KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion apabila siap sepenuhnya akan bertindak mengimbangi pertumbuhan antara negeri di Pantai Timur dan Pantai Barat.
Dalam satu laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata projek sepanjang 688 kilometer menghubungkan Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor itu dijadualkan siap pada 2024.
Dalam pada itu, sejak ia dilancarkan 13 bulan yang lalu, ECRL menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan. Darwis berkata kemajuan ini termasuklah proses memberi kerja-kerja kepada kontraktor tempatan.
Beliau juga berkata projek ini akan menjadi pemangkin bagi keseimbangan ekonomi antara pantai barat dan pantai timur memandangkan projek ini akan menyuntik pelaburan, merancakkan aktiviti komersial, mewujudkan pekerjaan yang banyak, memudahkan pendidikan berkualiti dan melonjakkan pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan. Kerja-kerja telah bermula bermula di kesemua lapan seksyen dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Terminal Bersepadu Gombak (ITT), Selangor di bawah fasa satu.
Setelah siap fasa satu nanti, ECRL ini akan mempunyai 12 stesen penumpang, tiga stesen barangan angkut dan tujuh stesen gabungan penumpang dan barangan angkut, manakala fasa dua melibatkan pembangunan laluan rel sepanjang 88 kilometer dari Kota Bharu ke Pengkalan Kubur di Kelantan dan dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang di Selangor selain pembinaan dua stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan barangan angkut.
Sumber: Bernama | Kanta Rakyat | 5 Mac 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan