Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 19 Mac 2018

Machang membangun di bawah BN

Pusat bandar Machang yang menjadi tumpan penduduk Machang membeli-belah.
MACHANG: Machang ibarat tulang belakang Kelantan kerana terletak di tengah-tengah negeri ini. Di sebelah utaranya ialah Kota Bharu manakala selatannya pula Kuala Krai. Pasir Puteh menjadi jirannya di sebelah timur dan Tanah Merah berada di sebelah barat.

Menariknya, ‘tulang belakang’ Kelantan ini bukanlah kubu kuat siapa-siapa. Sejarah menyaksikan kerusi Parlimen Machang sering bertukar tangan antara wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pas sejak 28 tahun lalu.

Keadaan itu bagaimanapun sedikit sebanyak menyebabkan Machang agak ‘terkontang-kan­ting’ dalam soal menerima pembangunan, berbanding kawasan lain di negeri lain.

Selepas BN mengambil alih sekali lagi Parlimen Machang daripada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), nasib rakyat di kawasan ini sedikit demi sedikit berubah menjadi jauh lebih baik berbanding era sebe­lumnya.

Keputusan rakyat memilih Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Ahli Parlimen adalah tepat, lebih-lebih lagi beliau kemudiannya dilantik menjadi Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dua tahun selepas itu.

Antara legasi awal Ahmad Jaz­lan ialah mewujudkan Pusat Transformasi Ilmu di kediamannya sendiri di Bukit Tiu.

Dalam tempoh masa singkat, pusat itu kini menjadi hab pendidikan terpenting anak Machang di peringkat rendah, menengah dan tinggi yang tidak pernah sunyi dengan penganjuran pelbagai aktiviti berasaskan pendidikan.

Turut diberi tumpuan beliau ialah usaha membaik pulih serta menaik taraf kemudahan asas dan infrastruktur awam terutama terutama jalan-jalan luar bandar, sistem perparitan serta pembinaan lebih banyak klinik desa di seluruh kawasan Machang.

Projek-projek lain diterima Ma­chang termasuklah pembinaan 418 unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan kos RM75 juta, jambatan baharu di Kampung Joh yang meng­hubungkan Machang dengan Tanah Merah (RM60 juta) serta Kom­pleks Perpaduan Machang (RM10.6 juta).

Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan permohonan pembinaan masjid baharu dan membaik pulih hampir 10 buah masjid serta madrasah di seluruh Parlimen Machang dalam tempoh lima tahun ini dengan kos lebih RM10 juta.

Baru-baru ini pula, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk projek pembinaan telaga tiub, tangki air menara serta pemasangan paip utama di Temangan bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di Parlimen ini.

Kunjungan Perdana Mente­ri, Datuk Seri Najib Razak ke Machang pada Ogos tahun lalu juga membawa khabar gembira untuk warga Machang apabila beliau meluluskan peruntukan tambahan lebih RM8 juta bagi pembangunan di Parlimen ini.

Peruntukan itu membabitkan projek pembinaan jalan per­hubungan desa berjumlah RM5 juta, program ameniti sosial bernilai RM2 juta dan projek khas membaik pulih masjid serta musala berjumlah RM1.53 juta.

“Berdasarkan rekod, keraja­an Persekutuan menyalurkan le­bih RM300 juta peruntukan ba­gi membiayai projek prasarana dan infrastruktur di parlimen ini dalam tempoh empat tahun ke­belakangan ini.

“Ini satu bukti Parlimen Ma­chang terus menerima perhatian khusus oleh kerajaan Persekutuan dan kita jamin akan ada lebih ba­nyak projek pembangunan berimpak tinggi bakal menyusul selepas ini,” kata Ahmad Jazlan.

Beliau juga berkata, Jajahan Machang akan diwartakan sebagai sebahagian daripada wilayah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) jika BN diberi peluang memerintah Kelantan selepas PRU-14.

“Yang penting mulai sekarang rakyat terutama pengundi Machang perlu memberi soko­ng­an penuh jika mahu perancangan itu dapat dilaksanakan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 18 Mac 2018 | Terbitan 19 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan