Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 17 Mac 2018

Peruntukan besar daripada Kerajaan Pusat untuk pembangunan Tanah Merah

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz beramah mesra bersama rakyat pada Karnival Himpunan Rakyat Tanah Merah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1 di sini hari ini.
TANAH MERAH: Kerajaan Pusat telah menyediakan peruntukkan cukup besar dalam melaksanakan pembangunan dan kemudahan untuk rakyat di kawasan Parlimen ini.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, ia sekali gus membuktikan kerajaan pusat sentiasa memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Tanah Merah telah mendapat banyak projek besar daripada Kerajaan Pusat dan ini menunjukkan Kerajaan Pusat sentiasa berusaha menyalurkan peruntukkan bagi memastikan Kelantan mencapai kemajuan.

“Antaranya projek besar yang dilaksanakan termasuklah persimpang­an bertingkat lintasan kereta api Tanah Merah, pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), menaiktaraf jalan Chekok Ipoh dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Himpunan Rakyat Tanah Merah bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1 di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut melancarkan sumbangan istimewa daripada UMNO Bahagian Tanah Merah untuk warga Tanah Merah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rakyat perlu sedar dan bersatu bagi memastikan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Tanah Merah dimenangi Barisan Nasional (BN).

“Hasrat untuk melihat Tanah Merah berubah akan menjadi realiti sekiranya kesemua kerusi DUN dan Parlimen Tanah Merah dimenangi BN.

“Jadi, kita perlu bersiap sedia untuk memastikan Kelantan milik BN dengan menyumbang kerusi untuk BN,” katanya.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 16 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan