KOTA BHARU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membina GiatMARA Prima dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab di Ketereh bagi memenuhi keperluan pendidikan berteraskan kemahiran dan membina generasi al-Quran.
Pengerusinya Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata GiatMARA Prima Melor itu akan dibina di Padang Mokkan, Peringat di sini, di atas tanah seluas 2.338 hektar dengan kos RM11.65 juta.
"Pembinaannya akan bermula bulan ini dan dijangka siap pada Oktober tahun depan dan mampu menampung 100 pelatih pada satu-satu masa.
"Lima kursus ditawarkan merangkumi Teknologi Automotif, Membaiki Motosikal, Masakan dan Pramusaji, kursus jangka pendek serta kursus pengkhususan melibatkan komuniti setempat," katanya pada Majlis Pecah Tanah Serentak GiatMARA Prima dan MRSM Ulul Albab di Kampung Padang Salim, Melor di sini hari ini.
Majlis pecah tanah tersebut dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan kerja sehari ke Kelantan hari ini.
Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa.
Mengulas mengenai MRSM Ulul Albab Ketereh, Awang Adek berkata ia merupakan yang kelima seumpamanya dibina di negara ini bagi melahirkan generasi hafaz al-Quran.
"Ia juga MRSM keenam dibina di Kelantan selepas MRSM Pengkalan Chepa, MRSM Pasir Tumboh, MRSM Jeli, MRSM Kuala Krai serta MRSM Tumpat, dan pertama di negeri ini yang menawarkan pengajian berteraskan hafazan al-Quran.
"Ia dibina dengan kos RM120 juta di atas tanah seluas 15.09 hektar di Peringat, dan dijangka siap pada Julai 2020. Setakat ini, 1,479 hafiz dan hafizah berjaya dilahirkan menerusi MRSM Ulul Albab," katanya.
Sumber: Bernama | 11 April 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan