Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 23 April 2018

129 peserta tamat jalani Kursus Latihan Kemahiran ECRL

KUALA LUMPUR: Seramai 129 siswazah lulusan diploma dan ijazah pusat pengajian tinggi tempatan akan bertugas dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) setelah tamat Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL), hari ini.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam kenyataan hari ini berkata seramai 38 daripada graduan yang tamat program latihan selama tiga bulan itu akan diambil bekerja oleh MRL, pemilik dan pengendali ECRL.

"Selainnya akan diambil bekerja sama ada dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC, kontraktor utama ECRL atau subkontrak-subkontraktornya," menurut kenyataan itu hari ini.

Program PLKI-ECRL yang merupakan program latihan teknologi perkhidmatan kereta api yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan melatih sehingga 3,600 rakyat Malaysia bermula 2017 sehingga 2022 untuk bekerja dengan projek ECRL.

Sehingga kini, program itu telah menghasilkan seramai 314 graduan yang bekerja sebagai profesional dan pekerja mahir yang akan berkhidmat untuk projek ECRL dan ia menyasarkan untuk melatih 700 pekerja atau 25 peratus daripada unjuran keseluruhan latihannya untuk tahun ini.

Program itu dilaksanakan melalui kerjasama antara MRL, CCCC dan Universiti Malaysia Pahang yang sukatan latihan dirumuskan oleh Beijing Jiaotong University, sebuah universiti terkemuka China yang terkenal dengan pengajian kejuruteraan perkhidmatan kereta api.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dalam kenyataan itu berkata program itu menerima sambutan menggalakkan sejak bermula pada September lepas.

"Kami gembira melihat ramai golongan muda rakyat Malaysia begitu berminat untuk bekerja dengan ECRL. Projek infra-rakyat ini memerlukan 70 peratus daripada tenaga kerjanya diisi oleh rakyat Malaysia.

"Ketika puncak pembinaan ECRL nanti, lebih daripada 30,000 peluang pekerjaan akan dibuka. Sementara itu, 237 kontraktor tempatan telah dilantik oleh CCC untuk mengendalikan antara lain, kerja-kerja awal pembersihan tanah dan pembinaan jalan masuk," katanya.

Sumber: Bernama | 23 April 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan