Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 24 April 2018

Rakyat Kelantan paling ramai kerja kerajaan - KSU, Ketua Agensi juga ramai dari Kelantan

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa (dua dari kiri) menyambut keberangkatan tiba Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Majlis Penjawat Awam Persekutuan dan negeri Kelantan Bersama Pemangku Raja dan Ketua Setiausaha Negara di Hotel Perdana di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Rakyat negeri ini paling ramai berkhidmat dalam perkhidmatan awam negara dengan jumlah 12.6 peratus atau hampir 159,000 orang daripada bilangan keseluruhan penjawat awam di seluruh negara.

Lebih menarik apabila hampir 17 peratus pegawai tertinggi daripada kalangan Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Agensi Pusat di peringkat Persekutuan turut terdiri daripada orang Kelantan. Peratusan tertinggi berbanding negeri lain.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, kebolehan yang dimiliki rakyat negeri ini cukup memberikan impak kepada perkhidmatan awam Persekutuan.

“Kita ada 1.6 juta penjawat awam, semasa pengambilan kita tidak ambil kriteria dia mesti datang dari negeri tertentu tetapi secara kebetulan 12.6 peratus berasal dari Kelantan.

“Semua pemilihan dalam jawatan dan kenaikan pangkat adalah berdasarkan kebolehan dan merit masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penjawat Awam Persekutuan dan negeri Kelantan Bersama Pemangku Raja dan Ketua Setiausaha Negara di Hotel Perdana di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra telah menyampaikan titah di hadapan kira 600 penjawat awam negeri dan Persekutuan.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Nazran Mohammad dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahaya Mamat.

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Ali berkata, sejak bermulanya kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri pada 2009, negeri ini tidak pernah dipinggirkan dalam perancangan pembangunan Kerajaan Persekutuan.

“Kelantan adalah negeri yang penting dalam arus pembangunan negara malah untuk tempoh antara 2013 hingga2017, sebanyak 447 projek yang bernilai RM2.65 bilion telah dilaksanakan di negeri ini.

“Sebagai contoh, bagi perumahan mampu milik penjawat awam iaitu Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), sebanyak 7,914 unit telah diluluskan di Kelantan dengan 2,662 unit dalam pembinaan manakala 5,197 unit pada pelbagai peringkat kelulusan untuk pembinaan,” katanya. 

Sumber: Utusan Online | 24 April 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan