Pemandangan sebahagian rumah yang dicat dengan warna-warna pelangi di Kampung Sungai Budor di Kota Bharu hari ini. |
Walaupun kini hanya enam buah rumah sahaja yang baru dicat dengan warna-warna ceria bak pelangi namun penduduk sudah terasa tempias apabila orang luar tiba-tiba mula masuk mencari dan mengunjungi kampung itu yang terletak tidak sampai 10 minit dari pusat bandar.
Ini gara-gara gambar-gambar yang tular dalam media sosial dan juga berikutan panorama rumah pelangi dapat dilihat dari jauh sama ada oleh orang-orang yang menelusuri Sungai Kelantan mahupun melalui udara kerana rumah dicat termasuk pada bahagian atap.
Salah seorang pemilik rumah, Rosfadishah Yusoff, 44, berkata, warna-warna terang mampu dilihat dengan mata kasar sejauh Pasir Pekan yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kampung itu dan diseberang Sungai Kelantan.
“Ada pelawat dari Pasir Pekan beritahu dia terkejut lihat rumah-rumah pelangi dari seberang sungai dan terus datang mencari kampung kami ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi pemilik rumah, Permai Donnin, 60, yang kematian suami Ogos tahun lalu berkata, rumah usangnya bukan sahaja dicat bahkan telah dibaiki pihak yang bertanggungjawab mencetuskan konsep ‘Kampung Pelangi’ di kampung itu.
Program ‘Kampung Pelangi’ adalah inisiatif Pertubuhan Wanita Prihatin Kelantan pimpinan Zarina Md Eusope dan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan menarik perhatian pelancong.
Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Kampung Sungai Budor, Wan Rosli Wan Mohamed berkata, program pengindahan itu dijangka melibatkan sebanyak 130 hingga 150 buah rumah di Kampung Sungai Budor dan Kampung Nik Nal.
“Sekarang ini baru peringkat fasa satu di mana proses mengecat dimulakan pada Mac lalu, kita jangka tiga buah rumah lagi akan siap dicat dalam tempoh dua minggu ini.
“Sebelum ini pelajar UKM yang menjadi anak angkat penduduk telah turun padang dua kali iaitu pada Januari dan Februari bergotong royong membersihkan kawasan kampung.
“Kawasan ini lebih dikenali dengan nama hujung tanjung Sungai Budor dan menjadi tempat tumpuan pemancing ikan, saya yakin kita dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong apabila kampung ini berubah wajah sepenuhnya dan ini akan membuka peluang rezeki untuk penduduk,” katanya.
Sumber: Utusan Online | 18 April 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan