Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 17 Mac 2018

Pembangunan luar bandar: Kelantan terima peruntukan kedua tertinggi

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melihat pelan bagi Projek Pembinaan Telaga Tiub, Tangki Air Menara dan Pemasangan Paip Utama di Kampung Pasir Senor, Temangan di sini hari ini.
MACHANG: Kelantan menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM265 juta tahun ini daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar, iaitu kedua tertinggi selepas Pahang.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan pembangunan yang diterima itu meningkat sebanyak RM14 juta atau 5.62 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, selain peruntukan tersebut, turut diluluskan empat projek baharu iaitu pembinaan jalan luar bandar dengan anggaran kos sebanyak RM68 juta.

"Kementerian juga meluluskan sebanyak RM5.4 juta untuk Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) negeri ini selain RM100 juta lagi untuk projek jalan kampung.

"Selain itu, turut diluluskan empat projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan anggaran kos RM42 juta dan 22 projek kecil BALB dengan anggaran RM11.2 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Projek Pembinaan Telaga Tiub, Tangki Air Menara dan Pemasangan Paip Utama di Kampung Pasir Senor, Temangan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Projek pembinaan telaga tiub, tangki air menara dan pemasangan paip utama itu melibatkan kos sebanyak RM5 juta dan dijangka siap Ogos tahun depan.

Ismail Sabri berkata, segala peruntukan serta projek pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini telah membuktikan tuduhan kerajaan Pusat tidak mempedulikan Kelantan adalah tidak benar.

Sumber: Utusan Online | 17 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan