Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 8 Mac 2018

Kafa merayu kepada FMLLP: Keadaan kewangan Kelantan tidak memungkinkan mereka bayar denda RM1.5j


Kelantan adalah antara empat pasukan Liga Super yang dikenakan denda oleh FMLLP berikutan kegagalan pihak pengurusan melengkapkan pendaftaran untuk bersaing dalam Liga-M.
KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengemukakan ra­yuan kepada Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk me­ngurangkan hukuman denda RM1.5 juta yang dikenakan terhadap persatuan itu.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan tersebut dalam masa terdekat kepada FMLLP.

“Jumlah denda itu sangat besar kepada kami terutamanya ketika keadaan kewa­ngan persatuan tidak stabil berikutan Kafa tidak dibantu mana-mana pihak berkaitan kewa­ngan bagi pe­ngurusan pasu­kan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Kelantan antara empat pasukan Liga Super yang dikenakan de­nda RM1.5 juta selepas gagal melengkapkan pendaftaran untuk bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Selain Kelantan, tiga lagi pasu­kan Liga Super yang dikenakan hukuman sama ialah Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC manakala enam pasukan Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC ma­sing-masing perlu membayar denda RM500,000 atas kesalahan sama.

Bibi Ramjani berkata, pihak­nya juga akan meminta pence­rahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP berkaitan dokumen yang perlu disediakan bagi proses rayuan itu.

“Kami mahu memenuhi syarat semampu yang boleh memandangkan Kafa musim ini di bawah pengurusan baharu yang terpaksa bergerak ke depan dalam perbelanjaan terhad di samping membayar tekanan hutang sebelum ini.

“Kewangan kami hanya bergantung kepada pihak penaja musim ini yang diperoleh dalam jumlah yang kecil,” katanya.

Semalam, Kafa dan sembilan pasukan boleh menarik nafas lega apabila hukuman pemoto­ngan mata oleh FMLLP ditangguhkan atas kesalahan yang sama (gagal melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia).

Sumber: Bernama | 7 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan