Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 21 April 2018

Empat tawaran tambahan BN untuk warga Kota Bharu

Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh (depan, dua dari kiri) bersama kepemimpinan BN Kota Bharu ketika melancarkan Manifesto BN Kota Bharu, hari ini.
KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) mengemukakan empat tawaran tambahan kepada warga Kota Bharu jika parti itu menang di parlimen ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Tawaran tersebut ialah tajaan kenduri kahwin bagi pasangan yang baru berkahwin; tusyen percuma untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan; skim bantuan bersalin dan meneruskan Projek Perumahan Rakyat (PPR).


Pengerusi BN Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, tawaran tersebut bertujuan memenuhi keperluan penduduk bandar yang berdepan kos sara hidup lebih tinggi berbanding tempat lain.


Katanya, tawaran pertama iaitu tajaan kenduri kahwin adalah khusus untuk pasangan pengantin yang berkahwin kali pertama dan akan dibuat secara berkelompok sebanyak dua kali setahun.


“Tajaan ini melibatkan semua kaum tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain. Kita rancang untuk mengadakan majlis pertama pada 17 Ogos depan,” katanya ketika melancarkan Manifesto BN Kota Bharu di sini hari ini.


Menurut Mohamad Fatmi, tawaran kedua iaitu tusyen percuma pula diadakan khusus untuk pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh parlimen ini yang bakal menduduki peperiksaan dengan tumpuan diberikan terhadap subjek penting.


Sementara itu katanya, tawaran ketiga iaitu skim bantuan bersalin pula berbentuk sumbangan sekali beri (one-off) sebanyak RM100 secara tunai dan diberikan kepada setiap kelahiran anak pasangan warga Kota Bharu.


Tawaran keempat pula merupakan kesinambungan projek PPR di Wakaf Mek Zainab yang melibatkan 1,000 unit kediaman. Kita mahu bina lebih banyak PPR sehingga mencapai sasaran 5,000 unit kediaman.


“Perumahan ini terbuka kepada semua kaum,” katanya.

Sumber: Utusan Online | 21 April 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan