Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 30 Januari 2016

Ringgit dijangka terus mengukuh minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus berada dalam lingkungan mengukuh minggu depan, didorong pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016.

Ketua Pendapatan Tetap dan Penyelidikan Ekonomi Hong Leong Bank, Choong Yin Pheng berkata, sentimen positif membabitkan harga minyak mentah global juga dijangka mempengaruhi pengukuhan ringgit.

"Kami berpendapat, pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 itu mencerminkan senario lebih realistik serta menarik minat pelabur terhadap ringgit. Malah, dengan adanya permintaan domestik yang lebih kukuh, ringgit dijangka akan kekal stabil pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah berhubung dana RM2.6 bilion, turut mengurangkan risiko terhadap penarafan negara, kata agensi penarafan Standard & Poor's Ratings Services.

Pada Khamis, Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan 11 langkah bagi menghadapi cabaran situasi ekonomi semasa menerusi pengubahsuaian Bajet 2016 selain memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan dan pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit mencecah paras tertingginya dalam tempoh tiga setengah bulan apabila berada pada 4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong terutamanya oleh kenaikan harga minyak mentah.

Ia turut diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Bagi perbandingan mingguan, unit tempatan itu terus mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.1500 daripada 4.2950/2040 pada Jumaat minggu lepas.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9143/9228 daripada 3.0073/0157 dan meningkat berbanding yen kepada 3.4337/4429 daripada 3.6309/6388.

Ringgit turut naik berbanding euro kepada 4.5206/5323 daripada 4.6566/6673 serta tinggi berbanding pound British pada 5.9598/9758 daripada 6.1238/1384.

Sumber: Bernama | 30 Jan. 2016

Domino’s Pizza to open 25 outlets this year

Shamsul Amree says Domino’s would invest RM20mil on the new outlets.
PETALING JAYA: Domino’s Pizza Malaysia plans to open 25 outlets this year, with the most being in the Klang Valley, Domino’s Pizza Malaysia and Singapore general manager (operations) Shamsul Amree Ab Rahman said.

He said the opening of the new outlets would involve an initial investment of RM20mil and entail upgrading and improving its online ordering service and facilities.

The company will spend between RM300,000 and RM500,000 to open each new store, he told reporters after attending the launch of Domino’s latest product, New Cheesy Mozarella Stix, at a Domino’s outlet in USJ1 in Subang Jaya on Friday.

Shamsul Amree said Domino’s Pizza Malaysia opened 22 outlets last year and planned to open two outlets in Pengkalan Chepa, Kelantan and Gong Badak, Terengganu soon.

On the Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA), he said the company was undertaking a study to ascertain its impact and benefits on Domino’s Pizza Malaysia.

On the New Cheesy Mozarella Stix, he expects it to contribute between 10% and 20% to the company’s sales, especially during the Chinese New Year festive season.

The New Cheesy Mozarella Stix will be available at an introductory price of RM7.80 for four pieces, starting from Feb 15 onwards.
 
Source: Bernama | Business | 29 Jan. 2016

Khamis, 28 Januari 2016

Polis Kelantan dan Narathiwat perkasakan hubungan tangani jenayah di sempadan

KOTA BHARU: Polis Kelantan akan terus memperkasakan hubungan dua hala dengan pihak berkuasa Narathiwat di selatan Thailand bagi mengekang aktiviti jenayah di kawasan sempadan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata maklumat daripada pihak berkuasa Narathiwat akan membantu polis Kelantan mengesan penjenayah sekali gus mengekang kegiatan jenayah di sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

"Kita dapati aktiviti penyeludupan dadah banyak dilakukan melalui negara jiran ini. Kita percaya ini berlaku kerana penjenayah mampu membeli dadah dengan tawaran lebih murah dan mudah di sana.

"Jadi kita perlukan kerjasama pihak berkuasa negara jiran bagi melancarkan tugas kami," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Agensi Kerjasama Maklumat Sempadan (BICAM) di sini, Rabu.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Narathiwat Jakkaporn Tantong.

Mazlan berkata hubungan yang lebih kukuh itu dilihat mampu membendung aktiviti penyeludupan dadah selain memberi tekanan dari segi psikologi kepada penjenayah.

Katanya antara isu lain yang turut dibincangkan termasuk penyeludupan senjata api, pemerdagangan manusia, kenderaan curi dan militan Daesh.

"Pada masa yang sama kita juga akan memberi kerjasama dari segi perkongsian maklumat terutama penyeludupan daun ketum yang dimaklumkan aktif diperoleh dari Malaysia melalui sempadan tersebut," katanya.

Beliau berkata beberapa keputusan bersama telah dicapai dalam mesyuarat yang julung kali diadakan itu yang akan dijadikan panduan dalam pelaksanaan tugas mencegah jenayah sempadan. 

Sumber: Bernama | 27 Jan. 2016

Selasa, 26 Januari 2016

Penduduk Kg. Pulau Kundur cemas air laut masuk ke dalam rumah

Keadaan pantai yang dipukul ombak. Gambar kecil: Rohani Hassan
KOTA BHARU: Penduduk di Kampung Pantai Pulau Kundur di sini dikejutkan dengan fenomena air pasang besar yang menyebabkan kediaman mereka dilimpahi air sedalam 1.5 hingga 2 meter di sini malam tadi.‎

Seorang penduduk Rohani Hassan, 51, berkata kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku begitu pantas sehingga menyebabkan kawasan ruang tamu rumahnya dipenuhi pasir dan limpahan air pantai.‎

"Terkejut dengan kejadian itu, ‎saya terus keluar dari rumah menyelamatkan cucu dan menyuruh anak-anak saya juga turut keluar.

"Memang ini kejadian yang paling dasyat sepanjang 31 tahun tinggal di kawasan terbabit. Sebelum ini air kerap masuk ke dalam rumah namun ombak tidaklah sebesar seperti semalam," katanya ketika ditemui di sini pagi tadi.

Sementara itu seorang lagi penduduk‎ Azmi Ramli, 34 berkata, dia dan isterinya Suraya Isa, 27, bersama empat anaknya diarahkan berpindah selepas di maklumkan ahli Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Mukim Pulau Kundur.

"Kami diarahkan berpindah dengan menaiki jentera bomba setelah rumah dinaiki air sedalam dua meter.‎

"Mujurla kami dapat selamatkan diri, walaupun barangan dalam rumah musnah namun kami bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.‎

Sementara itu setakat pagi tadi, seramai 41 mangsa dipindahkan di pusat pemindahan SK Pulau Kundor yang turut mendapat bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman dan Naibnya, Wan Shahrul Azwan Abd Aziz turut melakukan lawatan dan menurut beliau pihaknya, berusaha membawa perkara itu ke peringkat atasan termasuk untuk rujukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).‎

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Jan. 2016

60 keluarga mangsa banjir di Kuala Krai terima rumah kekal

KUALA KRAI: Sebanyak 60 keluarga yang rumah mereka musnah akibat banjir pada Disember 2014, hari ini menerima rumah kekal masing-masing yang dibina di Kampung Telekong di sini.

Pembinaan 60 buah rumah itu adalah menerusi sumbangan Lembaga Zakat Selangor berjumlah RM10.2 juta di kawasan seluas empat hektar.

Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail berkata pembinaan rumah berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh lima bulan selepas kerja penyediaan tapak selesai Julai lepas.

"Rumah yang berkeluasan 869 kaki persegi setiap sebuah itu, dilengkapi tiga bilik tidur, dua tandas, ruang tamu, dapur dan dilengkapi perabot," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian rumah berkenaan dan penyampaian kunci rumah di Dewan Serbaguna Laman Seri Ehsan di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara Datuk Zaitun Ab Samad.

Syed Anwar berkata pembinaan rumah itu bertujuan menyediakan kediaman selesa kepada mangsa daripada golongan miskin yang ditimpa musibah banjir melalui dana zakat negeri Selangor.

"Pembangunan di tapak penempatan ini telah dibahagikan kepada tiga fasa pembinaan dan Lembaga Zakat Selangor hanya terlibat dengan fasa pertama seluas 10 ekar (empat hektar).

"Ia merangkumi rumah kediaman, dewan serbaguna, lot perniagaan, surau, bekalan elektrik dan air, serta jalan raya untuk kemudahan penghuni," katanya.

Sementara itu, Mariam Majid, 46, berkata sumbangan rumah kekal itu yang lengkap dengan perabot amat bermakna bagi beliau sekeluarga yang menunggu selama setahun.

"Saya sekeluarga bukan sahaja dapat tinggal di rumah yang selesa malah dapat kelengkapan perabot," kata penoreh getah itu.

Seorang peniaga Rahman Ismail, 62, gembira dan bersyukur memperolehi rumah tersebut.

"Sebelum ini saya dan isteri menumpang di rumah anak kami yang tinggal di Taman Krai (di sini) selepas rumah musnah dihanyut bah besar pada Disember 2014," katanya.

Sementara itu, Zaitun berkata fasa kedua projek pembinaan rumah kekal kepada mangsa banjir akan bermula pada Februari ini dan dijangka siap pada April depan.

Sebanyak 94 buah rumah lagi akan dibina bagi fasa kedua, iaitu 64 rumah akan dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan 30 lagi rumah akan dibina badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Sumber: Bernama | 26 Jan. 2016

Lapan rumah musnah dilanda ombak besar di Kg. Pulau Kundur

KOTA BHARU: Lapan rumah musnah akibat dilanda ombak besar berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Pulau Kundur di sini malam tadi.

Tinjaun Bernama mendapati kebanyakan rumah rosak teruk di bahagian dinding dan turut dipenuhi pasir setinggi kira-kira 2 meter yang dibawa bersama ombak Laut China Selatan.

Seorang mangsa, Rohani Hasan, 51, berkata kejadian yang berlaku pukul 9 malam semalam agak luar biasa berbanding sebelum ini menyebabkan banyak harta bendanya musnah.

"Limpahan air laut biasa memasuki rumah setiap tahun tetapi kali ini agak luar biasa kerana bukan hanya air yang memenuhi rumah tetapi disertai pasir yang banyak.

"Ombak terus menerus menghempas rumah kami sehingga dinding rumah roboh dan banyak barang termasuk pakaian, kasut dan buku sekolah anak dihanyutkan ke laut," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Kundur di sini Selasa.

Rohani berkata mereka sekeluarga kemudiannya menyelamatkan diri dengan menumpang di rumah saudaranya yang terletak berdekatan.

"Kami akan pindah ke pusat pemindahan hari ini. Saya tidak sanggup berdepan kejadian seperti malam tadi lagi. Sepanjang malam saya tidak dapat tidur dan hanya terfikir mengenai tsunami," katanya yang menjangkakan kejadian itu akan berterusan beberapa hari lagi.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Hanifah Umat, 54, berkata dia buntu memikirkan nasib yang dialami selepas rumah yang didiami lebih 30 tahun lalu itu rosak teruk.

"Saya amat sedih kerana satu-satunya rumah yang ada tidak dapat diduduki lagi. Suami hanya seorang nelayan dan terpaksa menyara tujuh anak," katanya.

Hanifah berkata untuk sementara waktu mereka sekeluarga akan berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kundur di sini.

Kesemua rumah yang rosak teruk itu terletak hanya kira-kira 5 meter dari pantai dan lebih 15 lagi rumah yang terdapat di sepanjang Pantai Kundur turut berdepan risiko hakisan akibat ombak besar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata sehingga pukul 2 petang ini, seramai 41 mangsa daripada 9 keluarga telah dipindahkan ke SK Pulau Kundur.

Katanya proses pemindahan berjalan lancar dengan kerjasama agensi lain termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kami akan terus memantau kawasan terbabit kerana dijangkakan angin kencang dan laut bergelora akan berterusan sehingga malam ini," katanya.

Sementara itu di BACHOK, kira-kira 100 nelayan di Pantai Kemayan di sini, bimbang dengan kejadian angin kencang dan ombak besar yang melanda kampung itu malam tadi.

Ombak besar itu menyebabkan kampung berkenaan dibanjiri air laut sedalam kira-kira 0.4 meter sejak pukul 7 malam dan beransur surut lima jam kemudian.

Bendahari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung itu, Daud Abdullah berkata ombak besar berkenaan membadai kampung itu sehingga 200 meter dari pantai.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman lepas, kejadian ombak besar itu akan berterusan untuk beberapa hari lagi dalam musim tengkujuh ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Khairu Yusoff berkata pihaknya sentiasa memantau dan bersiap sedia untuk memindahkan penduduk ke kawasan selamat sekiranya diperlukan.

Sumber: Bernama | 26 Jan. 2016

Bomba Kelantan guna kaedah pembinaan parit elak kebakaran hutan musim kemarau

Azmi Osman (kanan) memeriksa sebuah jentera bomba ketika majlis penyerahannya pada Majlis Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan.
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan membina parit mengandungi air di kawasan hutan mudah terbakar sebagai langkah menyekat kebakaran tanah gambut yang kerap berlaku ketika musim kemarau.

Pengarahnya Azmi Osman berkata setakat ini, kaedah itu sedang dilaksanakan di dua lokasi yang kerap berlaku kebakaran hutan iaitu di Kampung Beris Lalang, Bachok dan Rantau Panjang, Pasir Mas.

"Parit tersebut yang kita bina dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mampu menghalang api daripada merebak ke kawasan lebih luas," katanya kepada pemberita pada majlis perbarisan tahunan JBPM Kelantan di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Azmi menyerahkan peralatan operasi dan jentera bomba bernilai RM4.3 juta kepada Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Pasir Puteh dan Pengkalan Chepa, selain pemakaian tanda pangkat pegawai bomba dan penyampaian sijil penghargaan kepada orang awam.

Azmi berkata pihaknya juga menempatkan lima lori tangki berkapasiti 20,000 liter air di beberapa balai bomba strategik untuk digunakan ketika kebakaran selain mengadakan kerjasama dengan agensi yang turut memiliki lori tangki sebagai sokongan tambahan.

Dalam pada itu, Azmi berkata tiga balai bomba baharu akan dibina tahun ini iaitu di Kuala Krai; Tok Bali, Pasir Puteh; dan Wakaf Baharu, Tumpat, dengan peruntukkan lebih RM15 juta.

"Pembinaan di ketiga-tiga kawasan tersebut amat wajar memandangkan lokasinya yang sedang membangun dengan jumlah penduduk yang semakin bertambah," katanya.

Sementara itu, seorang nenek, Zariah Mat, 63, menerima sijil penghargaan setelah beliau nekad merempuh masuk rumah untuk menyelamatkan cucunya dalam kejadian kebakaran di Kampung Gual Petai 5 Teransil, Tanah Merah, pada Nov tahun lepas.

Tindakan berani itu menyebabkan 10 peratus bahagian badan termasuk muka dan tangannya melecur selain menerima rawatan selama 23 hari di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

"Saya amat bersyukur kerana berjaya selamatkan cucu walaupun dua kali rebah di dalam rumah ketika itu," kata Zariah.

Sumber: Bernama | 25 Jan. 2016

Sabtu, 23 Januari 2016

Medan Ilmu lokasi pertama IKBAR di Kelantan

Ahmad menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pengisytiharan Ikbar di Dataran Ilmu, di sini.
KOTA BHARU: Keputusan Kerajaan Negeri Kelantan menjadikan Medan Ilmu di Jalan Dato' Pati, di sini, sebagai lokasi pertama pelaksanaan Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR) adalah bersesuaian dengan majlis-majlis ilmu yang sering diadakan di kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, selepas Medan Ilmu, pelaksanaan IKBAR akan diperluaskan di kawasan awam seperti stesen bas dan pusat rekreasi.

Menurutnya, kerajaan negeri menetapkan tempoh enam bulan bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan sebagai usaha mendidik masyarakat dan memastikan negeri ini bebas asap rokok.

"Untuk permulaan, proses didikan yang digunakan lebih kepada bentuk nasihat dan memberi maklumat mengenai bahaya asap rokok kepada keluarga serta masyarakat sekeliling.

"Peringkat pertama adalah proses mentarbiah, antaranya melalui pameran dan perkongsian maklumat mengenai tabiat merokok yang boleh menyebabkan kanser serta masalah kesihatan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan IKBAR Peringkat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini, semalam.

Katanya, kerajaan negeri berharap kesedaran dalam kalangan rakyat terutama golongan pelajar semakin meningkat dan mereka bebas daripada amalan yang merugikan ummah.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood memberitahu, melalui pelaksanaan Ikbar, kerajaan negeri akan mewartakan zon larangan merokok.

Menurutnya, dua zon dicadangkan bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu zon eksklusif dan zon inisiatif.

"Zon eksklusif melibatkan larangan merokok di dalam dan luar bangunan termasuk kaki lima serta jalan raya, manakala zon inisiatif melibatkan larangan merokok di dalam bangunan meliputi kawasan diwartakan.

"Terdapat sebanyak 24 zon bebas asap rokok di negeri ini dan difahamkan semua peta-peta zon dicadangkan telah disemak dan diambil tindakan oleh Jabatan Pemetaan dan Ukur Negeri Kelantan," katanya.

Tambahnya, sehingga kini, sebanyak 17 daripada keseluruhan zon bebas asap rokok telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk proses pewartaan.

"Menerusi Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983, kita telah mewartakan 21 premis atau kemudahan sebagai kawasan bebas asap rokok bagi melindungi kepentingan kesihatan orang awam dan menjaga hak bukan perokok.

"Sesiapa yang dijumpai menghisap rokok di kawasan larangan merokok boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 23 Jan. 2016

Komuniti ekonomi global perlu ambil perhatian usaha penstrukturan semula ekonomi Malaysia - Zeti

KUALA LUMPUR: Komuniti ekonomi global perlu mengambil perhatian kepada penstrukturan semula ekonomi yang dilaksanakan Malaysia dalam tahun-tahun kebelakangan ini yang membolehkan negara berkembang hasil daripada permintaan domestik.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz berkata pada era 1990-an Malaysia merupakan sebuah ekonomi didorong eksport tetapi kini tidak lagi.

"Ia didorong oleh permintaan domestik lebih daripada sedekad yang menyelamatkan kita. Inilah sebabnya mengapa kita mencatatkan pertumbuhan lima hingga enam peratus walaupun selepas krisis kewangan global. Ia kerana walaupun perdagangan kita menguncup, tetapi permintaan domestik memacu pertumbuhan kita," kata Zeti dalam temu bual program The CNBC Conversation semasa Forum Kewangan Asia di Hong Kong baru-baru ini.

Program temu bual itu dihoskan oleh Bernard Lo daripada CNBC Asia.

Menjawab soalan mengenai sama ada Malaysia tidak mendapat pendedahan secukupnya bagi penstrukturan ekonomi negara, Zeti berkata: "Saya percaya Malaysia, termasuk BNM, akan berusaha keras untuk berbuat demikian."

"Tetapi faktor lain ialah kami adalah negara yang tidak banyak meminjam daripada pasaran modal antarabangsa," katanya.

Mengenai keupayaan BNM untuk berdiri sendiri, bebas, dan dilindungi walaupun selepas perkhidmatan beliau berakhir pada April ini, Zeti berkata beliau menghabiskan banyak masa dan perhatian bagi memulakan penggubalan undang-undang.

"Semasa tempoh perkhidmatan saya, kami telah menggubal lebih 10 undang-undang bagi sektor kewangan dan ini memberikan kepastian dan kebolehramalan.

"Kemudian terdapat satu proses tadbir urus yang juga dimulakan dalam proses membuat keputusan, dan malahan pemilihan gabenor baharu akan melalui jawatankuasa tadbir urus lembaga yang terdiri daripada individu sektor swasta," katanya.

Mengenai spekulasi calon utama menggantikan beliau ialah Timbalan Gabenor, Datuk Muhammad Ibrahim, beliau berkata perkara itu belum dimuktamadkan sehingga Yang di-Pertuan Agong memberikan perkenan.

Apabila ditanya sama ada beliau berasa selesa untuk mengajar, Zeti, yang berkhidmat dengan BNM selama 35 tahun dan menjadi gabenor selama 16 tahun menyatakan ia tidak akan berlaku.

"Saya pernah menjadi penggubal dasar dan saya akan sentiasa menjadi penggubal dasar yang dalam erti kata itu saya akan mengajar, tetapi bukan untuk menerima mana-mana pekerjaan.

"Kami menubuhkan fakulti perniagaan secara kerjasama dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT) Sloan School of Management di Cambridge, Amerika Syarikat, dan ia adalah satu projek yang sangat menarik dan saya akan terus memberi sokongan," katanya.

Sumber: Bernama | Ekonomi | 22 Jan. 2016

China sokong penubuhan negara Palestin

Jinping menzahirkan sokongan kepada penubuhan negara Palestin di ibu pejabat Liga Arab di Kaherah, kelmarin. Foto: AFP
KAHERAH: China telah menyatakan sokongan mereka terhadap penubuhan negara Palestin dan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Presiden Xi Jinping mengeluarkan kenyataan itu ketika berucap di ibu pejabat Liga Arab selepas memeterai perjanjian kerjasama dua hala bernilai berbilion dolar dengan Presiden Abdel Fattah al-Sisi di Kaherah, kelmarin.

"Penubuhan negara itu perlu dibuat berdasarkan garisan sempadan 1967.

"Saya menggesa masyarakat antarabangsa supaya bertindak bagi menyambung semula rundingan damai Palestin-Israel yang tertangguh kerana kedegilan Tel Aviv untuk menghentikan projek penempatan haram Yahudi. Isu

Palestin menjadi asas penting kepada keamanan di Timur Tengah," katanya.

Menurutnya lagi, mereka sedang menyediakan satu mekanisme baharu bagi menggalakkan keamanan di rantau Arab selain menyokong usaha Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke arah matlamat itu. 

Beijing turut menyalurkan bantuan berjumlah AS$7.53 juta (RM32.2 juta) kepada penduduk Palestin yang hidup di bawah sekatan haram Israel sejak sembilan tahun lalu

Sumber: Press TV/Sinar Harian | Global | 23 Jan. 2016

Vida pertimbang tajaan RM60 juta kepada TRW

KOTA BHARU: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sedia mempertimbangkan suntikan dana tambahan sebanyak RM60 juta kepada The Red Warriors (TRW) bagi program pembangunan bola sepak pasukan tersebut untuk tempoh jangka masa panjang.

Namun, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata beliau akan berusaha mencari dana tambahan tersebut selepas memperuntukkan tajaan RM16 juta kepada TRW selama dua musim.

Jelas beliau, terdapat keperluan untuk mencari dana tambahan tersebut selepas menyedari TRW memerlukan perbelanjaan yang besar untuk meneruskan survival dalam sukan bola sepak.

"Jika dengan dana saya ini setakat boleh hidup, kita nak dana yang lebih besar sekiranya mahu berjaya dalam sukan ini. Jadi kita perlu usahakan cari dana lagi, bukan setakat dana yang dihulurkan kerana minat.

"TRW memerlukan suntikan dana yang besar untuk menjadi sebuah pasukan yang digeruni pada musim ini," katanya selepas pertemuan dengan Kafa di sini Jumaat.

Justeru, usahawan wanita kelahiran Machang itu merancang untuk memasarkan produk kecantikan dan kesihatan keluaran syarikatnya, Pamoga Qu Puteh ke peringkat Asia khususnya di negara Timur Tengah.

"Insya-Allah saya akan rancang sesuatu untuk naikkan nama pasukan ke peringkat antarabangsa. Saya sasarkan produk Pamoga Qu Puteh akan menembusi pasaran di Timur Tengah," katanya.

Vida bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perancangan beliau untuk merealisasikan usaha mencari dana tambahan sebanyak RM60 juta itu.

"Saya akan umumkan nanti. Saya perlu hasilkan sesuatu untuk mendapatkan dana tersebut," katanya ringkas.

Sementara itu, Vida memberi jaminan kepada pemain TRW bahawa isu tunggakan gaji tidak akan berlaku lagi pada musim ini susulan penubuhan dana khas (gaji dan penajaan) untuk tujuan tersebut.

Malah beliau berkata pemain tidak perlu bimbang kerana bayaran gaji akan dibayar setiap minggu pertama awal bulan.

"Saya nak gaji pekerja terjaga dan dibayar pada atau sebelum tarikh sebenar iaitu antara 1 hingga 7 haribulan setiap bulan.

"Ini penting untuk pastikan moral pemain di tahap tertinggi. Mereka tak perlu fikir pasal gaji lagi, hanya fokus untuk bermain sahaja dalam usaha 'tapau' tiga trofi musim ini," katanya.

Terdahulu, Kafa mengumumkan wang tajaan Vida kepada TRW akan disalurkan ke akaun kedua yang akan diuruskan oleh sebuah jawatankuasa terdiri daripada tujuh anggota.

Akaun khas tersebut akan digunakan menyalurkan dana tajaan Vida dan urusan pembayaran gaji pemain secara telus.

Sumber: mStar Online | Sukan | 23 Jan. 2016

Vida bina gimnasium bertaraf dunia, dilengkapi kolam ais untuk TRW

KOTA BHARU: Pasukan The Red Warriors (TRW) bakal memiliki sebuah gimnasium yang dilengkapi dengan kemudahan kolam ais seperti yang dimiliki pasukan bertaraf terkemuka dunia dalam tempoh lebih sebulan dari sekarang.

Penaja utama TRW, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata gimnasium tersebut akan dibina di Tingkat 3 Wisma Vida Beauty yang terletak di Kubur Langgar dekat sini kerana ruang di Stadium Sultan Muhammad IV agak terhad.

"Pemain minta bilik persalinan yang lengkap dengan kolam ais untuk mengatasi masalah kekejangan urat selepas bermain tetapi kita tak boleh buat di dalam stadium kerana ruang yang terhad.

"Jadi kita cadangkan pembinaan gimnasium itu di Wisma Vida yang akan melalui kerja-kerja pengubahsuaian pada minggu depan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood di sini Jumaat.

Beliau berkata pembinaan gimnasium itu amat penting bagi memberi keselesaan kepada pemain TRW dalam menjalani latihan kecergasan sebelum dan selepas tamat perlawanan serta sesi latihan mereka.

"Kita mahu pemain jalani latihan fizikal di dalam gimnasium yang serba lengkap seperti kolam ais itu, jakuzi, sauna dan tempat fisioterapi supaya mereka lebih cergas dan dapat beraksi dengan cemerlang," katanya.

Menurut usahawan kosmetik terkemuka negara itu, bangunan Wisma Vida Beauty (gambar) setinggi tiga tingkat itu akan berubah wajah sepenuhnya kerana akan dicat dengan warna asas Qu Puteh, iaitu merah jambu dan putih.

Katanya, selain pembinaan gimnasium, tingkat dua di wisma tersebut juga akan diubah suai menjadi pejabat pengurusan dan bilik mesyuarat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Manakala di tingkat satu bangunan tersebut akan menempatkan ruang santai, kafe dan kaunter penjualan tiket dan barangan TRW.

"Jadi proses pengubahsuaian akan mengambil masa lebih sebulan sebelum dapat digunakan sepenuhnya," katanya.

Pengubahsuaian bangunan tersebut merupakan salah satu daripada 35 syarat yang dikemukakan kepada Kafa sebelum bersetuju menaja TRW selama dua musim.

Jelas beliau lagi, bangunan tersebut akan disewakan kepada Kafa dengan sewa bulanan sebanyak RM30,000 tetapi jumlah itu akan ditolak daripada nilai tajaan sebanyak RM16 juta kepada pasukan tersebut.

Vida berkata kadar sewa tersebut adalah berpatutan selepas mengambil kira kos penyelenggaraan dan pengubahsuaian bangunan tersebut yang akan digunakan pemain dan pihak pengurusan tertinggi Kafa.

Terdahulu, Vida mengadakan pertemuan dengan Abdul Fattah dan beberapa pihak pengurusan tertinggi Kafa untuk memuktamadkan proses pengubahsuaian stadium tersebut.

Difahamkan rundingan tersebut berkaitan dengan cadangan Vida untuk menukar warna stadium dari merah-putih kepada merah jambu-putih.

Sementara itu, Abdul Fattah menyambut baik cadangan Vida yang dilihat dapat menjadikan Kelantan sebagai sebuah destinasi sukan terbaharu di negara ini.

"Saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada Datuk Vida. Selain menjadi mercu tanda Kelantan, saya yakin stadium ini akan membantu rakyat di negara ini menjana pendapatan mereka," katanya.

Sumber: mStar Online | Sukan | 22 Jan. 2016

Penyokong TRW bersyukur Vida sanggup ubah stadium Kelantan

KOTA BHARU: Pada awalnya tindakan penaja utama The Red Warriors (TRW), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang mahu mengubah warna Stadium Sultan Muhammad IV di sini kepada merah jambu dikecam kebanyakan penyokong pasukan itu.

Namun selepas kerja ubah suai stadium keramat Kelantan itu dimulakan pada Khamis, rata-rata penduduk di Kota Bharu yang juga penyokong tegar TRW berterima kasih di atas transformasi yang dilakukan usahawan kosmetik terkemuka berkenaan.

Seorang pemandu teksi, Halim Mohd Zain, 45, berkata keputusan Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida untuk menaja Kelantan hadir tepat pada masanya.

"Kita berterima kasih kepada Datuk Vida kerana sudi mengubahsuai stadium Kelantan. Lagipun keadaan stadium nampak terlalu daif lebih-lebih lagi selepas dilanda banjir pada tahun lalu.

"Jadi ia perlu dibaiki dengan segera kerana sudah lama tiada sebarang kerja pengubahsuaian dilakukan. Sekurang-kurangnya ia akan memberi keselesaan kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan di stadium itu," katanya kepada mStar Online.

Jelas beliau lagi, kerja penyelenggaraan di bahagian tandas perlu diberi keutamaan kerana keadaan tandas yang agak kotor seolah-olah kelihatan sudah terlalu lama tidak dibersihkan.

"Setiap kali saya datang tengok perlawanan di stadium, saya akan cuba tahan untuk elak buang air kecil. Saya tak sanggup masuk ke dalam tandas. Boleh dikatakan tandas di sini paling teruk berbanding stadium lain di negara ini," katanya.

Sementara itu, Muhammad Amirul Hadi, seorang pekerja di sebuah hotel di sini berkata beliau tidak sabar untuk menanti stadium tersebut dicat sepenuhnya dengan warna merah jambu.

"Nak tak nak kita kena terima perubahan pada stadium tersebut. Kalau tengok dalam beberapa gambar yang viral nampak macam stadium bertaraf dunia.

"Saya pun tak sabar nak tengok wajah baharu stadium itu dengan warna merah jambu. Apapun kita kena tunggu sehingga stadium ini selesai dicat sepenuhnya," kata pemuda berusia 26 tahun itu.

Ketika tinjauan mStar Online di stadium tersebut, tiada kerja-kerja pembersihan dilakukan akibat hujan.

Difahamkan kerja mengecat bahagian dalam stadium termasuk pagar dan juga kerusi sudah dimulakan pada Khamis.

Kerja-kerja mengecat bahagian luar akan dilakukan sebaik sahaja kawasan dalam stadium siap.

Kira-kira 300 tin cat yang ditempah khas dari sebuah kilang di Kuala Lumpur akan digunakan bagi mengecat bahagian dalam dan luar stadium tersebut.

Vida akan melakukan tinjauan ke stadium tersebut pada petang Jumaat untuk memantau kerja-kerja mengecat dan baik pulih yang dikendalikan Syarikat Impian Berkat Trading, kontraktor yang dilantik Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

"Saya akan pantau terutamanya kualiti dan warna cat. Sebelum ini kilang cat susah nak hasilkan warna shocking pink yang saya nak," katanya.

Sumber: mStar Online | Sukan | 22 Jan. 2016

Vida dedah gambar stadium Kelantan merah jambu

KOTA BHARU: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman mengadakan pertemuan dengan exco kerajaan negeri di sebuah hotel di sini untuk memuktamadkan proses baik pulih Stadium Sultan Muhammad IV.

Rudingan antara Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida dengan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood bermula pada pukul 12 tengah hari Jumaat.

Difahamkan rundingan tersebut berkaitan dengan cadangan Vida untuk menukar warna stadium dari merah-putih kepada merah jambu-putih.

Turut hadir Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md Noor dan Bendahari Kafa, Nik Aminaldin Jaafar.

Beberapa contoh gambar stadium dengan warna merah jambu dan putih dibawa bersama dalam rundingan tersebut.

Difahamkan stadium keramat pasukan The Red Warriors itu akan dicat dengan warna merah jambu-putih secara berpetak dan bukannya berjalur.

Hasmiza, yang merupakan Penasihat Kehormat Kafa dan juga pemilik Vida Beauty Sdn Bhd sebelum ini dilaporkan berkata antara syarat penajaan yang dikenakan kepada Kafa termasuk menukar warna stadium, laluan dan tempat khas kepada wanita di stadium itu.

Sumber: mStar Online | Sukan | 22 Jan. 2016

Vida nafi tempah cat merah jambu jenama DSV

KOTA BHARU: Penaja utama The Red Warriors (TRW) Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menafikan beliau sudah menempah cat berwarna merah jambu yang diberi nama DSV Pink daripada sebuah kilang cat di Kuala Lumpur.

Sebaliknya usahawan kosmetik terkemuka negara itu mengakui masih belum menjumpai mana-mana syarikat pengeluar cat yang boleh menghasilkan warna merah jambu seperti yang dikehendakinya.

"Saya pun tak tahu mengenai cat DSV Pink. Apa yang pasti kami masih lagi mencari kilang yang dapat mengeluarkan warna shocking pink.

"Banyak kilang cat bagi sampel kepada kita tapi warna yang dihasilkan tak sama dengan yang saya nak," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Justeru beliau mengalu-alukan lebih banyak syarikat mengeluarkan sampel warna tersebut.

"Ya (syarikat pengeluar cat) dialu-alukan (untuk bagi sampel). Saya perlukan warna pink itu dengan segera," katanya.

Beliau berkata buat masa ini, syarikat kontrak yang dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Impian Berkat Trading akan memulakan kerja mengecat bahagian dalam dan luar stadium dengan warna putih terlebih dahulu.

"Buat masa ini mereka akan mulakan dengan warna putih dulu sementara menunggu warna shocking pink yang saya nak dikeluarkan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida melakukan tinjauan selama hampir sejam ke Stadium Sultan Muhammad IV yang sedang melalui proses pengubahsuaian petang Jumaat.

Walaupun gembira stadium itu akan berubah wajah dalam tempoh kurang tiga minggu lagi dari sekarang, Vida mahu kontraktor yang dilantik melakukan kerja pembersihan di kawasan tempat duduk berbatu yang masih lagi dikotori dengan kulit kuaci.

"Saya rasa kerja pembersihan masih perlu dilakukan terutamanya di tempat duduk berbatu ini. Mulai bulan depan kuaci dilarang dibawa memasuki stadium.

"Kita tak nak kekotoran seperti ini. Jika (kuaci) dibenarkan bawa masuk ke dalam inilah jadinya, kulit kuaci berselerak. Jadilah penonton yang berdisiplin," katanya.

Terdahulu Vida mengumumkan stadium tersebut akan mempunyai pagar dan laluan khas untuk wanita, keluarga dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Kita nak penonton datang beramai-ramai tengok bola tanpa perlu rasa risau. Kita cuba terapkan konsep kekeluargaan di stadium ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerja-kerja naik taraf tandas akan dilakukan secara berperingkat supaya tidak mengganggu perjalanan perlawanan.

"Kita akan tukar mozek, ini akan dilakukan fasa demi fasa supaya tidak mengganggu perlawanan. Kita perlu perancangan teliti supaya tak nampak cacat celanya nanti," katanya.

Bagi memastikan keselesaan pemain, Vida berkata bilik persalinan pemain akan diubah suai menjadi ruang yang lebih besar dan luas.

"Kita akan besarkan ruang bilik persalinan. Ini penting supaya pemain dapat mood sebelum perlawanan," katanya.

Jelas beliau lagi, surau turut akan diubah suai supaya penonton yang hadir dapat menunaikan solat dengan selesa sebelum perlawanan bermula.

Sumber: mStar Online | Sukan | 23 Jan. 2016

Khamis, 21 Januari 2016

Kes rayuan Sazali diselesai dalam masa terdekat - PBBM

Sazali Samad.
KUALA LUMPUR: Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) akan menyelesaikan rayuan kes doping jaguh bina badan negara, Sazali Samad dalam masa terdekat.

Setiausahanya Kamaruzaman Kadir berkata Jawatankuasa Rayuan PBBM akan mengadakan persidangan pertama dalam masa beberapa hari lagi mengenai rayuan Sazali untuk mengurangkan tempoh penggantungan selama empat tahun itu.

"Saya telah menghantar surat yang mengandungi maklumat terperinci kes ini kepada mereka (Jawatankuasa Rayuan) pada Sabtu lepas. Saya tidak pasti bila jawatankuasa tersebut akan berlangsung, tapi dalam masa terdekat...Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi.

"Sehingga semalam (Selasa), saya belum menerima apa-apa perkembangan. Mereka akan memaklumkan kepada saya bila mereka hendak buat persidangan pertama. Buat masa ini, tak tahu lagi siapa ahli jawatankuasa rayuan itu, dalam persidangan pertama baru akan dilantik," katanya.

Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib dan Antidoping) PBBM pada 21 Disember menjatuhi hukuman penggantungan selama empat tahun kepada Sazali selepas gagal dalam ujian doping di luar pertandingan yang dijalankan oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September lepas, sebelum menyertai Kejohanan Bina Badan Asia ke-49 di Tashkent, Uzbekistan dari 29 September-5 Oktober.

Pemenang gelaran Mr Universe sebanyak 10 kali itu didapati positif mengambil bahan terlarang Kelas S1 (Steroid), telah mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman itu pada 8 Januari lepas kepada PBBM atas alasan bahan terlarang itu mungkin terkandung dalam suplemen yang diambil ketika berada di Amerika Syarikat tanpa sengaja.

Kamaruzaman tidak menolak kemungkinan bahawa atlet berusia 48 tahun itu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Rayuan sekiranya jawatankuasa tersebut memerlukan.

"Apa-apa pun keputusan mengenai isu ini dan bila mereka (jawatankuasa) akan mengumumkan keputusan ini bergantung kepada mereka dan saya tidak mahu membuat andaian. Namun, kes ini akan diselesaikan tidak lama lagi," katanya.

Sazali pernah memenangi kejuaraan Mr Universe sebanyak 10 kali iaitu di Melaka pada 2000; Moscow, Rusia (2004); Ostrava, Republik Czech (2006); Jeju, Korea Selatan (2007); Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (2009); Varanasi, India (2010); Melaka (2011); Bangkok, Thailand (2012); Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014).

Anak jati Batu Pahat, Johor itu yang digelar 'Orang Besi Malaysia', pernah meraih sembilan kali gelaran Mr Asia pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014.

Sumber: Bernama | 20 Jan. 2016

SMK Chabang Empat guna khidmat anggota Rela tingkat sahsiah pelajar

TUMPAT: Bagi melahirkan pelajar bersahsiah tinggi, pelbagai pendekatan dilakukan di kebanyakan sekolah termasuk denda atau sistem penalti bagi menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Namun inisiatif berbeza dilakukan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat, di sini, apabila melantik anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) wanita bagi membantu mendisiplinkan pelajar.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Datuk Zulkifli Abdullah berkata idea itu tercetus melalui perbincangan bersama pihak sekolah dan ibu bapa.

"Inisiatif ini diambil bagi mewujudkan suasana sekolah yang lebih bersih dan memupuk disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekolah itu, di sini Khamis.

Katanya PIBG membiayai gaji anggota Rela wanita itu, Kenni Eh Puang, 47, sebanyak RM25 sehari untuk bertugas bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.

"Namun pelaburan itu amat berbaloi apabila hasilnya tandas sekolah tidak lagi kotor dan disiplin pelajar terutama pelajar lelaki meningkat di samping membantu anggota Rela itu menjana pendapatan," katanya.

Zulkifli berkata dalam dunia hari ini, transformasi perlu dilakukan dalam semua aspek kehidupan agar selari dengan perkembangan semasa termasuk pengurusan disiplin pelajar.

"Ia isu semasa yang perlu diberi perhatian bersama dengan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan semata-mata," katanya.

Beliau berkata berdasarkan keberkesanan yang diperolehi daripada kaedah itu, pihak sekolah merancang akan mengembangkan khidmat sama ke bahagian lain termasuk mengawal pusat sumber sekolah.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Al-Busyra, sebuah badan bukan kerajaan yang aktif dalam bidang kebajikan, berkata pihak PIBG perlu lebih aktif untuk mendapatkan dana bagi membiayai perkhidmatan tersebut.

Sementara itu, Pengetua SMK Chabang Empat, Ghazali Buyong berkata pendekatan tersebut ternyata memberi kesan positif apabila pelajar tidak lagi menjadikan tandas sebagai tempat lepak, merokok atau membuli pelajar lain.

"Tandas biasanya menjadi antara lokasi yang selalu digunakan segelintir pelajar untuk melakukan aktiviti tidak sihat termasuk merokok, tempat peras ugut dan vandalisme. Namun sejak kita tempatkan anggota Rela wanita tersebut pelajar hanya ke tandas apabila perlu," katanya.

Ghazali berkata ia satu perkembangan yang amat baik kepada sekolah kerana mampu mengurangkan beban guru terutama guru disiplin untuk mengawal disiplin pelajar.

Katanya jika dibuat perbandingan dengan tahun lepas, terbukti khidmat 'orang luar' yang memantau penggunaan tandas itu memberi kesan yang amat positif apabila tandas bukan lagi 'port' utama pelajar bermasalah berkumpul.

"Bahkan ia mendapat sambutan baik kebanyakan pelajar apabila dapat menggunakan tandas yang lebih bersih dan selesa.

"Sehingga kini tiada lagi rungutan tandas rosak atau aktiviti tidak berdisiplin yang diterima pihak sekolah," katanya.

Beliau berharap perkembangan positif itu akan berterusan dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih lancar.

Sumber: Bernama | 21 Jan. 2016

KKLW belanja RM3.5 juta laksana projek bekalan air RKT Kesedar Chalil

GUA MUSANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah membelanjakan RM3.5 juta bagi melaksanakan projek bekalan air luar bandar kepada penduduk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh Datuk Nozula Mat Diah berkata projek yang sedang dalam pembinaan itu dijangka siap tidak lama lagi untuk kemudahan bekalan air kepada kira-kira 1,500 penduduk.

"Selama ini penduduk terpaksa menggunakan sumber bekalan air tadahan bukit yang tidak terjamin kebersihannya serta terganggu apabila tibanya musim kemarau," katanya kepada pemberita selepas melawat RKT Kesedar Chalil di sini, hari ini.

Nozula yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, berkata kelulusan peruntukan itu diumumkan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub semasa melawat RKT berkenaan tahun lepas.

Sementara itu, Ketua peneroka RKT itu, Mat Lazim Yaakob berterima kasih kepada kerajaan kerana menyelesaikan masalah bekalan air bersih itu.

Beliau berkata penggunaan sumber air dari bukit semakin terancam dengan aktiviti pembalakan dan pertanian di sekelilingnya.

Sumber: Bernama | 21 Jan. 2016

Sebanyak 2,228 peneroka Kesedar Gua Musang bakal terima geran hak milik tanah ladang

KOTA BHARU: Sebanyak 2,228 peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Gua Musang bakal memperoleh geran hak milik tanah ladang sawit dan getah, setelah menunggu lebih 10 tahun.

Pengurus Besar Kesedar Fazam Mat Lazim berkata geran itu akan diserahkan kepada peneroka secepat mungkin selepas syarikat juruukur bertauliah selesai melakukan kerja ukur di kawasan ladang seluas 2,566 hektar itu.

"Kerja ukur tanah itu kini sedang giat dilakukan dengan kerjasama Pejabat Tanah Gua Musang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan replika cek bayaran premium tanah dan dokumen hak milik tanah Kesedar di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Fazam menyerahkan replika cek bayaran premium tanah sebanyak RM9.11 juta kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Fazam berkata Kesedar perlu membayar premium berjumlah RM69 juta secara berperingkat kepada kerajaan negeri melalui PTG untuk memperoleh geran hak milik ladang tersebut dan setakat ini sebanyak RM19 juta telah dibayar.

Sementara itu, Mohd Faudzi berkata kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kesedar dalam menyelesaikan pemberian geran hak milik tanah ladang kepada peneroka dan berharap pemberian tersebut mengembirakan mereka.

Dalam perkembangan lain, Fazam berkata Kesedar sedang bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk mewujudkan Edubiz Park, sebuah kompleks perniagaan dan pendidikan di Gua Musang.

"Edubiz Park yang dirancang dibangunkan di kawasan seluas 78.4 hektar itu akan dilengkapi kemudahan seperti bangunan-bangunan pendidikan, ruang perniagaan dan perumahan," katanya.

Beliau berkata kos untuk pembangunan projek tersebut belum dimuktamadkan dan kerja pembangunan dijangka bermula tahun depan.

Katanya, Edubiz Park itu akan memberi pelbagai manfaat kepada penduduk jajahan Gua Musang termasuk ruang perniagaan kepada golongan muda.

Sumber: Bernama | 21 Jan. 2016

Polis Kelantan rampas dadah bernilai RM753,301 dan tahan 62 pengedar

JELI: Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM753,301 dan menahan 62 orang disyaki pengedar dalam operasi membanteras dadah yang dijalankan sejak awal bulan ini hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam operasi itu, pihaknya menyita harta yang ada kaitan dengan suspek terbabit, bernilai RM272,290.

"Kita berjaya merampas pil kuda (methamphetamine) sebanyak 27,571 biji, syabu 177.7 gram, heroin 33.75 gram dan daun ketum 17.58 kilogram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM753,301," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Bunga di sini, hari ini.

Mazlan berkata dalam operasi berkenaan pihaknya juga menahan 279 orang disyaki memiliki dadah dan 650 orang penagih.

Dalam rampasan terbaharu pada Isnin lepas, beliau berkata polis menahan seorang penjual burger berusia 26 tahun dan merampas 11,980 pil kuda dianggar bernilai RM239,600 dalam raga motosikalnya, di Kampung Parit Air, Rantau Panjang, Pasir Mas.

Katanya pihaknya mengesyaki lelaki berkenaan adalah orang perantaraan yang membawa dadah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand menggunakan motosikal.

Lelaki berkenaan direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut, katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata polis merampas sepucuk pistol revolver Smith & Wesson bersama enam butir peluru dalam satu bungkusan plastik yang ditinggalkan di Kampung Kok Keli, Tumpat, semalam.

Katanya tiada suspek ditahan dan pihaknya percaya senjata api itu digunakan dalam aktiviti penyeludupan dadah.

Bagi kes yang berkaitan dengan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Mazlan berkata seramai 122 orang telah ditangkap sepanjang tahun lepas dan 10 orang sejak awal bulan ini hingga semalam.
 
Sumber: Bernama | 20 Jan. 2016

Rabu, 20 Januari 2016

Projek pangsapuri 24 tingkat di Telipot hanya untuk Muslim

Ahmad (tengah) bertukar dokumen dengan Johari (dua, kanan) pada majlis berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.
KOTA BHARU: Pemaju hartanah, Jalur Saujana Sdn Bhd, bakal membangunkan projek pembinaan pangsapuri 24 tingkat di Telipot, di sini.

Pengarah Eksekutifnya, Johari Zainal berkata, pembinaan itu dijangka bermula tiga bulan lagi dan siap dalam tempoh tiga tahun.

“Menerusi pembinaan ini, kami menawarkan empat jenis antaranya, pangsapuri studio, satu bilik dan tiga bilik.

“Menariknya, pangsapuri ini dikhaskan untuk pembeli Islam sahaja dan itu adalah cadangan daripada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

“Ini kerana, kawasan yang dibangunkan itu bersebelahan dengan masjid dan mengelakkan masalah berbangkit,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bersama Jalur Saujana Sdn Bhd dan ICT Incubator Centre Sdn Bhd, di Kompleks Kota Darul Naim.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi.

Johari berkata, unit-unit pangsapuri akan dijual pada harga RM400,000 manakala unit studio pula dijual pada harga RM200,000 dan ke bawah.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 20 Jan. 2016

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM40 juta dalamkan Terusan Semerak di Tok Bali

PASIR PUTEH: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM40 juta untuk mendalamkan Terusan Semerak, Tok Bali di sini bagi membolehkan bot nelayan melalui terusan itu untuk mendaratkan hasil tangkapan di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini.

Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (Iada) Kemasin Semerak, Mohamed Kaberi Ghani berkata tender bagi kerja mendalamkan terusan sepanjang 7.5 kilometer itu akan dikeluarkan tidak lama lagi dan projek itu dijangka siap tahun depan.

"Pada masa ini bot laut dalam sukar memasuki terusan itu kerana dasarnya yang cetek iaitu berada pada paras 4 meter sedangkan kedalaman yang diperlukan 8 meter," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran insentif projek Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) Padi di Pertubuhan Peladang Kawasan Tiga Daerah (PPK) di sini, Rabu.

Seramai 190 pesawah yang mengusahakan tanaman padi di Kampung Kemudu, Kampung Bongkok dan Kampung Gong Nangka di sini menerima bantuan itu berjumlah RM508,320.

Mohamed Kaberi berkata ini kali pertama terusan itu didalamkan sejak dibina pada 1982.

Mohamed Kaberi berkata apabila projek itu siap, dijangka lebih ramai lagi pengusaha bot laut dalam akan membina jeti pendaratan masing-masing di sepanjang terusan itu.

Selain itu, beliau berkata kerjaan pusat meluluskan peruntukan RM10 juta untuk mendalamkan beberapa sungai yang bersambung dengan terusan itu.

Sumber: Bernama | 20 Jan. 2016

Kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan terus diperketat

JELI: Polis Kelantan mengetatkan kawalan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bagi mencegah pelbagai kegiatan jenayah termasuk kemasukan warga asing yang terlibat dengan Kumpulan Pengganas Daesh.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata polis mengembleng tenaga dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia untuk melaksanakan operasi secara berterusan.

"Kita akan terus perketatkan kawalan di sempadan melalui operasi yang diadakan, bukan sahaja dadah, senjata api, pemerdagangan manusia, malah IS (Daesh) supaya mereka tidak menyeludup ke negara ini," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Bunga, di sini, Rabu.

Mazlan berkata pihaknya akan menutup semua ruang dan peluang di sepanjang kawasan sempadan berkenaan daripada digunakan oleh penjenayah termasuk kumpulan pengganas itu menjalankan aktiviti mereka.

Beliau berkata anggota pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan akan ditambah berdasarkan kepada keperluan semasa, dan situasi di kawasan itu sekarang ini adalah tenang dan terkawal.

Setakat ini tidak ada kawasan di negeri ini yang dianggap "panas" berkaitan pengganas berkenaan namun pihaknya membuat pemantauan di semua tempat, katanya.

Beliau berkata pihaknya mendapat kerjasama yang erat dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa dari negara jiran Thailand.

Mazlan berkata pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat dengan pihak berkuasa dari negara jiran itu pada 26 dan 27 Januari ini berkaitan kerjasama di kawasan sempadan.

Sumber: Bernama| 20 Jan. 2016

LPT3 bermula dari Pengkalan Kubor

Hanifa Ahmad (barisan kedua, lima dari kiri) bersama penerima pampasan bagi pengambilan tanah untuk projek Air Kelantan di Mukim Chetok, Pasir Mas, Kelantan, semalam.
PASIR MAS: Kerajaan Pusat secara dasarnya bersetuju untuk membina Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat untuk disambungkan dengan LPT2 di Gemuruh, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, pembinaan infrastruktur tersebut akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Beliau berkata, lebuh raya itu akan dibina melalui kawasan pesisir pantai di negeri ini dan Terengganu.

Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk memulakan projek ini di Pengkalan Kubor melibatkan pesisiran pantai dan terus ke Gemuruh di Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Pengambilan Balik Tanah Untuk Pembinaan Laluan Air Mentah di Mukim Chetok Bagi Projek Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Hab Halal Pasir Mas di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman memberi­tahu, projek LPT3 dari Gemuruh, Kuala Terengganu ke Pengkalan Kubor, bakal diteruskan bagi meng­atasi kesesakan lalu lintas terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Dalam perkembangan lain, Hanifa memberitahu, projek Le­buh Raya Rakyat Kuala Krai-Kota Bharu dijangka selesai dalam tempoh dua tahun lagi.

Katanya, laluan sejauh 20 kilometer melibatkan Bukit Tiu ke Kuala Krai akan dibina oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri akan bina laluan sejauh 10 kilometer bermula dari Bukit Bakar ke Kampung Berangan Mek Nab di Machang,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 19 Jan. 2016 | Terbitan 20 Jan. 2016

Selasa, 19 Januari 2016

Kerajaan Persekutuan setuju bina LPT3

PASIR MAS: Pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) akan bermula di Pengkalan Kubor, Tumpat dan bersambung sehingga ke Gemuroh, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrasturuktur, Utiliti dan Teknologi negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, perkara tersebut secara dasarnya sudahpun dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan akan diangkat menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menurutnya, pembinaan tersebut melibatkan dua jajaran iaitu tengah di Gua Musang dan pesisiran pantai.

"Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk memulakan projek ini di Pengkalan Kubor melibatkan persisiran pantai dan terus ke Gemuruh di Kuala Terengganu," katanya ketika diminta mengulas mengenai projek berkenaan.

Terdahulu sebelum itu beliau merasmikan program penyampaian cek pampasan bagi pengambilan balik tanah untuk pembinaan laluan air mentah di Mukim Chetok bagi menyokong keperluan bekalan air di Taman Halal Pasir Mas di sini.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif memberitahu, projek LPT3 dari Gemuroh, Kuala Terengganu ke Pengkalan Kubor, Tumpat bakal diteruskan melihat pada kesesakan yang berlaku baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Hanifa memberitahu, projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dijangka akan selesai dalam tempoh dua tahun lagi.

Katanya, laluan sejauh 20 kilometer (km) melibatkan Bukit Tiu ke Kuala Krai akan dibina oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri akan bina laluan sejauh 10 km itu bermula dari Bukit Bakar ke Kampung Berangan Mek Nab di Machang," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 19 Jan. 2016

11 jeti baharu siap dibina untuk kemudahan nelayan di Pengkalan Kubor

TUMPAT: Sebanyak 11 jeti baharu bernilai RM2.5 juta di sepanjang Sungai Geting di Pengkalan Kubor di sini, akan mempercepatkan aktiviti pendaratan ikan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Infrastruktur Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wan Mohd Adnan Wan Ibrahim berkata 10 jeti pendaratan hasil laut dan tempat bot nelayan berlabuh dan sebuah untuk pendaratan hasil laut akan menjimatkan masa nelayan untuk mendaratkan hasil tangkapan mereka.

"Nelayan tidak perlu lagi menunggu masa lama untuk mendaratkan hasil tangkapan mereka dan tidak perlu lagi bergilir-gilir untuk menambat (berlabuh) bot mereka," katanya kepada pemberita selepas menerima borang serahan milik jeti berkenaan daripada JPS Kelantan yang membina kesemua jeti itu, di sini hari ini.

Wan Mohd Adnan berkata LKIM akan memberi penerangan kepada nelayan mengenai penggunaan jeti berkenaan supaya mereka dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Beliau berkata jeti berkenaan sesuai untuk kegunaan nelayan tradisional dan nelayan laut dalam.

Sementara itu, seorang nelayan Mamat Jusoh, 72, berkata kira-kira 200 nelayan di kawasan berkenaan akan dapat manfaat daripada pembinaan jeti tersebut.

"Sebelum ini kita menggunakan jeti yang kecil yang mampu memuatkan tiga hingga empat bot sahaja, dan kami perlu menunggu giliran hampir dua atau tiga jam untuk membawa naik hasil tangkapan," katanya.

Beliau berkata selain nelayan tradisional, nelayan laut dalam juga turut menggunakan jeti berkenaan.

Sumber: Bernama | 19 Jan. 2016

Baik pulih Stadium Sultan Muhammad IV dimuktamadkan Jumaat ini

KOTA BHARU: Proses baik pulih Stadium Sultan Muhammad IV oleh penaja pasukan Kelantan - Vida Beauty Sdn Bhd, akan dimuktamadkan Jumaat ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata secara dasarnya kerajaan negeri tidak mempunyai masalah dengan cadangan syarikat itu untuk menukar warna stadium dari merah-putih kepada merah jambu-putih.

"Saya akan bertemu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada Jumaat ini dan saya dimaklumkan Datuk Seri Vida (Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman) juga akan hadir.

"Kita akan muktamadkan apa yang ada dalam idea beliau (Dr Hasmiza) untuk kita pertimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bersama Jalur Saujana Sdn Bhd dan ICT Incubator Centre Sdn Bhd yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di sini, Selasa.

Difahamkan, stadium keramat pasukan The Red Warriors itu akan dicat dengan warna merah jambu-putih secara berpetak dan bukannya berjalur.

Hasmiza, yang merupakan Penasihat Kehormat KAFA dan juga pemilik Vida Beauty Sdn Bhd sebelum ini dilaporkan berkata antara syarat penajaan yang dikenakan kepada KAFA termasuk menukar warna stadium, laluan dan tempat khas kepada wanita di stadium itu.

Sumber: Bernama | 19 Jan. 2016

Sabtu, 16 Januari 2016

KADA sasar purata hasil padi 10 metrik tan sehektar bagi projek NKEA padi

TUMPAT: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyasarkan purata hasil tanaman padi bagi sawah di bawah projek Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) di negeri ini mencapai 10 metrik tan sehektar menjelang 2020.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini, terdapat 16 projek NKEA yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,600 hektar di negeri ini dengan purata hasil padi antara 5 dan 6 metrik tan sehektar.

Melalui projek berkenaan, tanaman padi dilaksanakan secara komersial dan pengurusan berpusat dengan mempertingkatkan kepadatan pengairan dan saliran serta menggandakan penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan pengeluaran padi, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek dan Penyampaian Insentif bagi Projek NKEA (Padi) Bendang Datuk Paduka Morak di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bertanggungjawab melaksanakan projek tersebut dan pemilik sawah akan diberi insentif sebanyak RM2,000 semusim tanaman.

Pada majlis itu, seramai 339 petani Projek NKEA Datuk Paduka Morak menerima insentif berjumlah RM157,934.

Sumber: Bernama | 16 Jan. 2016

Program perintis keusahawanan UMK manfaat 100 belia Malaysia

TAWAU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan memulakan program perintis keusahawanan selama setahun yang akan memberi manfaat kepada 100 belia dari komuniti terpinggir di Malaysia termasuk 20 belia di Tawau mulai akhir Januari ini.

Ketua Program bagi Geran Penyelidikan Jangka Panjang Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia UMK Prof Dr Raja Suzana Raja Karim berkata program itu merupakan susulan perencanaan atau penyelesaian kepada hasil kajian penyelidikan yang dilakukan selama dua tahun sebelum ini.

Beliau berkata hasil penyelidikan mengenai 'Youth in Marginalized Communities: towards Regenerating Youth Development' itu akan menumpukan kepada belia yang memiliki tiga kriteria yang ditetapkan untuk diperkasakan ke arah belia keusahawanan sosial.

Kriteria itu meliputi belia di Malaysia berumur antara 15 dan 25 tahun serta belia yang berlatarbelakangkan daripada keluarga berpendapatan rendah di bawah RM3,500 (miskin bandar) serta RM2,000 (luar bandar) seterusnya lokasi belia tersebut dibesarkan.

Suzana berkata belia yang terpilih dalam program keusahawanan itu akan diberi sokongan latihan untuk berniaga selain mendapat bimbingan daripada usahawan berjaya yang dilantik.

"Belia ini akan diberi latihan membangunkan perniagaan (membuka syarikat) dan seterusnya akan disokong secara tunjuk ajar dan mentor dalam tempoh 18 hingga 24 bulan bagi memastikan kejayaan belia ini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh program perintis itu dilaksanakan, ukuran perubahan belia sebagai usahawan baharu akan dinilai dalam bentuk Pulangan Sosial atas Pelaburan (SROI).

"SROI ini kita bukan melihat semata-mata pada pulangan kewangan tetapi dari sudut perubahan belia ini iaitu jika sebelum ini belia ini tidak memiliki apa-apa dan mereka ini mungkin memiliki perubahan pada tingkah laku diri serta kewangan," tambahnya.

Jelas Suzana terdapat lima jenis perniagaan yang mendapat perhatian para belia untuk dibangunkan iaitu perniagaan dalam talian, perniagaan berunsurkan kesihatan dan kecantikan, perniagaan agrotani, perniagaan usahawan ilmu termasuk pusat tuisyen, perniagaan fesyen dan jahitan serta perniagaan bakery dan pastry.

"Seramai 20 belia di Tawau ini akan menumpukan perniagaan kepada bakery dan pastry ini sahaja dan kami akan lihat hasilnya dalam setahun," tambahnya.

Sementara itu bagi mengukuhkan kewangan 20 belia di Tawau itu, Suzana turut meminta agar Kementerian Belia dan Sukan Negeri serta agensi pinjaman kerajaan seperti Mara, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia supaya dapat bersama membantu anak-anak muda daerah itu untuk diperkasakan menjadi usahawan berjaya.

"Kalau boleh saya mahu mereka ini diberi bantuan kewangan dalam bentuk geran atau cagaran yang mana mungkin bantuan itu mereka tidak perlu bayaran secara bulanan balik tetapi secara SROI," katanya.

Bagi Suzana, belia terpinggir itu perlu diperjuangkan ekoran anak muda yang datang daripada keluarga susah itu tidak memiliki keselamatan bagi membolehkan mereka keluar daripada kelompok garis kemiskinan.

"Sekarang ini untuk mulakan perniagaan sekarang pun susah. Kita kena wujudkan sokongan dan bantuan yang pastinya akan memberi nilai pulangan besar kepada ekonomi belia itu dan negara. Kalau tidak anak-anak ini akan terbiar," katanya lagi.

Sumber: Bernama | 16 Jan. 2016