Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 20 April 2018

BN tekad perkasa Islam di Kelantan

Hanafi Mamat (kanan) beramah mesra dengan penduduk di Kampung Banggol Stol, Meranti di sini hari ini.
PASIR MAS: Barisan Nasional (BN) Kelantan bertekad memperkasakan lagi Islam sekiranya parti itu diberikan mandat untuk mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.


Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, perkara itu selaras dengan menifesto yang telah di umumkan oleh BN Kelantan semalam.


Menurutnya, antara agenda memperkasakan Islam di negeri ini ialah mewujudkan Universiti Al-Quran, memperkemaskan lagi urus tadbir Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta pengurusan pondok-pondok pengajian agama.


“BN Kelantan juga akan wujudkan sebuah hospital wanita untuk kemudahan golongan berkenaan. Ini adalah tawaran menifesto yang terbaik untuk rakyat Kelantan kerana lebih bersifat menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat.


“Sebab itu saya lihat reaksi positif yang diberikan rakyat khususnya orang muda cukup berbeza dengan pilihan raya sebelum ini,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Banggol Stol di Meranti hari ini.


Yang turut hadir Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas, Nor Azmawi Abdul Rahman.


Hanafi memberitahu, walaupun BN tidak mentadbir negeri ini namun parti itu berjaya mengotakan hampir 98 peratus perkara-perkara yang telah dijanjikan.


Katanya, perkara itu jelas menunjukkan komitmen BN dalam mengotakan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat.

Sumber: Utusan Online | 20 April 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan