Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 8 Mac 2018

Sudut Amerika di UMK

KOTA BHARU: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi menubuhkan Sudut Amerika di universiti itu.

Kaunselor Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Bradley A.Hurst berkata, kewujudan sudut berkenaan adalah sebagai pusat perkongsian maklumat mengenai peluang perniagaan dan pendidikan serta sejarah dan budaya Amerika kepada masyarakat umum.

Beliau berkata, penubuhan sudut itu akan menjadikan UMK universiti tempatan kedua mempunyai kemudahan tersebut selepas Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sembilan Sudut Amerika di negara ini setakat ini.

“Kita berhasrat menjadikan Sudut Amerika bukan sekadar satu ruang perkongsian maklumat tetapi lebih daripada itu.

“Para pelajar UMK akan mendapat akses mengenai peluang melanjutkan pelajaran ke AS dan juga maklumat terkini program Biasiswa Fullbright tanpa perlu bersusah payah mendapatkannya dari tempat lain.

“Sudut ini akan dilengkapkan dengan bahan cetak dan elektronik malah pihak kami akan turun dari ke semasa mengadakan sesi perkongsian dengan pensyarah dan pelajar,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU tersebut di Kampus Kota, UMK Pengkalan Chepa di sini hari ini. 
 
Yang turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Husaini Omar dan Ketua Pustakawan UMK, Azman Hashim.

Sementara itu, Azman berkata, sudut tersebut bakal beroperasi di Perpustakaan UMK Kampus Kota Pengkalan Chepa buat sementara waktu.

Katanya, sudut itu dijangka dipindahkan ke UMK Bachok apabila bangunan baharu perpustakan di situ siap sepenuhnya Ogos tahun ini.
 
Sumber: Utusan Online | Nasional | 7 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan