Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 19 April 2018

Sandakan bakal berstatus bandar raya

Raymond Tan Shu Kiah
MUKADIMAH: PADA bulan Julai ini, penduduk Sandakan akan melihat sejarah tercipta apabila bandar tersebut bakal menerima status sebagai bandar raya.

Status tersebut merupakan perkara yang ditunggu-tunggu masyarakat di situ selepas melihat sendiri bagaimana bandar Sandakan yang satu ketika dulu menerima impak Timber Boom dan pesat membangun kini semakin kurang mendapat tumpuan.

Timbalan Ketua Menteri, DATUK RAYMOND TAN SHU KIAH yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, FAUZI SUHAIMI dan jurufoto, IRWAN MAJID berkata, status tersebut merupakan pemangkin utama kemajuan Sandakan selepas diisytiharkan nanti.

Menurut beliau, walaupun pihaknya fokus ke arah mencapai status itu, sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab, beliau turut memastikan dalam tempoh lima tahun ini masyarakat di bandar Sandakan turut menerima limpahan bantuan dan pembangunan daripada kerajaan melalui program Mykampung dan Mybandar yang dilaksanakan.

“Kerajaan BN sentiasa menunaikan janji, sebab itu dalam tempoh lima tahun ini saya sendiri telah melaksanakan janji-janji kepada rakyat dan menunaikan tanggungjawab membawa pembangunan di kawasan saya demi manfaat rakyat,” katanya.

UTUSAN MALAYSIA: Apakah aspirasi datuk untuk pembangunan Sandakan?

RAYMOND TAN: Jika ditanya mengenai aspirasi, sebenarnya banyak yang mahu dilaksanakan di kawasan ini dalam usaha untuk membangunkan dan memajukan bandar Sandakan setanding bandar lain bukan sahaja Kota Kinabalu, sebaliknya bandar-bandar di negeri lain.

Namun, usaha itu tidak boleh dilaksanakan dalam jangka masa yang pendek kerana ia memerlukan tempoh masa panjang untuk mencapai matlamat itu.

Walaupun begitu, kejayaan San­dakan untuk mencapai status bandar raya yang dijangka akan diisytiharkan pada Julai ini sudah cukup membanggakan dan pencapaian itu disifatkan sebagai suatu kejayaan besar buat parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat mandat daripada rak­yat dalam pilihan raya umum lalu.

Namun, masih ada lagi aspirasi lain yang akan dibawa di kawasan ini jika BN terus diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sudahkan datuk menunaikan janji kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu?

Kerajaan BN yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sebuah kerajaan yang tidak menunaikan janji seperti yang dimanipulasikan pihak pembangkang. Bahkan, lebih daripada janji-janji dalam manifesto telah kita laksanakan baik untuk rakyat mahupun pembangunan di kawasan ini.

Usaha ke arah membangunkan kawasan menjadi sebuah bandaraya juga dapat kita lakukan dan ini semua adalah untuk kesejahteraan rakyat di sini.

Apakah agenda pembangunan yang telah dibawa di kawasan Datuk Raymond Tan?

Pelbagai agenda pembangunan dilakukan khususnya menjadikan Sandakan sebagai pusat pentadbiran kerajaan yang boleh memberi per­khidmatan terbaik kepada rakyat.

Segala urusan melibatkan jabatan kerajaan ataupun per­khidmatan dalam kerajaan telah disediakan di kawasan ini dan ini merupakan salah satu agenda pembangunan kepada rakyat se­kali gus meletakkan Sandakan sebagai bandar yang mesra rakyat.

Apatah lagi selepas ini Sandakan akan memiliki Pusat Transformasi Bandar (UTC) keempat di Sabah selepas di Tawau yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini bakal menjadi pelengkap kepada kemajuan Sandakan.

Selain menjadikan Sandakan pusat pentadbiran kerajaan, apakah usaha lain yang dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ini?

Pada ketika ini, Sandakan turut menjadi bandar tumpuan ramai khususnya penduduk yang tinggal di kawasan pantai barat Sabah.

Bermula dengan kegiatan eko­­nomi setempat, aktiviti ke­usahawan sehingga kerancakkan perniagaan telah mengubah landskap ekonomi di Sandakan de­ngan penubuhan pusat perniagaan utama (CBD) yang telah dibangunkan kerajaan.

Melihat kepada kejayaan itu, usaha ke arahnya akan diteruskan menerusi perancangan untuk membaik pulih bangunan lama sedia ada untuk menjadikan kawasan CBD yang baharu dan selesa.

Harapan Datuk Raymond Tan kepada rakyat dalam PRU-14 nanti?

Tiada yang diharapkan selain sokongan dan semangat dari akar umbi untuk terus memberi kepercayaan kepada kerajaan BN bagi meneruskan matlamat dalam usa­ha ke arah kemajuan Sandakan.

Rekod BN di sini jelas membuktikan pemerintahan yang dilaksanakan adalah adil dan saksama baik dalam program pembangunan mahupun kebajikan rakyat.

Oleh itu, nilailah dan pilihlah kerajaan yang boleh membela rak­yat. Jangan percaya kepada janji kosong pembangkang.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Sabah | 19 April 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan