Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Ibrahim Mahmood (kanan) melayan tetamu yang hadir pada Majlis Aidilfitri FAMA di Tunjong, Kota Bharu. |
KOTA BHARU: Peniaga di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), di sini, yang dikenal pasti 'mengalibabakan' lesen perniagaan, akan dikenakan tindakan tegas dengan menarik lesen mereka serta-merta.
Bagaimanapun, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Ibrahim Mahmood, berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya sering memantau perkara itu bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan meraih keuntungan dengan mudah.
"Sehingga kini, kami mempunyai lebih 700 peniaga dan hampir 500 dalam senarai menunggu. Kami mahu peniaga yang diberi lesen itu memanfaatkan peluang diberikan, bukannya 'mengalibabakan' lesen mereka," katanya ketika ditemui di Majlis Aidilfitri FAMA di Tunjong, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai hasil jualan RTC, Ibrahim berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, pihaknya memperoleh jualan RM200 juta dan dijangka mampu mencapai sasaran ditetapkan sebanyak RM400 juta.
Katanya, sepanjang tahun lalu, pihaknya memperoleh RM380 juta hasil jualan dan menjelang tahun 2020, FAMA menyasarkan hasil jualan meningkat kepada RM500 juta.
"Setiap bulan, seorang peniaga dianggarkan memperoleh pendapatan RM50,000 dan secara tidak langsung mampu membantu mereka menjana pendapatan," katanya.
Sumber: Berita Harian | Wilayah Timur | 31 Julai 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan