Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 25 April 2018

Tok Pa berdepan seteru tradisi, anak didik

Pusat bandar Jeli pesat membangun dengan kemudahan jalan raya dan infrastrukur lengkap.
JELI: Sudah diumumkan secara rasmi semalam, Datuk Seri Mustapa Mohamed bakal menggalas tanggungjawab untuk mempertahankan dua kerusi di­sandang Barisan Nasional (BN) iaitu Parlimen Jeli dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas.

Mustapa, 68, atau nama ‘gla­mornya’, Tok Pa sebelum ini berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Jeli selama tiga penggal berturut-turut. Berdasarkan rekod terdahulu serta prestasi semasa, ramai menjangkakan beliau masih dominan dan tidak menghadapi masalah yang besar.

Selaku Menteri Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri, Mustapa boleh dikatakan seorang yang amat sibuk. Bagaimanapun, Pengerusi BN negeri Kelantan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri ini sentiasa mempunyai masa untuk menjenguk Jeli.

Kesungguhan beliau turun padang, sikapnya yang tidak gemar berprotokol, selain merendah diri dan tidak suka menghentam lawan menjadikan Mustapa di­senangi rakyat. Aura beliau tidak pernah padam meskipun dise­rang bertubi-tubi musuh politik.

Tanyalah sesiapa sahaja di Jeli, mereka tidak akan teragak akan berkata individu yang bertanggungjawab membawa segala kemajuan dan pembangunan di sini sejak lebih 20 tahun lalu, tidak lain tidak bukan ialah Mustapa.

Mengikut rekod, Mustapa pernah tewas di tangan Yang Dipertua Pas Jeli, Mohd. Apandi Mohamad pada PRU-10 sebelum merampas semula kerusi sama pada PRU-11 sehingga hingga kini.

Pada PRU-11, undi diraih Mustapa ialah 16,960 manakala Mohd. Apandi 9,607 undi. Beliau menang dengan majoriti 7,355 undi. Pada PRU-12 pula, Mustapa menang dengan majoriti 4,436 undi. Beliau meraih 17,168 undi menewaskan Mohd. Apandi (12,732 undi).

Sementara itu, pada PRU-13, Mustapa kekal menjadi pilihan penduduk Jeli apabila menewaskan Mohd. Apandi sekali lagi dengan majoriti 5,336 undi. Beliau memperoleh 21,345 undi berbanding 16,009 undi oleh pihak lawan.

Itu cerita lama antara Mustapa dengan seteru tradisi beliau, Mohd. Apandi yang selama tiga PRU berturut-turut bertembung dalam pertandingan satu lawan satu.

Dalam PRU-14, senario ini berubah. Selain Mohd. Apandi yang dijangka terus ‘istiqamah’ melawan Mustapa, satu lagi lawan baharu mengumumkan sedia memasuki gelanggang. Beliau merupakan anak didik Mustapa sendiri iaitu Azran Deraman.

Azran, 36, yang akan bertan­ding atas tiket gabungan pembangkang PKR (PPBM) ialah bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kelantan. Dengan kata lain, beliau bakal mencabar bosnya sendiri.

Sejauh mana Mohd. Apandi dan Azran mampu menggugat Mustapa di Jeli yang mempunyai 98 peratus pengundi Melayu?

Difahamkan, Mohd. Apandi, 68, disenangi penduduk kerana personalitinya yang mudah didekati. Cuma, rekodnya tidak cukup meyakinkan untuk menggalas tugas membela nasib penduduk Jeli yang masih dahagakan pembangunan.

Sementara itu, Azran pula dikatakan mempunyai rekod cemerlang dalam perkhidmatan apabila dilantik menjadi Pengarah MITI Kelantan pada usia yang masih muda, sekali gus mengenepikan senior-seniornya yang lain.

Namun, banyak pihak melihat Azran diletakkan di Jeli walaupun berasal dari Tanah Merah hanya sekadar untuk mengguris imej Mustapa.

Malah Azran juga dilihat se­perti mempunyai dendam peri­badi apabila beliau terpalit dengan isu salah laku selepas direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap kes tuntutan palsu bernilai RM600,000.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 24 April 2018 | Terbitan 25 April 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan