Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 17 Mac 2018

Pemerkasaan pelancongan, perdagangan antara tawaran UMNO bahagian Rantau Panjang

NARATHIWAT: Pemerkasaan sektor pelancongan dan perdagangan adalah antara inti pati manifesto UMNO Rantau Panjang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketuanya Senator Datuk Abdullah Mat Yassin berkata kedua-dua perkara berkenaan boleh direalisasikan kerana Rantau Panjang bersempadan dengan bandar Sungai Golok di sini yang terkenal dengan kedua-dua aktiviti berkenaan sejak sekian lama.

"Kalau Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan Kelantan daripada pembangkang ketika ini, saya yakin kedua-dua hasrat berkenaan boleh direalisasikan.

"Kita boleh tarik pelabur-pelabur dari Thailand untuk membuka pelbagai kilang di Rantau Panjang dan di kawasan Rantau Panjang sendiri kita boleh galakkan aktiviti pelancongan serta kebudayaan sekali gus boleh menarik lebih ramai pelancong ke kedua-dua kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bersempena Lawatan Inovasi 2018 anjuran Jabatan Penerangan Kelantan ke selatan Thailand di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Sungai Golok Precha Nuan Noy dan Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Azhar Ismail.

Abdullah berkata jika rakyat memberi mandat kepada BN untuk kembali mentadbir Kelantan, beliau yakin lebih banyak kemudahan prasarana berteraskan pelancongan akan dapat dibina di Rantau Panjang seperti hotel bertaraf tiga bintang.

Selain itu, katanya beliau akan menyusun kembali sektor perniagaan di kawasan bebas cukai Rantau Panjang kepada zon-zon tertentu yang khusus menjual barangan tertentu sahaja di kawasan yang telah ditetapkan.

"Sistem yang lebih sistematik ini diharap akan lebih memudahkan pelancong untuk membeli-belah selain dapat menggalakkan persaingan yang lebih sihat dalam kalangan peniaga," katanya.

Sementara itu, Precha berkata kerajaan Thailand sentiasa memastikan keselamatan bandar Sungai Golok daripada sebarang ancaman yang sentiasa mencari peluang untuk mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Beliau berkata antara langkah yang sedang dijalankan ialah menempatkan polis dan tentera di kawasan tersebut selain turut meminta bantuan orang awam serta peniaga untuk menjadi 'mata dan telinga' kepada kerajaan.

"Diharap dengan kerjasama semua pihak ini akan menjamin keselamatan bandar Sungai Golok kerana ia merupakan kawasan yang dikhususkan kerajaan Thailand dalam wilayah Narathiwat ini sebagai pusat perdagangan," katanya menerusi penterjemah.

Sumber: Bernama | 17 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan