Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 20 Mac 2018

Orang Asli Kampung Sangwai bantah teroka bukit untuk tanam sayur

GUA MUSANG: Lebih 300 penduduk Orang Asli di Kampung Sangwai, tanah tinggi Lojing di sini, akan menghalang pengusaha tanaman sayur daripada meneruskan kerja membersihkan bukit berhampiran kampung mereka kerana dikhuatiri menyebabkan hakisan tanah dan banjir lumpur.

Mereka mengambil tindakan itu bukan sahaja kerana ancaman bahaya tanah runtuh tetapi juga disebabkan kegagalan syarikat melunaskan janji membayar pampasan kemusnahan tanaman akibat ditimbus lumpur kesan kerja-kerja membersihkan bukit yang sama awal Januari lalu.

Seorang penduduk, Itam Gayan, 76, berkata syarikat terbabit seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan penduduk yang sekian lama tinggal di kampung terbabit apabila meneruskan kerja menyodok bukit berkenaan.

"Ketika syarikat berkenaan dihalang daripada terus menyodok bukit tersebut dua bulan lalu, keadaan kembali selamat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamarudin Uda, 44, pula berkata penduduk juga menolak bayaran pampasan kemusnahan pelbagai tanaman yang ditimbus hakisan tanah pada Januari lalu sebanyak RM10,000 kerana tuntutan kerugian sebenar adalah RM35,000.

"Peringkat awal perbincangan dengan pengurusan syarikat tanaman sayur itu, mereka bersetuju membayar tuntutan pampasan sebanyak RM35,000 kerana tanaman yang musnah termasuk pokok buah-buahan seperti durian, dokong dan petai sudah mengeluarkan hasil," katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Galas, Ab Aziz Yusof berkata penduduk Orang Asli berhak mengambil sebarang tindakan berhubung perkara tersebut kerana membabitkan keselamatan mereka.

"Kita juga hairan dengan sikap syarikat terbabit yang dianggap tidak adil dalam menyelesaikan tuntutan ganti rugi itu kerana penduduk terbabit hilang banyak punca pendapatan berikutan kejadian hakisan tersebut," katanya.

Sumber
: Bernama | Berita Timur | 18 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan