Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 30 September 2018

Melaka perkukuh hubungan dengan Indonesia, Thailand menerusi pengangkutan udara

BANDAR RAYA MELAKA: Melaka akan memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Thailand dan Indonesia menerusi perkhidmatan udara berdasarkan perjanjian udara antara ketiga-tiga pihak.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata beberapa laluan baharu dari Melaka menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) ke Indonesia dan Thailand dijangka akan dibuka menjelang akhir tahun ini.

"Kami memang mempunyai perjanjian udara dengan Indonesia dan Thailand sebelum ini dan hubungan atau kerjasama berkenaan akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa.

"Isu ini antara perkara yang kami bincangkan dalam forum ini selain beberapa perkara penting lain untuk kebaikan atau kepentingan bersama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ketua Menteri dan Gabenor Kawasan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-15 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri Melaka juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan termasuk dari Air Asia dan Malindo Air pada minggu lepas untuk menjalin kerjasama bagi membuka lebih banyak laluan baharu ke Indonesia dan Thailand. 

Katanya Kerajaan negeri Melaka juga mendapat kerjasama baik daripada Kementerian Pengangkutan untuk mempertingkatkan perkhidmatan sistem pengangkutan udara di negeri ini termasuk menambah baik fasiliti LTAM khususnya landasan pesawat.

Adly berkata selain itu, pengecualian caj penumpang yang diberikan dalam tempoh lima tahun kepada syarikat penerbangan yang beroperasi di LTAM juga antara inisiatif Kementerian Pengangkutan dalam usaha menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi di LTAM pada masa hadapan.

Beliau berkata forum berkenaan turut membincangkan peluang perniagaan yang boleh dipelopori antara ketiga-tiga negara menerusi Majlis Perniagaan Bersama (JBC) yang diwujudkan menerusi hubungan dua hala negara terlibat.

"Selain itu, Melaka sebagai negeri yang mendukung amalan hijau turut berkongsi pengalaman dan kejayaan projek pilot yang dilaksanakan menerusi Program Eco-School manakala wakil dari Thailand dan Indonesia turut berkongsi tentang kejayaan projek pilot di negara mereka," katanya.

Beliau berkata sebanyak 117 sekolah di negeri berkenaan terlibat dalam program berkenaan dan dua daripada sekolah terbabit menerima Anugerah Hijau.

Dalam pada itu, katanya forum yang berlangsung selama empat hari bermula Jumaat dan disertai lebih 200 delegasi dari Malaysia, Thailand dan Indonesia itu turut membincangkan isu lain termasuk pengurusan kesesakan lalu lintas, pengurusan parkir dan pengangkutan awam.

Sumber: Bernama | 30 September 2018

Lebih 1.4 juta pelancong ke Sabah bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini

Menara Kayangan di Lahad Datu, Sabah. 
LAHAD DATU: Jumlah kemasukan pelancong ke negeri ini berjumlah 1.4 juta orang dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus jika dibandingkan pada tempoh sama tahun lalu.

"Oleh itu, kerajaan negeri berharap prestasi ini dapat dikekalkan dan ditambah baik dari segi jumlah ketibaan seterusnya meningkatkan jumlah pendapatan rakyat negeri ini," katanya pada malam Gala Festival Sayangi Lahad Datu@Silam di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Assaffal P. Alian, Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Norazlinah Arif dan Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Dumi Pg. Masdal.

Mohd Shafie berkata Sabah merupakan antara lima negeri utama menjadi tumpuan pelawat domestik di negara ini selain pelancong asing.

Beliau berkata Sabah juga merupakan antara empat negeri terbaik yang kerap dilawati oleh pelancong asing dalam negara pada tahun lepas seterusnya menjadikannya sebagai negeri nombor satu kerap dilawati di perairan Malaysia Timur. 

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha dan mencari inisiatif untuk mengetengahkan tempat-tempat yang menarik dan mempelbagaikan produk pelancongan, kerana ia dapat mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini. 

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata statistik turut menunjukkan sebanyak 27,325 bilik penginapan tersedia di negeri ini dengan 637 hotel pelbagai kelas atau bintang dengan ribuan penduduk Sabah telah memperolehi pekerjaan dalam sektor pelancongan. 

"Justeru, diharap agar pemaju industri pelancongan hotel menaik taraf dan menambah lebih banyak bilik dan jumlah hotel untuk menampung permintaan tinggi dari pelancong dalam dan luar negara," katanya.

Mengulas penganjuran festival, Mohd Shafie berkata ia relevan selain memberi peluang kepada masyarakat setempat menikmati keunikan seni dan budaya yang secara tidak langsung turut membuka peluang penjanaan ekonomi.

Katanya festival itu juga menjadi landasan terbaik untuk memperkenalkan Lahad Datu sebagai salah satu lokasi pelancongan yang wajib dikunjungi apabila datang ke negeri ini.

Sumber: Bernama | 30 September 2018

Seminar antarabangsa sejarah dan budaya Kelantan-Pattani minggu depan

KOTA BHARU: Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban) akan menganjurkan seminar antarabangsa sejarah dan budaya Kelantan-Pattani bagi mengenal pasti kajian terkini dan memahami perkembangan sejarah hubungan kedua-dua kerajaan.

Presidennya Datuk A Aziz Deraman berkata seminar tersebut akan diadakan pada 6 dan 7 Oktober ini di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini, melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Kelantan.

"Seminar ini akan menyentuh kandungan pemikiran peradaban dan beberapa perkara ketamadunan di wilayah budaya timur laut itu.

"Sebanyak 45 kertas kerja akan dibentangkan oleh para sarjana dan pengkaji tempatan serta Thailand sepanjang dua hari seminar berlangsung dengan dua ucaptama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata sempena seminar itu akan turut disampaikan anugerah Sejarawan Peradaban dan pelancaran buku Kelantan-Pattani: Ulama dan Intelektualisme Melayu Wilayah Timur.

Dijangkakan seramai 150 peserta hadir pada seminar tersebut termasuk cendekiawan, agamawan, sarjana, budayawan, sasterawan, golongan profesional, pendidik dan mahasiswa.

A Aziz berkata kajian ilmiah khususnya semangat ketamadunan Melayu Kelantan-Pattani seharusnya diteruskan ke setiap generasi selain untuk rujukan semua pihak. 

Beliau berkata sejarah dan budaya Kelantan-Pattani sudah sekian lama menjadi bahan penelitian khususnya dalam hubungan antarabangsa dengan melihat wilayah peradaban Melayu timur laut ini sebagai sebuah tamadun awal di Asia Tenggara dan ia harus diteruskan.

"Kita harap seminar ini akan menjadi saluran dokumentasi kajian dan dapatan yang akan diterbitkan bagi sebaran yang lebih luas agar lebih ramai khalayak mencintai ilmu dan pengetahuan," katanya.

Sumber: Bernama | 30 September 2018

Syarikat digesa kemaskini penyata tahunan dan penyata kewangan

KOTA BHARU: Semua syarikat di negeri ini digesa supaya mengemaskini penyata tahunan dan penyata kewangan terkini masing-masing bagi mengelakkan kes penipuan dan manipulasi data.

Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Kelantan Ab Razak Isa berkata sehingga Ogos tahun ini, 72 peratus daripada 15,000 syarikat di negeri ini patuh kepada perkara tersebut di bawah Akta Syarikat 2016 yang berkuatkuasa pada 31 Jan 2017.

"Jumlah itu agak tercorot berbanding negeri lain yang ada antaranya mencapai sehingga 100 peratus pematuhan dengan mengemaskini penyata tahunan dan penyata kewangan syarikat masing-masing,” katanya pada Kempen Patuh Serah Simpan Penyata Tahunan dan Penyata Kewangan Akta Syarikat 2016 di sini, hari ini. 

Beliau berkata, pada tahun lepas, sebanyak 1,474 syarikat di negeri ini dikenakan kompaun akibat kegagalan menyediakan penyata tahunan syarikat di bawah Seksyen 68 (1) Akta Syarikat 2016.

“Kita berharap melalui kempen kesedaran ini, ia dapat meningkatkan kesedaran kepada semua syarikat supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan agar masalah penipuan dah manipulasi data syarikat dapat diatasi,” katanya.

Sumber: Bernama | 30 September 2018

UMK rancang kerjasama dengan sekolah, pupuk minat pelajar dalam sains

JELI: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang merancang program kerjasama dengan pihak sekolah bagi menarik minat pelajar mengikuti pengajian sains di universiti tersebut.

Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Husaini Omar berkata pihaknya akan ke sekolah untuk memberikan penerangan kepada pelajar bagi tujuan itu.

Usaha tersebut dilakukan berikutan pihak universiti mendapati jumlah pelajar yang menyambung pengajian dalam bidang sains semakin berkurangan, kemungkinan antara faktornya mereka tidak berminat dalam bidang itu, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program Sambutan Maal Hijrah Mahasiswa UMK Bersama Komuniti Dalam Parlimen Jeli oleh Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamarudin Md Noor di UMK Kampus Jeli di sini, hari ini.

Husaini berkata pada sesi pengambilan pelajar tahun ini, UMK menawarkan 800 tempat untuk pengajian berkaitan bidang sains namun hanya 344 pelajar mendaftar.

"Pada kami, elok jika mana-mana pelajar yang mendapat tawaran pengajian sains mereka mengikuti pengajian terbabit kerana bidang itu tidak hanya memberikan peluang pekerjaan dalam bidang sains sahaja, mereka boleh menjadi ahli perniagaan dan sebagainya," katanya.

Sumber: Bernama | 30 September 2018

Kelantan usaha PPR untuk mangsa kebakaran Kampung Dusun Raja

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan cuba menempatkan semua mangsa yang rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Dusun Raja, Jalan Sri Cemerlang di sini semalam, di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata buat masa sekarang kebanyakan mangsa menumpang di rumah saudara mara atau jiran.

Tindakan awal yang dilakukan buat masa ini adalah memberikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa melalui Tabung Serambi Mekah selain bantuan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu, katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa dan lokasi kebakaran hari ini.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, 20 rumah di kawasan setinggan itu hangus dan 10 daripadanya berpenghuni manakala selebihnya adalah rumah kosong.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu mangsa dengan membekalkan barangan keperluan seperti toto, selimut, tuala dan kain pelikat.

Sumber: Bernama | 30 September 2018

Jumaat, 28 September 2018

Perodua introduces B&P centre for East Coast customers in Kelantan

KUALA LUMPUR: Perodua has introduced a RM2 million Body and Paint (B&P) centre in Kelantan to cater to the needs of its valued East Coast customers, owned and operated by long-time Perodua dealer, Nasrom (M) Sdn Bhd.

The facility, the 66th centre in the country, is sprawled over 17,000 sq ft in Kg Padang Kala, Peringat District, Kota Bharu, and is capable of mending up to 1,080 cars annually, Perodua said in a statement today.

Managing Director Datuk Dr Zahari Husin said the new facility would assure customers of quality workmanship and genuine parts in the repair of their cars.

“We acknowledge and appreciate the investment by Nasrom (M) Sdn Bhd, as well as, their commitment towards the needs of our valued customers,” he said, adding that Perodua would continue to look into further improving the capacity of its existing B&P facilities or establish new facilities to fulfil the needs of over 3.2 million Perodua vehicle owners, nationwide.

“In addition to enhancing convenience for our customers, this new facility also symbolises our commitment to grow the local automotive eco-system, especially independent dealers like Nasrom (M) Sdn Bhd,” he added.

Source: Bernama | 26 September 2018

Perkeso Kelantan bayar faedah kepada 547 pekerja hilang pekerjaan

PASIR PUTEH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan membuat pembayaran faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) berjumlah lebih RM328,000 kepada 547 pekerja yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh Januari hingga sekarang.

Pengarahnya Zaini Ab Latif berkata pembayaran faedah itu bagi meringankan beban mereka dalam tempoh tiga bulan sebelum mereka mendapat pekerjaan baharu.

"Di samping itu, Perkeso juga akan turut membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan baharu sekiranya dalam tempoh tiga bulan itu mereka masih tidak memperoleh pekerjaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan cek bernilai RM2,000 kepada Wan Rusli Wan Ismail, 59, iaitu bapa mangsa yang maut disambar petir, Wan Mohamad Rusdi Wan Rusli, 28, di Kampung Seri Aman di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang Jumaat lepas, mangsa, Wan Mohamad Rusdi sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Telok Panglima Garang, Banting, Selangor dengan menunggang motosikal selepas habis bekerja di sebuah kilang di Seksyen 26, Shah Alam.

Perkeso melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan berkuat kuasa pada Januari lepas sebagai satu jaringan keselamatan sosial yang bertujuan membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan dan mencari pekerjaan baharu.

Sistem tersebut melindungi semua kes kehilangan pekerjaan kecuali peletakan jawatan secara sukarela, tamat tempoh kontrak perkhidmatan, penamatan kontrak perkhidmatan atas persetujuan bersama majikan dan orang berinsurans tanpa terma dan syarat, penyiapan kerja mengikut kontrak perkhidmatan, persaraan orang berinsurans atau penamatan kontrak perkhidmatan orang berinsurans disebabkan oleh salah laku. 

Sumber: Bernama | 26 September 2018

Pelancongan berpotensi untuk majukan ekonomi Kelantan

KOTA BHARU: Pelancongan di Kelantan harus dibangunkan sepenuhnya kerana sektor itu berpotensi besar menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri itu, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata negeri ini mempunyai banyak produk pelancongan yang boleh dibangunkan untuk menarik kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa.

"Maklum balas yang kita dapat pelancong yang menggunakan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Pengkalan Chepa), apabila tiba di sini mereka terus pergi ke pulau-pulau di negeri lain, oleh itu perlu ada usaha untuk menarik mereka berada di Kelantan untuk melihat produk-produk pelancongan yang terdapat di negeri ini," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM45,000 kepada 29 sekolah rendah dan menengah dalam Parlimen Ketereh bagi melaksanakan Program Asyura Perdana, di sini hari ini.

Mohd Radzi berkata pembangunan sektor pelancongan itu perlu disokong dengan kemudahan infrastruktur yang baik selain memperkenalkan produk pelancongan baharu.

Bagaimana pun, beliau berkata Kelantan perlu mempunyai pelan pembangunan ekonomi jangka pendek, sederhana dan panjang dalam usaha memajukan negeri ini yang kini ketinggalan berbanding negeri lain.

Sumber: Bernama | 26 September 2018

Nadma sedang bangunkan SOP pengurusan bencana di kawasan sempadan Malaysia-Thailand

PASIR MAS: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan bencana di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Nadma, Datuk Azizan Abu Taat berkata SOP tersebut diperlukan bagi melancarkan kerja-kerja menyelamat dan pengurusan apabila berlaku bencana di kawasan sempadan kedua-dua negara.

"SOP itu akan dapat menggerakkan aset-aset penyelamat secara bersama dari kedua-dua negara," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Latihan Amali Bencana Antara Kelantan dan Narathiwat (wilayah selatan Thailand) di Tasik Danau Tok Uban di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pencegahan dan Pengurangan Bencana Serantau Wilayah 12 Songkhla, Left Trakul Tho Tham.

Mengenai latihan tersebut Azizan berkata latihan berkenaan bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama antara pihak berkuasa Malaysia dan Thailand dalam menghadapi sesuatu bencana.

Katanya latihan itu juga bagi memastikan agensi keselamatan mahir dalam bidang pengurusan dan operasi bencana termasuk dalam menghadapi musim tengkujuh di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.

Sumber: Bernama | 26 September 2018

Kelantan warta 92,697 hektar kawasan tadahan air baharu

KOTA BHARU: Kelantan mewartakan 92,697 hektar hutan simpan di seluruh negeri itu sebagai kawasan tadahan air baharu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Ahmad berkata kawasan baharu itu adalah sebagai tambahan kepada 35,898 hektar yang diwartakan pada 2008, menjadikan keluasan keseluruhan 128,595 hektar.

“Jumlah berkenaan meliputi 20.97 peratus daripada keseluruhan hutan simpan kekal yang ada di negeri ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata penambahan kawasan tadahan itu adalah selaras dengan Seksyen 10(1)(e) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang memberi kuasa kepada negeri untuk menyediakan seluas mungkin kawasan tadahan air di sesebuah negeri.

Katanya dua kawasan Orang Asli iaitu Pos Dakoh dan Belatim di Gua Musang antara yang diwartakan sebagai tadahan air sekali gus menjadikan kawasan tersebut bebas pembalakan.

Mengulas perkembangan lain, Timbalan Mursyidul Am PAS itu meminta kepada yang berkenaan agar tidak membuat spekulasi berhubung parti tersebut bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Katanya sama ada parti itu akan meletakkan calon atau tidak di kawasan berkenaan hanya akan diketahui esok.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan diberi kemenangan percuma pada PRK itu walaupun UMNO telah menarik diri daripada bertanding.

"Mungkin calon Bebas akan masuk dan tak akan beri kemenangan percuma. Waktu Tok Guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) meninggal calon Bebas juga yang bertanding walaupun UMNO tak sertai (PRK Chempaka)," katanya.

Sumber: Bernama | 26 September 2018

Jumaat, 21 September 2018

The 'weight' is over: Kelantan to stage syariah-compliant bodybuilding competition

In this file pic dated April 23, 2017, police officers Ahmad Fauzy Salim (left) and Muhammad Danial Amir pose for a photograph. The duo participate actively in bodybuilding competitions held locally and internationally. On Sept 19, 2018, Kelantan Youth, Sports and Non-Governmental Organisations Committee chairman Wan Roslan Wan Hamat says the state will hold a syariah-compliant bodybuilding competition — where participants cover their bodies from the navel to the knees. NSTP file pix.
KOTA BHARU: The Kelantan state government will hold a syariah-compliant bodybuilding competition named the Mr Awang Selamat Kelantan 2018 Challenge on Oct 13.

State Youth, Sports and Non-Governmental Organisations Committee chairman Wan Roslan Wan Hamat said unlike other bodybuilding competitions, participants of Mr Awang Selamat Kelantan will cover their bodies from the navel to the knees.

"So far, 50 contestants have confirmed their participation in the competition," he told reporters at the Kota Darulnaim Complex here yesterday.

Wan Roslan said the competition, to be held at the Perak Jubilee Hall here, will be divided into four categories and the winner of each category will receive a cash prize, a kris and a trophy.
 
Source: Bernama | 20 September 2018

Khamis, 20 September 2018

Penjara Pengkalan Chepa sesak

Nadzri Siron
KOTA BHARU: Lebih 50 peratus iaitu 20 daripada 37 buah penjara di negara ini sesak dengan jumlah keseluruhan banduan setakat ini sebanyak 61,000 orang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Nad­zri Siron berkata, sebahagian penjara mengalami lebihan kapasiti antara 40 sehingga 50 peratus manakala Penjara Pengkalan Chepa merupakan penjara paling sesak dengan banduan lebih 2,900 orang ia­itu sekali ganda daripada jumlah sepatutnya.

“Sebahagian penjara moden seperti Penjara Sungai Buloh, Kajang dan Sungai Udang tiada kesesakan teruk kerana binaannya berkonsep sel dengan keselamatan lebih baik tetapi Penjara Pengkalan Chepa berkonsep terbuka seperti dormi­tori kerana ia bangunan lama yang wujud sejak 1950-an.

“Kita sedang mengusahakan untuk mendapat peruntukan khas membina bangunan tambahan bagi menambah baik keadaan, walaupun banduan melakukan kesalahan tetapi kasihanilah mereka kerana kita perlu jaga hak asasi sebagai manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur 2018 ‘Membendung Perlakuan dan Pengulangan Jenayah’ di Dewan Keusahawanan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar; Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan; Pengarah Penjara Kelantan, Hamzani Che Ibrahim; Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) negeri, Datuk Abd. Aziz Nawi dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Sementara itu, Nadzri ber­kata, antara langkah diambil untuk mengurangkan masalah penjara sesak adalah mene­ru­si Program Pemulihan Pemasyarakatan (CRP) iaitu inisiatif dengan Kementerian Pertahanan dengan banduan ditempatkan di enam kem tentera untuk melaksanakan kerja di luar penjara.

“Antara kem tentera terlibat adalah Kem Desa Pahlawan di sini dan juga di Gemas, Negeri Sembilan, banduan mengerjakan tanah milik tentera melalui aktiviti jana ekonomi seperti perikanan dan pertanian.

“Kita juga mengadakan kerjasama dengan syarikat-syarikat yang sudi mengambil banduan sebagai pekerja mereka,” katanya.

Nadzri berkata, sebanyak 3,700 banduan di penjara pula adalah banduan muda berusia bawah 21 tahun dan kebanyakannya terbabit dengan dadah.

“Kerajaan sedang mengkaji undang-undang sedia ada supaya mereka yang terbabit dengan penagihan dadah tidak dimasukkan ke dalam penjara sebaliknya ke pusat pemulihan dadah,” katanya. 

Sumber: Utusan Malaysia | 19 September 2018

Selasa, 18 September 2018

Realisasikan daerah bebas sampah

Sebahagian anggota APM bergotong-royong membersihkan Taman Hidayah Harmoni, Tanah Merah, Kelantan, semalam.
TANAH MERAH: Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) dengan kerjasama pelbagai agensi sedang giat menjayakan program gotong-royong membersih beberapa lokasi bagi bagi merealisasi rancangan memastikan daerah ini sebagai kawasan bebas sampah dan terurus.

Setiausaha MDTM, Fiesal Abdullah berkata, usaha itu juga bertujuan menyahut seruan kerajaan negeri yang kini memulakan kempen ‘Kelantanku Bersih’.

Menurutnya, selain tuga­san rutin petugas dan kakitangan MDTM mengurus kebersihan di pusat bandar, usaha yang sama turut digerakkan di lokasi taman perumahan menerusi kaedah bergotong-royong.

“Usaha yang dilaksanakan ini mendapat sokongan dan kerjasama padu penduduk setempat dengan memanfaatkan cuti hujung minggu sebagai ruang waktu yang paling sesuai untuk bersama-sama membersih kawasan sekitar.

“MDTM turut mendapat kerjasama kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM), kariah Masjid Ismail Petra, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Fiesal berkata, dalam tempoh terdekat ini program gotong-royong telah diadakan di dua lokasi Taman Perumahan iaitu Taman Hidayah Harmoni dan Taman Sinar Jaya

Menurutnya, sepanjang gotong-royong dijalankan MDTM turut membuka kaunter bergerak bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan ditawarkan MDTM.

“Pada hari yang sama juga jualan tong sampah dan pembelian barangan kitar semula turut diadakan,” katanya.

Fiesal berkata, MDTM turut memberi fokus utama terhadap kebersihan premis perniagaan dan kualiti makanan dalam usaha mencapai tahap amalan keber­sihan dalam skop yang lebih global.

Katanya, sepanjang Ogos lepas MDTM telah menjalankan Operasi Pemeriksaan Le­sen dan Pematuhan Syarat di Pasar Borong Manal.

“Menerusi operasi itu sebanyak 22 premis diperiksa dengan enam notis amaran dan tiga kompaun dikeluarkan.

" Saya nasihatkan pengguna untuk bijak memilih dengan mengutamakan kebersihan, elakkan memilih makanan segera yang terdedah sebelum membelinya,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | 17 September 2018