KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah berjaya menarik pelaburan swasta sebanyak RM111.6 bilion sehingga Februari 2018, sekali gus melangkaui sasaran pelaburannya menjelang 2020 sebanyak RM110 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, lebih separuh daripada jumlah pelaburan swasta di ECER atau RM60.45 bilion adalah tertumpu di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ), yang meliputi Kertih,Terengganu sehingga ke Pekan, Pahang.
Ujarnya, walaupun ECER SEZ hanya merangkumi enam peratus daripada keseluruhan keluasan ECER, ia dijangka menjadi pemangkin dalam memacu Industri 4.0 dengan menerajui aktiviti-aktiviti ekonomi yang berasaskan pengetahuan, berteknologi intensif dan berlandaskan produktiviti, khususnya dalam kluster pembuatan.
“Antara tahun 2018 hingga 2025, ECER SEZ disasarkan akan menarik pelaburan swasta tambahan sebanyak RM41 bilion dan mewujudkan 55,000 peluang pekerjaan serta 1,750 peluang keusahawanan baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, dalam usaha mempersiapkan ECERDC menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), pihaknya baru-baru ini telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan TUM International GMBH dari Jerman bagi penubuhan Pusat Kecemerlangan Asia bagi Teknologi Pintar (ACES).
Katanya, ECERDC akan bekerjasama dengan TUM untuk menyediakan pelan induk dan hala tuju teknikal, latihan, pensijilan dan juga khidmat nasihat dan perundingan untuk memperkenalkan dan meningkatkan penggunaan teknologi dalam pelbagai bidang dalam sektor awam dan swasta untuk IR4.0, serta teknologi inovatif dan pintar lain.
“Penubuhan ACES bertujuan untuk merancakkan pertumbuhan Industri 4.0 dalam ECER, selaras dengan strategi keseluruhan untuk menyokong peralihan ECER ke arah ekonomi yang berasaskan produktiviti dan berteknologi intensif seperti yang telah digariskan dalam Pelan Induk ECER 2.0 yang bakal diumumkan tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan TUM International GMBH, Daniel A. Gottschald berkata, pihaknya berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan kerajaan Malaysia terutamanya dalam mewujudkan ekosistem dan menerajui penggunaan teknologi pintar dalam industri tempatan.
“Kami yakin kerjasama kami dengan ECERDC menerusi ACES akan membantu usaha Malaysia untuk menjadi perintis dan contoh kejayaan Industri 4.0 di peringkat global, serta merancakkan pertumbuhan ECER melalui pemindahan pengetahuan dan keupayaan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 16 Mac 2018 | Terbitan 18 Mac 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan