Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 5 Mac 2018

Kedah perlu sokongan Kerajaan Persekutuan untuk terus maju

KUBANG PASU: Kedah memerlukan sokongan padu Kerajaan Persekutuan untuk terus maju, sekali gus berkembang pesat pada masa hadapan, kata anggota Parlimen Kubang Pasu Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Sehubungan itu, beliau berkata bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan negeri ini sangat penting bagi memastikan setiap perancangan dapat direalisasikan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak banyak membantu Kedah tidak lupa kepada rakyat Kedah untuk mewujudkan lebih banyak infrastruktur dan pembangunan bagi memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kubang Pasu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Anum di Jitra dekat sini hari ini.

Beliau berkata rakyat sendiri boleh menilai kerajaan sedia ada di bawah pimpinan perdana menteri itu terbukti banyak melaksanakan perancangan demi kemajuan negeri ini.

Antaranya yang terbaharu ialah usaha menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar menjadi lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Selain itu, usaha untuk merancakkan lagi ekonomi di Zon Bebas Cukai serta pembesaran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Kedah terus memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri sedia ada supaya segala perancangan untuk pembangunan dapat berjalan lancar.

Sumber: Bernama | 5 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan