Datuk Seri Mustapa Mohamed |
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau telah menulis surat kepada Kementerian Kesihatan untuk memohon penempatan doktor pakar tetap di hospital itu.
"Hospital ini tiada doktor pakar dan mereka hanya dibantu oleh doktor pakar dari Tanah Merah dan Kota Bharu yang akan datang dua kali seminggu. Oleh itu, kita mahu penempatan kekal doktor pakar di hospital ini, " katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan ambulans jenis pacuan empat roda kepada Hospital Jeli di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Hospital Jeli Dr Norzilawati Mohd Ghazali.
Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata dengan adanya ambulans itu, rawatan kecemasan dapat diberikan lebih pantas terutama ke kawasan pedalaman yang melibatkan penduduk Orang Asli.
Mustapa berkata sebelum ini, Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk pembinaan pejabat kesihatan daerah ini.
"Ini menunjukkan kerajaan prihatin dengan Hospital Jeli," katanya yang mempertahankan kerusi Parlimen Jeli dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei ini.
Sementara itu, Dr Norzilawati berkata sekiranya doktor pakar dapat ditempatkan di hospital itu, penduduk sekitar tidak perlu ke Hospital Tanah Merah atau Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan.
"Hospital Jeli memerlukan pakar kecemasan dan pakar perubatan...dengan adanya mereka, penduduk tidak perlu menghabiskan masa perjalanan yang panjang untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Sumber: Bernama | 29 April 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan