luar untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.
"Terpulang kepada UMNO bahagian masing-masing untuk menyediakan bas bagi membawa pulang perantau untuk mengundi, " katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei sebagai hari mengundi bagi PRU14 dan penamaan calon pada 28 April.
Sumber: Bernama | 22 April 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan