Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Wira Othman Aziz berkata, jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), eksport dan harga minyak mentah Brent turut menyumbang kepada pengukuhan ringgit ketika ini.
“Jika ringgit hanya bergantung kepada faktor luaran sahaja ia mungkin tidak dapat bertahan tetapi kini ia menuju ke tahap semasa pada kadar RM3.92 berbanding dolar AS pada pembukaan pasaran tukaran asing hari ini.
“Nilai saksama berada di paras rintangan RM3.82, dan ringgit mempunyai permulaan yang baik bagi tahun 2018, apabila ia berada di bawah paras RM4 berbanding dolar AS, “katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Bersama (CA) 2016-2019 antara SME Bank dengan Kesatuan Sekerja Kebangsaan Pekerja-pekerja Perdagangan (NUCW) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi, Pengurusan Korporat Kumpulan & Operasi SME Bank Datuk Razman Mohd. Noor.
Othman berkata, prestasi ringgit ketika ini turut memberi kesan positif terhadap negara dari segi asas ekonomi termasuklah meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pelaburan langsung asing (FDI).
Terdahulu dalam majlis itu, SME Bank mengumumkan pelarasan gaji di antara lima peratus hingga 12 peratus bagi kakitangan bukan eksekutifnya selaras dengan CA 2016-2019 yang dimeterai dengan NUCW.
Razman berkata, perjanjian tersebut turut menyaksikan penambahbaikan bagi kemudahan perubatan sebanyak 38 peratus bagi rawatan pesakit luar untuk keluarga dan 20 peratus untuk rawatan hospital bagi ahli keluarga.
“Penambahbaikan ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan yang menekankan kebajikan dan meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan.
“Melalui perjanjian baharu ini juga, kakitangan bukan Eksekutif SME Bank akan menerima kenaikan gaji asas daripada RM900 kepadaRM1,200 sebulan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 28 Februari 2018 | Terbitan 1 Mac 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan