Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 22 April 2018

Program NBOS-CTU gembirakan penduduk miskin di luar bandar

Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad (kanan) bersama pemilik rumah Safar Mohamad Yunus meletakan plak pada Program melalui Perluas Skop NBOS- Program Menghubung Menyatu (CTU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kedai Menanti hari ini.
PASIR PUTEH: Program Menghubung Menyatu (CTU) yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan, berjaya membina 189 rumah baharu untuk penduduk miskin di enam negeri setakat ini.

Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata negeri terbabit yang masih mempunyai ramai penduduk miskin yang memerlukan rumah yang selesa ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Sabah.

"Rumah yang telah siap itu akan dilengkapi dengan kemudahan seperti bekalan air, elektrik, set televisyen dan peralatan siaran digital Astro NJOI bagi menceriakan keluarga terbabit dan memudahkan mereka mendapatkan maklumat," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah program perluasan skop NBOS-CTU di Kedai Menanti di sini, hari ini.

Sharifah Zarah berkata program tersebut yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan kerjasama kementerian lain dan pihak swasta berkesan untuk membantu golongan miskin.

Beliau berkata program itu juga dapat mengatasi masalah rakyat di luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan atau akses terhad kepada Internet, televisyen dan radio.

Katanya melalui kemudahan rangkaian telekomunikasi yang baik terutamanya akses Internet, rakyat mudah untuk berhubung dan mendapatkan maklumat begitu juga dengan pihak kerajaan yang boleh menyebarkan maklumat dengan pantas.

"Tidak semestinya apabila kita dapat akses kepada Internet kita lupakan orang yang duduk di kawasan luar bandar sebab itu kami masih menjalankan program pertemuan secara bersemuka dengan mereka," katanya.

Sharifah Zarah berkata pihaknya juga komited untuk meningkatkan pelaksanaan program berkenaan bagi masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman dan program itu pernah diadakan di beberapa perkampungan kaum tersebut seperti di Royal Belum, Perak.

Sementara itu, penerima rumah di bawah program tersebut, Mohd Zulkifly Rajab, 36, berkata tanpa bantuan daripada pihak kerajaan persekutuan adalah sukar baginya untuk membaik pulih rumahnya yang usang.

Dia yang mengambil upah kerja-kerja rencam daripada penduduk kampung dengan pendapatan antara RM500 dan RM700 sebulan, gembira kerana rumahnya itu turut dibina bilik tidur, tandas serta dapur yang baharu.

Mohd Zulkifly mendiami rumah berkenaan bersama isteri Shafarah Mohd Junoh, 30, dan empat anak berumur 5 hingga 13 tahun.

Sumber: Bernama | 21 April 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan