Gambar hiasan: Dataran Bandar Raya di pusat bandar raya Ipoh, Perak Darul Ridzuan. |
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ini merupakan hasil usaha dan contoh teladan yang ditunjukkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turun sendiri mengutip sampah sarap.
"Tiga minggu lepas saya secara senyap-senyap pergi ke tempat-tempat pelancongan di Ipoh dan memang menteri besar telah berjaya menjadikan Ipoh sebagai tempat yang disinggah oleh pelancong kerana kebersihannya."
"Kebersihan sangat penting, kerana pelancong akan melihat kebersihan di sesuatu tempat itu dan ia menunjukkan bahawa kita mempunyai tahap sivik yang tinggi, sebab itu pelancong suka datang ke negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Lumut 18, My Kampung Tourism "Moh..kome, Kita Ke Perak" di Dewan EMV di Seri Manjung di sini hari ini.
Sebelum ini, menteri besar Perak mahu aspek kebersihan terus dijaga dan dipelihara selepas Ipoh kian menjadi tumpuan dunia apabila akhbar New York Times menerbitkan sebuah artikel bertajuk 'Kenapa Ipoh, Malaysia perlu berada dalam radar pelancongan anda' pada 28 Februari lalu.
Mohamed Nazri berkata usaha menerapkan kesedaran sivik dan menjaga kebersihan sekitar bandar raya Ipoh menyebabkan bandar raya tersebut antara lokasi pelancongan yang digemari pelancong, terutama dari Jepun dan China.
Lonely Planet, penerbit buku pelancongan antarabangsa terbesar dunia sebelum ini menyenaraikan Perak sebagai wilayah kesembilan terbaik dunia untuk dilawati pada tahun 2017.
Malahan, bandar raya Ipoh juga telah diiktiraf sebagai destinasi keenam terbaik di Asia pada 2016 oleh penerbit sama.
Sumber: Bernama | 21 April 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan